“Aduhai, dah hari ke-15 pun masih lagi letih nak berpuasa. Rasa pening lalat pun ada. Apa tips sahur dan berbuka yang betul-betul berkesan hilangkan letih ni ya?”
Puasa memang nampak sukar bagi wanita hamil dan yang masih menyusukan badan.
Manakan tidak, kedua-dua keadaan ini memerlukan badan wanita untuk bekerja lebih daripada biasa.
Puasa Beri Manfaat Luarbiasa, Tak Jejaskan Kesihatan Ibu Atau Bayi
Kajian antarabangsa telah mendapati bahawa puasa tidak akan menjejaskan kesihatan bayi mahupun ibunya, melainkan jika si ibu mempunyai masalah tertentu dan telah mendapat nasihat doktor.
Ini bermaksud, selagi sihat, ibu yang mengandung dan menyusu badan masih boleh berpuasa walaupun mungkin lebih letih berbanding waktu lain.
Malah, sebuah laporan menyatakan berpuasa menjadikan ibu hamil & bayi lebih sihat, jika diamalkan dengan betul.
Antara kelebihan ibu berpuasa lainnya termasuklah meningkatkan kekebalan tubuh, mengurangkan risiko diabetes, menggalakkan pertumbuhan sel baik, serta menyihatkan jantung.
Selain itu, kesan menahan lapar ini turut menjadikan ibu lebih cenderung memilih makanan berkhasiat untuk manfaat tubuh mereka.
Jadi, jangan abaikan tips sahur dan berbuka yang sihat agar anda dapat merasakan kesan positifnya di samping meneruskan ibadah puasa tanpa sebarang komplikasi.
Tips Sahur Untuk Ibu Hamil & Menyusu Badan
Berikut adalah tips sahur yang boleh anda amalkan sepanjang Ramadhan.
1. Walaupun Tak Selera, Makan Kena Seimbang
Waktu sahur biasanya kita kurang berselera. Adapula yang tak sempat menyediakan makanan yang lengkap akibat terlewat bangun.
Oleh itu, anda perlu bersedia awal dan makan selengkapnya supaya tubuh badan dapat kekal bertenaga sehingga berbuka.
Pilih makanan yang mencukupi dengan prinsip gizi cukup dan seimbang.
2. Minum Susu Atau Yogurt
Minum susu sangat disarankan untuk menambah kekuatan.
Antara minuman yang disarankan adalah jus kurma susu.
Selain menambahkan tenaga, ia dapat memperbanyakkan susu badan walaupun anda tidak makan di siang hari.
3. Elak Makanan Pedas
Makanan pedas memang membangkitkan selera, apatah lagi untuk makan sahur pagi-pagi buta.
Tapi ingat, makanan yang terlalu pedas tidak disarankan untuk ibu hamil/menyusui. Kalau rasa teringin makanan yang pedas, sebaiknya jangan ambil berlebihan.
Tips sahur ini penting untuk kesihatan pencernaan ibu hamil.
4. Ambil Ubat Jika Perlu
Jangan malas ambil ubat atau vitamin yang diprekripsikan kepada anda walaupun pada bulan puasa.
Pastikan anda minum air putih dalam kuantiti yang mencukupi supaya ubat lebih berkesan.
5. Makan Dengan Tenang & Perlahan
Biasanya, ibu menyusu badan akan mengalami masalah untuk makan dengan tenang akibat anak yang terjaga.
Jadi, bangun lebih awal supaya anda tidak makan secara terburu-buru.
Tips Berbuka Puasa Untuk Ibu Hamil & Menyusu
Semasa berbuka pula, amalkan tips berikut.
1. Dahulukan Berbuka Dengan Kurma
Berbukalah dengan kurma walaupun sebiji.
Ia dapat meningkatkan tenaga dalam 30 minit selepas memakannya. Sebab itulah umat Islam amat dianjurkan memakan buah kurma terlebih dahulu semasa berbuka puasa.
2. Elak Daripada Terus Minum Ais
Air berais, air manis, dan kuih-muih memang banyak pilihan di bulan puasa.
Tapi sebaiknya, jangan terus meminum ais semasa berbuka kerana ia boleh menyebabkan kembung akibat penghasilan asid yang meningkat.
Kuih-muih yang manis dan bergoreng juga perlu dihadkan kerana nilai khasiatnya amat rendah, malah mengandungi kandungan gula yang tinggi.
3. Makan Sedikit Demi Sedikit
Cara berbuka paling ideal adalah dengan memakan kurma, air kosong, dan sedikit buah-buahan, puding, atau roti.
Kemudian, solat Maghrib dahulu dan barulah makan nasi atau makanan berat.
Jangan terus makan banyak kerana sistem pencernaan serta-merta “dipaksa” bekerja keras setelah “berehat” seharian.
Pola makan 3 kali sehari tetap boleh dijadualkan dengan makan makanan ringan, seperti roti, puding, atau makanan kecil selesai solat terawih atau sekitar jam 9 malam.
4. Selang Seli Dengan Snek Sihat
Apabila terlalu banyak hidangan dan juadah, buah dan sayuran selalu dilupakan semasa berbuka.
Ibu hamil dan menyusu disarankan untuk mencukupkan pengambilan sayuran dan buah-buahan agar tidak mendatangkan masalah kesihatan.
Jika inginkan snek, pilihlah daripada sumber buah-buahan kering seperti kismis, buah tin, apricot, atau kekacang seperti kacang pistachio, badam, dan almond.
5. Jangan Makan Mengikut Nafsu
Jangan berbuka sampai terlalu kekenyangan kerana makanan ini tidak dapat ‘disimpan’ untuk memberi anda tenaga esok hari.
Sebaliknya, ia hanya akan mengundang mengantuk. Ia juga boleh menyebabkan sakit ulu hati.
Oleh itu, berpada-padalah ketika berbuka.
Berbukalah Jika Tidak Mampu
Dalam Islam, ibu yang mengandung dan menyusukan anak termasuk dalam kategori mereka yang diharuskan berbuka sekiranya mengalami masalah yang memudaratkan kesihatan mereka.
Sekiranya anda telah mengamalkan pelbagai tips sahur dan berbuka, tetapi masih bermasalah untuk berpuasa, jangan pula memaksa diri.
Dapatkan nasihat doktor dan berbukalah jika perlu.