Inspirasi

Walaupun Ada PhD, Setahun Baru Dapat Kerja Idaman. Wanita Ini Kongsi Pengalaman & Tips Mohon Jawatan Pensyarah

2.2K
SHARES
mohon jawatan pensyarah

Sekarang ni musim konvokesyen kan. Ramai yang upload gambar graduasi. Mesti seronok dan rasa lega bila dah habis belajar. Mungkin ramai juga yang tak sabar nak mulakan alam pekerjaan yang diidam-idamkan.

Namun sedang hangat diperkatakan tentang peluang pekerjaan di Malaysia buat masa ini. Ada yang kata graduan memilih kerja, malas dan tak tahu teknik. Tapi jika disingkap di sebalik realitinya, ramai graduan yang dah benar-benar berusaha dan sanggup membuat macam-macam kerja sementara menunggu kerja yang diidamkan.

Kali ini kami berbesar hati berkongsikan sebuah kisah inspirasi dan tips berguna daripada salah seorang graduan PhD Fakulti Kejuruteraan, Nashrah Hani Jamadon.

Semoga ia memberi semangat dan panduan kepada semua graduan di luar sana.

Kehidupan Graduan PhD Tak Semudah Yang Disangka

Alhamdulillah,

Dua tahun dari tarikh bergraduasi. Setinggi kesyukuran kepada yang Esa atas aturan rezeki. Betapa jauh dan berlikunya jalan yang ditempuh untuk berada di sini pada hari ini. Moga Allah menjaga hati ini untuk kekal dalam ketaatan dan syukur kepadaNya.

Saya grad tahun 2017, dapat tawaran kerja 2018. Ada gap selama setahun. Tempoh setahun yang panjang dan tiada arah tuju.

Cita-cita nak jadi ahli akademik. Walau ribut taufan, kemarau panas sekalipun, saya tekad habiskan belajar sampai PhD.

Selepas tamat, kehidupan graduan PhD ini tak semudah yang disangka. Lebih-lebih lagi kalau nak jadi pensyarah universiti.

Susah nak dapat, dan semuanya bergantung kepada rezeki.

Ya, rezeki.

Sambil mohon kerja, dalam setahun itu saya juga berniaga. Berniaga kecil-kecilan je.

Saya belajar masak, saya buat packaging, saya buat promosi dan saya juga delivery.

Jadi hari-hari boleh kata sibuk jugalah. Boleh tahan kencang juga. Tapi untuk part time jelah..

Mohon Jawatan Pensyarah Hampir Ke Separuh Universiti Di Malaysia

Setahun saya apply kerja. Sebagai pensyarahlah, sebab memang minat.

Kalau tak pun sebagai researcher di syarikat yang ada RnD.

Kalau ikutkan, hampir separuh universiti di Malaysia (IPTA & IPTS) pasti terima permohonan saya. Antara berjaya atau tak sahaja.

Saya kongsikan antara respon dari universiti yang dipohon untuk permohonan saya yang tak seberapa power tu:

– UiTM : permohonan tidak berjaya, mereka tawarkan postdoc
– USIM : permohonan akan dipertimbangkan (sampai sekarang masih dalam pertimbangan)
– UPM : tidak berjaya
– UTEM : tidak berjaya
– UNITEN : maklumkan pengambilan kakitangan dibekukan
– UMP : tawarkan postdoc
– UTHM : panggil untuk temuduga, tapi gagal
– UTM : panggil temuduga

and the list goes on…

Ambil Langkah Ekstrem Mohon Kerja Pensyarah Di Universiti Luar Negara

Sampai satu tahap, sebab tunggu punya lama diorg tak reply, saya ambil langkah ekstrem sikit.

Saya hantar permohonan ke universiti luar negara. Yang ini by email sahaja.

Saya nekad untuk cari kerja universiti di UAE. Tak banyak universiti untuk saya mohon di sana, sebab universiti wanita terhad.

Tapi dalam 3,4 permohonan, King Fahd University of Petroleum & Minerals panggil untuk temuduga.

Belum sempat cuba untuk interview, UKM dah panggil.

Alhamdulillah, rupanya rezeki tercatat di sini cuma lewat sikit dapatnya.

Sedikit Tips Mohon Jawatan Pensyarah

Berbalik pada minta kerja pensyarah tadi, bagaimana cara saya mohon?

Berikut beberapa tips dan panduan memohon yang boleh saya kongsikan berdasarkan pengalaman.

1. Tak Perlu Tunggu Iklan

Untuk permohonan ke universiti sebagai pensyarah, tak perlu tunggu iklan dibuka. Selalunya tiada iklan pun.

Jadi kita randomly mohon dan cuba jaya sahaja.

2. Dokumen Penting Untuk Hardcopy

Saya buat permohonan secara ‘hardcopy’ sebanyak 2 salinan; satu kepada dekan/ketua jabatan (peringkat fakulti) dan satu lagi ke pejabat pendaftar (peringkat universiti).

Antara dokumen yang dihantar semasa permohonan:

i. CV Yang Kemas

Edit guna powerpoint sahaja. Mudah.

Tips penting: Print CV menggunakan kertas 90-100gsm. Jadi CV kita keras dan tebal berbanding biasa (70, 80gsm).

Sebelum orang nak buang at least dia akan belek lah CV kita yang tebal tu. Dan pastikan di CV ada senarai penerbitan.

Ini penting kalau nak masuk dunia akademik terutamanya untuk IPTA dan RU. Kalau tak ada, takpe. Bagi sahaja research background.

ii. Cover Letter

Iaitu pengenalan diri dan untuk apa surat ini sampai pada pembacanya.

Saya buat dalam bahasa Inggeris. As mentioned, satu universiti hantar 2 permohonan, jadi akhir surat saya ‘sk’ (salinan kepada) Ketua Jabatan/Pejabat Pendaftar. Kandungan surat pastikan kemas dan formal.

[Boleh PM di SINI kalau ada yang nak contoh surat dan CV.]

iii. Manuskrip & Sijil

Kepilkan sekali manuskrip Degree, Master dan PhD dalam permohonan tersebut.

Sijil-sijil perbahasan, taekwando, wakil lontar peluru, penghargaan atau apa-apa yang kurang berkaitan tak perlu lagi. Nanti bila dipanggil interview baru sediakan.

iv. Fail Lutsinar

STEP PENTING!

Masukkan semua dokumen yang dah dicetak ke dalam fail lutsinar. Ini bagi elak basah terkena hujan.

Saya guna sampul A4 berwarna putih. Kenapa putih, saya dengar tips dari member yang kerja HR suruh guna envelope putih.

Permohonan hantar guna Pos Malaysia dengan setem harga 90 sen (harga 2 tahun lepas).

3. Permohonan Online

Jangan lupa juga tengok laman web rasmi universiti yang hendak dimohon.

Isi borang kalau ada disediakan secara online. Google lah sikit.

4. Jangan Mudah Putus Asa

Hasilnya ikut rezekilah. Ada cepat, ada lambat, ada yang tak respon langsung.

Walau tak semua yang reply tetapi banyak juga IPT-IPT yang top beri maklum balas. Jadi kita tahulah, walau permohonan tidak berjaya tapi sekurang-kurangnya permohonan kita mereka baca dan mereka respon.

Jadi akhirnya, apapun yang kita buat.. just don’t give up! Never ever give up. Keep trying and keep hunting.

Kalau kita betul-betul minat.

mohon jawatan pensyarah

Of course, kesabaran akan teruji dalam tempoh itu. Teruslah berdoa, minta doa dari semua orang yang kita jumpa. Dengan kanak-kanak, dengan makcik jual keropok, dengan kucing yang kita bagi makan dan yang paling penting, minta doa dari IBU dan AYAH. And kita pun kenalah doa sama.

Amal kepada Allah juga kena tingkatkan. Mohon redha Allah selalu. Jika tidak berjaya sekarang, inshaAllah satu hari nanti Allah akan bagi. Yang penting, terus usaha.

Just remember, Allah makes everything beautiful at the right time, at the right place, for the best reason.

Posting sekadar untuk berkongsi pengalaman dan reflection diri.

Keep going, and never quit!
Nashrah Hani
FKAB, UKM

Semoga Menjadi Inspirasi

Wah, bukan mudah tu nak dapat kerja idaman walaupun dah memegang segulung PhD.

Insha Allah kalau kita terus berusaha, pasti ada hasilnya nanti.

Jadi, janganlah kita cepat mengalah ya. Diharapkan kisah pengalaman dan tips ini dapat dijadikan peniup semangat, terutamanya mereka yang bercita-cita menjadi ahli akademik seperti beliau.

Semoga bermanfaat!

*Perkongsian pengalaman dan tips mohon jawatan pensyarah ini dikongsikan oleh Nashrah Hani Jamadon menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan permohonan , rujuk post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×