Tular di media sosial satu percutian bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak difahamkan mengalami kecederaan telinga putus akibat digigit kuda di sebuah ladang agro di Seremban.
Kejadian ini berlaku pada 19 Januari lalu namun baru sahaja tular sejak beberapa hari ini selepas si bapa memuat naik video berkenaan.
Baca juga: ‘Parents’ Marah Cikgu Duit Bantuan Tak Cukup RM50, Anak Kata Tolak Yuran PIBG, Tapi Rupanya…
TELINGA PUTUS DIGIGIT KUDA KETIKA BERCUTI DI SEREMBAN
Suhaimi Mohd Rafi menjelaskan bahawa dia bersama isteri dan anak mereka, Muhammad Aniq Farhan, 6, singgah ke ladang agro itu di daerah ini selepas selesai urusan di Kuala Lumpur pada 19 Januari lalu.
“Kami tiba di ladang agro sekitar 5.30 petang, selepas membeli tiket kami masuk dan melihat beberapa haiwan di situ, ketika mahu beredar anak mahu melihat dan bergambar dengan kuda di situ.
“Anak saya dibenarkan menunggang kuda itu dengan bayaran tiket dan dikawal penjaga kuda, selesai menunggang kami diajak bergambar di dalam kawasan berpagar, ketika itulah kejadian berlaku,” jelasnya kepada media tempatan.
Suhaimi menambah bahawa anak lelakinya terlalu teruja ingin mengambil gambar dan video namun tidak disangka-sangka seekor kuda yang berada berhampiran menggigit telinga anaknya.
Kuda tersebut dikatakan turut menghantuk kepala budak berkenaan dan terkena pada besi menyebabkan kepalanya turut cedera manakala cuping telinga kiri koyak dan terputus.
Suhaimi mendakwa bahawa dia juga telah menghubungi pemilik ladang agro farm ketika anaknya dirawat di hospital swasta, namun lelaki berkenaan bercakap secara kasar.
“Nasib baik wakilnya, seorang wanita datang ke hospital dan menenangkan kami, malah berjanji akan membayar pampasan. Anak menjalani pembedahan pada malam itu sebelum selesai kira-kira 1 pagi.
“Pihak agro farm memaklumkan hanya mampu membayar RM500 saja namun sehingga kini mereka belum menjelaskannya. Anak saya yang mempunyai masalah autisme kini stabil dan telinganya selamat disambung, namun masih trauma,” jelasnya.
Dia turut memberitahu bahawa tindakannya membenarkan si anak mendekati kuda adalah dipersetujui oleh pekerja di situ. Jadi, mereka beranggapan semuanya selamat.
Baca juga: Budak OKU Alami Pendarahan Teruk Selepas Berkhatan, Terpaksa Tahan Sakit Selama 8 Jam!
Sumber: Harian Metro