Inspirasi

Bila Ibu Rasa ‘Macam Tak Buat Apa-apa Hari Ni’, Ingatlah 6 Perkara Ini

“Aduh, kejap lagi suami dah nak balik. Rumah bersepah, baju belum basuh, makan malam pun tak ‘prepare’ apa-apa lagi. Cepatnya masa berlalu, rasa macam tak buat apa-apa pun hari ni.”

Inilah situasi yang selalu melanda ibu surirumah. Berbanding dengan masa bekerja dulu, kita tahu kita dah buat sesuatu. Kita rasa puas bila dapat siapkan kerja yang disuruh.

Tapi bila sendirian menjadi pengurus di rumah, ada masanya kita akan rasa ‘lemau’. Rasa macam tak ada pencapaian, tak ada perkembangan. Rasa sedih pun ada bila mengenangkan yang kita hanya ‘duduk di rumah’. Malah, sebahagiannya rasa malu dan rendah diri dengan suami sendiri sebab tak mampu menyumbang sesuatu yang lebih besar untuk keluarga.

Bila Ibu Rasa ‘Macam Tak Buat Apa-apa Hari Ni’, Ingatlah 6 Perkara Ini

Wahai Ibu, janganlah rasa sedih bila datang perasaan sebegini. Ingatlah 7 perkara ini.

1. Ibu Dah Lakukan Tugas Dengan Sempurna

Orang mungkin nampak ibu tertidur, tapi ibu sebenarnya dah bangun seawal 5 pagi. Orang mungkin nampak rumah bersepah, tapi sebenarnya ibu dah kemas rumah 4-5 kali. Orang mungkin nampak baju anak-anak comot, tapi sebenarnya mereka baru mandi dan dah salin baju 2-3 kali. Orang mungkin nampak ibu menyusu sambil berbaring dan main handphone, tapi sebenarnya itu sajalah masa yang ada untuk ibu berehat.

Percayalah ibu telah melakukan tugas anda dengan baik-baik saja. Malah, ibulah yang selalu meletakkan expectation yang tinggi untuk diri anda sendiri. Ibu bukan tak buat apa-apa, tapi ibu dah buat SEMUAnya.

2. Ibu Tak Perlu Bersaing Dengan Sesiapa

Memang ada kawan kita yang dah berjaya jadi orang kaya, ada yang berjaya buka bisnes meletup-letup, ada yang dah berhijrah ke luar negara, dan ada yang kita selalu tengok dalam TV. Kita pula? Duduk ‘terperuk’ di rumah saja setiap hari.

Mungkin ramai ibu surirumah yang selalu rasa rendah diri apabila membandingkan diri mereka dengan rakan-rakan lain. Walaupun tak glamor, tak popular, dan tak nampak ‘hasilnya’, menjadi surirumah juga adalah tugas yang mulia. Tak perlu bandingkan diri dengan sesiapa kerana keadaan dan kekangan anda semua berbeza. Lagipun, apa yang kita nampak di media sosial pun bukanlah gambaran sebenar kehidupan seseorang ya.

Foto Kredit: canadianbusiness.com

3. Tak Salah Ambil Masa Untuk Berehat

Kalau ya pun ibu tak buat apa-apa hari ini, apa salahnya? Tugas seorang surirumah, seorang ibu, dan seorang isteri selama ini tak pernah ada hari cutinya. Jadi, tak salah kalau ibu mengambil sedikit masa untuk berehat agar lebih bertenaga dan gembira.

Walaupun ibu tak melakukan apa-apa, minda ibu begitu sarat dengan informasi. Ramai ibu mengalami ‘mental load’ di mana ibu sentiasa risau dan memikirkan apa yang patut dilakukan sama ada untuk anak-anak mahupun suami. Ironinya, sedikit sekali yang ibu lakukan untuk diri sendiri.

Walau apa pun alasan ibu, ‘me time’ ini sangat penting untuk keperluan badan dan otak seperti yang dinyatakan oleh Psychology Today.

pengalaman anak pertama

Foto Kredit: sheknows.com

4. Ibu Tak Keseorangan

Tak salah mengajak suami dan anak-anak turut serta dalam melakukan kerja rumah. Kadang-kadang kita yang terlalu memendam dan tak mahu minta bantuan. Kita lupa yang suami juga ada bahagiannya dan anak-anak juga dapat belajar banyak perkara dengan membantu di rumah.

Selain itu, dengan berbual dan meluahkan perasaan dengan suami, keluarga, rakan terdekat atau melalui komuniti serta saluran yang betul, tak mustahil ia boleh menjadikan hari anda lebih positif.

Foto Kredit: egaga.pl

5. ‘Other Things Can Wait’

Ibu mungkin tak mahu ketinggalan melihat anak membesar. Ibu mungkin terpaksa mengikut suami yang berpindah ke tempat kerja baru yang jauh dari tempat anda dahulu. Ibu mungkin belum berjumpa pengasuh anak yang sesuai. Ibu mungkin terpaksa menjaga anak anda dengan lebih perhatian disebabkan masalah kesihatannya.

Barangkali ada 1001 perkara yang ingin dilakukan dalam senarai yang telah lama anda impikan. Namun, semua itu boleh ditangguhkan seketika. Buat masa ini, menguruskan anak dan suami – inilah yang penting untuk anda. Jangan risau kerana akan ada masa untuk anda kejar semula apa yang anda impikan.

6. Ibu Akan Rindukan Saat Ini

Bila anak-anak tiada di sisi nanti, kita pun akan rindu pada keriuhan suara mereka. Anak-anak membesar sekejap saja. Dalam beberapa bulan atau tahun, ibu akan dapati kerja-kerja harian menjadi bertambah lancar dan senang. Jadi, hargailah masa bersama mereka sekarang ini.

Dalam sedikit masa lagi, mereka akan ke tadika, sekolah, dan seterusnya ke asrama. Di waktu itu, ibu akan dapat merangka sedikit masa untuk melakukan hal yang ibu ingin lakukan. Ramai yang mengambil kesempatan untuk berbisnes, membuat kerja separuh masa, dan ada yang telahpun selesa menjadi surirumah sepenuh masa.

Foto Kredit: someecards.com

Tak Ada Sesaat Pun Terbazir Untuk Anak-anak

Setiap masa yang terluang bersama anak-anak anda adalah memori indah dalam ingatan mereka. Setiap keringat dan titik peluh ibu menguruskan suami dan anak-anak juga adalah pahala yang dicatat setiap butirnya.

Jangan anggap tugas ibu remeh walaupun seharian hanya di rumah saja. Jangan rasa sedih atau rendah diri kalau tak dipandang tinggi setaraf doktor atau engineer. Jangan anggap anda ‘tak buat apa-apa’ sebab tak ada sesaat pun yang terbazir untuk anak-anak. Hakikatnya, hanya kita yang tahu betapa penat dan sukarnya bergelar seorang ibu surirumah.

Yang Popular

To Top