Bab jalan-jalan cari makan memang dah sebati dalam darah orang Malaysia. Walaupun tak sepopular Melaka dan Penang, makanan di Ipoh sebenarnya tak kurang hebatnya. Kalau tak, takkanlah ia dinamakan salah satu bandar paling top di dunia oleh Lonely Planet kan?
Pilihan makanan yang bervariasi dan hanya ada di negeri ini pasti menarik perhatian sesiapa pun. Jadi kalau bercuti di Ipoh, jangan lepaskan peluang untuk makan di tempat-tempat ini.
11 Tempat Makan Di Ipoh Yang Paling Famous. Mesti Cuba!
1. Nasi Vanggey / Nasi ‘Ganja’
Nasi vanggey atau nama glamour lainnya ‘nasi ganja’ memang sudah cukup sinonim di Bandar Ipoh. Walaupun hidangannya serba simple seperti gabungan nasi putih dan ayam goreng serta kuah kari dan sambal campur, tapi entah apalah bahan rahsianya sampaikan pengunjung tidak putus-putus datang ke sini.
Kalau nak cari nasi vanggey original, ia terletak depan kedai kopi Yong Suan. Memang rugi kalau tak cuba nasi vanggey kalau sudah ke Ipoh.
Alamat: Kedai Kopi Yong Suan, 2, Jalan Yang Kalsom, 30250 Ipoh, Perak
2. Mee Daud Mat Jasak
Walaupun restoran ini sudah beroperasi selama 40 tahun, namun keenakannya masih sama. Memang kena dengan selera pengunjung. Mee kicap dan mee karinya memang cukup terkenal.
Seawal 8 pagi kedai ini memang sudah sesak dengan orang yang menjamu selera dan beratur untuk mengambil pesanan.
Pengunjung selalunya memesan mee karinya yang kerana kuah yang cukup lemak dan pekat lengkap dengan fishball, fishcake dan tauge. Mee kicap yang asalnya merupakan menu masyarakat Cina diolah rasa supaya kena dengan cita rasa Melayu. Mee sup dan yong taufu sup juga ada dijual bagi penggemar hidangan sup.
Alamat: No 1 & 2, Jalan Dato Onn Jaafar, Kampung Jawa, 30300 Ipoh, Perak
3. Mee Udang Ketam Sempoi Diraja
Penggemar makanan laut jangan lupa untuk bertandang ke Mee Udang Ketam Sempoi Diraja. Mee udang di sini juga cukup terkenal dan mendapat ulasan yang baik dari macam-macam portal travel.
Banyak variasi makanan laut segar yang boleh dipilih seperti udang galah, udang harimau, ketam nipah, king crab dan banyak lagi. Anda juga boleh pilih untuk menikmati makanan laut yang dimasak lauk seperti masak cili dan masak telur masin.
Alamat: No 51, Lorong Sungai Choh 10, Taman Tanjung Perdana Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, 31150 Ipoh, Perak
4. Restoran Simpang Tiga
Apa yang membuatkan restoran ni special ialah restoran inilah satu-satunya cawangan nasi padang di Malaysia setakat ni. Menu khas dari Indonesia yang dimasak dengan rasa yang cukup ‘aunthentic’ membuatkan kedai ini padat dengan pelanggan.
Anda boleh memilih pelbagai jenis lauk pauk dan sambal istimewa padang. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mencuba nasi ayam penyet, gulai ayam kampong, dan ikan pekasam loma yang tidak kurang hebatnya.
Alamat: D-G, Jalan Dato Seri Ahmad Said, Kampung Kastam Greentown, 30450 Ipoh, Perak
5. Ipoh Hainan Chicken Rice
Walaupun nasi ayam mudah didapati di mana-mana, tapi pelancong sentiasa terpanggil untuk mencuba nasi ayam di Ipoh kerana aura dan rasanya yang unik dan asli. Nasi ayamnya lain daripada yang lain kerana rasanya yang cukup menyerlah dan tersendiri.
Pelanggan boleh memilih untuk menikmati nasi ayam dengan pilihan ayam roasted (bakar) atau steamed (kukus). Pengunjung juga boleh mencuba mee hailamnya atau hidangan sampingan seperti kerabu mangga, tauhu jepun dengan sos tiram dan wan tan hoo.
Tak perlu ragu kerana restoran ini mempunyai sijil halal yang diiktiraf.
Alamat: 107, Jalan Raja Musa Aziz, Kampung Jawa, 30300 Ipoh, Perak
6. Dim Sum Cafe Greentown
Kalau anda peminat dim sum, singgahlah ke Dim Sum Cafe Greentown. Dijamin halal, memang rambang mata nak memilih dim sum sebab terlalu banyak pilihan dim sum – tak kiralah sama ada yang dikukus atau goreng.
Menariknya, restoran bukan hanya semata-mata menjual dim sum, malah turut menyajikan makanan utama lain seperti hidangan nasi, mee dan hidangan sampingan lain.
Alamat: Greentown Dim Sum Café, No 10, Persiaran Greentown 4, Greentown Avenue, 30450 Ipoh, Perak.
7. Mee Rebus Ramli
Selain mee kari dan mee udang, Mee Rebus Ramli juga sering menjadi sebutan dan disyorkan oleh orang ramai. Selalunya kekuatan hidangan mee terletak pada kuahnya. Kuahnya yang cukup pekat rasanya cukup pedas, masam dan manis.
Penggemar mee mesti cuba menikmati mee rebus ini apabila bercuti di Ipoh. Jangan ingat ada mee rebus saja tau. Di sini ada juga menghidangkan juadah lain seperti nasi ayam, mee sup dan hidangan western. Hah, macam-macam ada kan? Sesuai sangatlah angkut satu keluarga!
Alamat: No 767, Taman Tasik Jaya, Jalan Kuala Kangsar, 31400 Ipoh, Perak
8. FM Tomyam House
FM Tomyam House memang cukup unik kerana tomyam di sini dimasak dengan air kelapa muda, kemudian isi kelapa juga turut dimasukkan bersama dengan udang, sotong dan ramuan lain. Kombinasi yang cukup padu!
Hidangan panas lain juga turut disediakan untuk pelanggan.
Alamat: No 4, Gerai Lama Medan Selera Silibin, Lengkok Kledang Raya, Taman Keledang Jaya, Ipoh
9. Assam House Restaurant
Di Ipoh juga ada restoran Cina Muslim yang cukup popular untuk anda cuba di Assam House Restaurant. Antara hidangan signature di sini termasuklah hidangan asam pedas ikan merah, ayam goreng pandan, dan lauk pucuk paku gulai lemak.
Restoran ini juga mendapat feedback yang positif daripada rancangan terkemuka JJCM dan Best in The World 8TV.
Alamat: 2&2A, Medan Gopeng 2, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah, Ipoh, Perak.
10. Restoran Pakeeza
Daripada hidangan Indonesia ke Cina, Ipoh juga turut menawarkan variasi makanan dengan menu India Utara di Restoran Pakeeza.
Antara yang sering menjadi menu wajib pengunjung ialah nasi briyani, kari ikan, roti naan ,dan roti puri. Juadah vegetarian juga disediakan . Hidangan karinya dikatakan antara yang terbaik di Ipoh.
Harganya cukup berbaloi dengan kualiti makanan yang disediakan.
Alamat: 15-17, Jalan Dato Seri Ahmad Said, 30450 Ipoh, Perak
11. 21 Grilled
Restoran 21 Grilled ini mengolah menu burger jalanan menjadi hidangan istimewa sehingga mendapat tempat di hati orang Ipoh dan pelancong luar.
Restoran ini menawarkan hidangan burger Ramly bersaiz jumbo yang padat diisi dengan pelbagai ramuan yang boleh dikongsi sehingga 3 ke 4 orang.
Restoran ini juga terkenal dengan nasi briyani lamb grilled dan chicken grilled serta makanan Barat lain. Restoran ini juga popular kerana pernah mendapat kunjungan daripada JJCM TV3.
*Update: 21 Grilled yang terletak di Riverfront kini telah berpindah ke Taman Cempaka (berhampiran Politeknik Ungku Omar) dan satu lagi cawangan di Gunung Rapat (berhadapan Starbucks).
Jom Jalan-jalan Ipoh!
Nampaknya tak perlu fikir dua kali kalau nak cari port makan yang best di Ipoh.
Juadahnya yang pelbagai seakan memanggil-manggil pengunjung untuk bertandang ke bandar ini. Tambahan pula, kebanyakan hidangan hanya boleh didapati di sini.
Boleh rancang percutian jalan-jalan cari makan ini dengan baik supaya tidak perlu bersesak dan beratur panjang dengan pelancong lain.