Seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut selepas lebih 24 jam menerima rawatan. Kematian difahamkan akibat tersedak susu ketika berada di bawah jagaan pengasuh di Putrajaya, kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan tersebut daripada pegawai perubatan Hospital Putrajaya.
Baca juga: Awas! Ibu Ayah Jangan Suka-Suka Bagi Makanan Ini Dekat Anak, Boleh Bawa Maut!
BAYI EMPAT BULAN MAUT TERSEDAK SUSU
Semasa pasukan ambulans tiba di lokasi kejadian, ibu bayi tersebut sedang membuat bantuan kecemasan pernafasan untuk anaknya.
“Bayi itu yang tidak sedarkan diri kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut dan ditempatkan di zon merah dalam keadaan kritikal,” jelasnya.
Berdasarkan keterangan daripada pengasuh, bayi tersebut difahamkan tiba-tiba tersedak dan air susu terkeluar dari hidungnya.
Pengasuh cuba memberi bantuan dengan menepuk dan menggosok belakang mangsa namun bayi tersebut tidak sedarkan diri.
Mangsa dikejarkan ke dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya dan dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 3 petang semalam.
Hasil siasatan mendapati pengasuh tidak mempunyai lesen dan sijil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan 1984.
Baca juga: Mak Ayah Kena Belajar 4 Langkah Mudah Ini Untuk Selamatkan Anak Jika Tercekik, Penting!
Sumber: Harian Metro