Sihat

Jangan Pandang Remeh, 7 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Gigi Pertama Bayi

93
SHARES

“Eh, macam dah nak keluar gigilah… Wah, seronoklah dia boleh makan macam-macam nanti!”

Ibu ayah mesti teruja bila bayi gigi pertama bayi mula kelihatan. Bukan setakat comel, kita pun rasa seronok nak bagi si kecil cuba makan makanan yang lebih keras sebab dah ada gigi.

Dalam keterujaan tersebut, ada beberapa perkara yang perlu Mama dan Papa tahu tentang gigi pertama bayi anda.

7 Perkara Mama Papa Perlu Tahu Tentang Gigi Pertama Bayi

1. Sakitkah Bila Bayi Tumbuh Gigi?

Kebanyakan bayi akan menunjukkan beberapa simptom ketidakselesaan apabila gigi pertama mereka mula tumbuh. Dalam sesetengah sumber, kesakitannya dikatakan hampir serupa ketika kita tumbuh gigi bongsu. Ada antara kita yang rasa sakit dan ada yang tak rasa apa-apa. Begitu juga dengan bayi

Gusi berhampiran gigi yang tumbuh itu mungkin akan kelihatan bengkak dan lembut. Mama dan Papa boleh bantu bayi melegakan rasa tidak selesa ini dengan menekan lembut pada gusi bayi menggunakan jari yang bersih. Anda boleh membalut jari anda dengan kain lampin yang basah semasa melakukannya.

Selain itu, ada juga beberapa cara lain seperti memberi teether atau finger food untuk digigit oleh bayi.

tanda bayi tumbuh gigi

Foto Kredit: onlymyhealth.com

2. Demam & Simptom Lain

Orang kata bayi selalunya demam masa nak tumbuh gigi. Memang betul, suhu badan bayi mungkin menjadi sedikit tinggi berbanding biasa apabila dalam proses tumbuh gigi atau teething ini. Bayi anda juga biasanya akan mengeluarkan lebih banyak air liur berbanding biasa.

Menurut sumber, suhu badan yang di bawah 38 darjah Celsius mungkin dikaitkan dengan proses tumbuh gigi manakala jika ia melebihi suhu tersebut, ia petanda jangkitan atau simptom yang memerlukan rawatan doktor. Maka, Mama dan Papa perlulah memantau suhu bayi dan memastikan ia tidak meningkat terlalu tinggi.

Selain itu, Mama dan Papa mungkin perasan yang bayi suka menarik telinga atau sering menggaru-garu bahagian telinga seolah-olah tidak selesa. Ini kerana rasa sakit pada rahangnya dapat dirasai pada saluran telinga.

Namun, ia adalah salah satu simptom teething yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh jadi petanda jangkitan telinga.

Foto Kredit: rcemlearning.co.uk

3. Gigi Mana Akan Tumbuh Dulu?

Biasanya 2 batang gigi bawah di bahagian depan akan tumbuh terlebih dahulu pada usia sekitar 6 hingga 10 bulan.

Ini diikuti dengan 2 gigi depan di bahagian atas pada usia 8 hingga 12 bulan. Lihat carta di bawah untuk memantau pertumbuhan yang setrusnya.

4. Gigi Sebatang Tetap Perlu Digosok

Sebaik saja gigi pertama bayi muncul, Mama dan Papa perlulah memulakan rutin memberus giginya 2 kali sehari, terutamanya selepas minum susu.

Ada berus gigi yang direka khas untuk bayi seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah.

5. Ubat Gigi Berfluorida Hanya Perlu Selepas Usia 3 Tahun

Pada peringkat awal, memadai menggosok gigi bayi dengan air biasa saja. American Academy of Pediatrics (AAP), American Dental Association (ADA), dan American Academy of Pediatric Dentistry (AAPD) menyarankan ubat gigi berfluorida digunakan apabila si kecil mencecah usia 3 tahun. Kuantitinya adalah sebesar biji kacang saja.

Tak perlu bubuh banyak-banyak ya sebab ramai yang salah faham dan picit ubat gigi hingga penuh atas berus gigi.

Foto Kredit: Golden Paediatrics

6. Gigi Bayi Boleh Rosak Seawal Usia 18 Bulan

Jangan biarkan bayi anda tidur sambil menghisap botol susu kerana ia boleh menyebabkan kerosakan gigi. Seeloknya bersihkan mulut dan gigi bayi setiap kali sebelum tidur. Jangan ingat walaupun bayi hanya minum susu, mereka tak akan alami kerosakan gigi ya.  Bayi yang dah mula makan boleh diberi minum sedikit air kosong selepas selesai makan untuk membantu ‘mencuci’ makanan dalam mulut. Rutin ini penting kerana kerosakan gigi boleh berlaku pada bayi usia seawal 18 bulan.

Ajarkan bayi anda untuk minum daripada cawan biasa seawal usia 12-15 bulan. Meminum daripada cawan adalah lebih digalakkan berbanding botol susu kerana cecair tidak akan mudah terkumpul dalam mulut lalu merosakkan gigi. Tabiat ini juga dapat mengurangkan attachment anak pada botol susu.

http://health.liputan6.com/

7. Bila Patut Jumpa Doktor Gigi?

Sebenarnya anak anda dah boleh dibawa berjumpa doktor gigi dalam tempoh 6 bulan selepas gigi pertamanya tumbuh. Pemeriksaan oleh doktor gigi secara rutin dari semasa ke semasa dapat  memberi anda lebih maklumat tentang cara penjagaan gigi yang lebih jelas, bergantung kepada kondisi gigi anak.

Kadangkala, kita mungkin tak perasan yang gigi anak dah mula mengalami kerosakan. Jadi, pemeriksaan rutin dapat membantu mencegahnya daripada menjadi lebih buruk. Jangan tunggu gigi goyang atau sakit, baru nak jumpa doktor gigi ya!

gigi pertama bayi

Foto Kredit: Monroe Family Dentist

Gigi Susu Atau Gigi Kekal, Kedua-duanya Perlu Dijaga

Ada ibu bapa yang kurang mengambil berat tentang penjagaan gigi anak kerana merasakan gigi susu hanya sementara. Bila dah ada gigi kekal, baru jaga elok-elok.

Tapi tahukah anda, kerosakan gigi yang serius pada gigi susu boleh menyebabkan pertumbuhannya yang abnormal pada gigi kekal nanti.

Maka jangan ambil mudah, tekankan kesihatan gigi dan mulut sejak bayi lagi agar si kecil mendapat senyuman yang menawan!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×