Kalau dah jadi Mak-mak ni, memang tipulah kalau tak pernah stres kan? Lagi-lagi kalau tengah cuti sekolah tu… Mesti ada je perkara yang boleh buat kita rasa geram atau tertekan.
Kadang-kadang ada yang bengang sebab anak kecil asyik nak ‘memerap’, asyik nak menyusu tak kira tempat sampai lenguh satu badan. Kadang-kadang ada yang tension bila anak kecil diam-diam buat ‘projek’ sendiri dan habis sepahkan ruang tamu waktu kita sibuk mengemas di dapur. Ada masa tu rasa geram pulak dengan suami yang asyik scroll handphone dan sikit pun tak offer nak tolong kita uruskan kerja rumah. Kadang tu tak tahu nak masak apa pun boleh stres! Hmmm bila difikirkan semula, bila je yang kita tak marah-marah kan?
Tapi seeloknya kita kena cuba kawal rasa marah atau bad mood tu. Sebabnya, menurut sebuah kajian dalam American Journal of Epidemiology, lelaki dan wanita yang kuat marah ni cenderung memiliki berat badan berlebihan.
Nak tahu kenapa? Ini 5 sebabnya.
Sikap Asyik Marah Akan Buat Kita Naik Berat Badan. Ini 5 Sebabnya
1. Ia Bermula Dengan Adrenalin
Tahukah Mama, rasa marah ini bukan hanya menyebabkan perubahan emosi dalam fikiran kita. Sebaliknya ia juga akan melibatkan proses kimia dalam tubuh badan manusia.
Sebabnya bila kita marah, hormon adrenaline akan dirembeskan. Hormon ini akan membuatkan kita mengalami anxiety serta mengaktifkan butang ‘sedia untuk bertindak’. Dalam keadaan ini, aliran darah dari organ dalam ke otot menyebabkan kita sukar merasa lapar apabila marah.
Namun, efek ini adalah sementara saja. Selepas tahap adrenaline menurun, kita akan mula berasa kehilangan tenaga dan lapar. Dalam keadaan hati yang masih kacau bilau, ia boleh menjerumuskan kita kepada tabiat makan yang tidak sihat atau mindless eating.
2. Cenderung Mencari Comfort Food
Tabiat makan yang tidak sihat ini biasanya akan membuat kita rasa ‘perlu’ mencari sesuatu yang menggembirakan.
Menurut Psychology Today, di waktu inilah kita akan memilih comfort food seperti coklat, kek, biskut, kerepek, snek atau apa-apa makanan super lazat bagi ‘mengubat keresahan jiwa’ tanpa memikirkan kualiti atau portion yang sesuai.
Mesti ramai yang selalu simpan stok makanan macam ni kan?
3. Meningkatnya Hormon Kortisol
Apabila dalam keadaan stres, kadar hormon kortisol juga akan meningkat. Selain meningkatkan tekanan darah, kadar hormon kortisol yang tinggi juga boleh memberi kesan kepada berat badan kita.
Menurut BrightSide, kortisol akan menukarkan gula dalam darah kepada lemak dan sekaligus melambatkan proses pencernaan. Hasilnya, ia boleh meningkatkan berat badan dengan penghasilan lemak yang juga akan menjejaskan kesihatan kita.
4. Menyukarkan Tidur
Bila kita asyik marah dan stres, ia boleh menyumbang kepada punca masalah tidur. Bila kita tak dapat cukup tidur, kita akan kekurangan tenaga.
Sebagai seorang ibu dan isteri rumah tangga, dah tentulah kita akan rasa susah nak melayan anak dan menguruskan kerja bila rasa letih je kan. Disebabkan nak mengatasi rasa letih atau mengantuk ni, Kekurangan tidur akan mengganggu hormon yang mengawal selera makan.
Mama juga lebih berkemungkinan untuk memakan makanan ringan secara berlebihan seperti kopi, minuman manis, gula-gula, coklat atau makanan lain yang tinggi karbohidrat dengan ‘alasan’ untuk ‘menyegarkan biji mata’ dan membantu kita untuk terus bertahan.
5. Hilang Tumpuan
Bila asyik marah-marah, seseorang lebih mudah hilang tumpuan. Malah, ia membuat kita lupa untuk fokus terhadap perkara-perkara positif yang berlaku di sekeliling kita.
Konflik beginilah yang boleh membuatkan seseorang menjadi negatif dan kerap mempersoalkan ‘apa gunanya aku buat begitu begini…?’
Perasaan ini boleh menjadi sesuatu yang menghancurkan diri kerana ia akan membuatkan kita mudah berputus asa, takut mencuba, terlalu menghukum diri dan mungkin melakukan perkara yang mencederakan diri.
Jika Penat, Berehatlah Mama!
Sains telah membuktikan bahawa pengurusan stres yang baik mampu membantu seseorang mendapatkan berat badan ideal. Marah itu perkara biasa sebab kita semua manusia, namun janganlah kita menjadikannya rutin pula. Sikit-sikit nak marah, sikit-sikit naik angin.
Kebanyakan masa, Mama mudah marah disebabkan rasa letih dan penat yang melampau.
Jadi kalau kita penat atau ada sesuatu yang terbuku di hati, cubalah luahkan dan dapatkan bantuan. Yang penting, berehatlah apabila perlu ok!