Setiap kali berada di luar kawasan rumah terutama sekali berjalan-jalan atau melancong dalam negara dan luar negara, kebersihan tandas awam amat dititikberatkan. Ada yang bersih di skala cemerlang, ada yang sederhana malah ada yang sangat teruk penjagaannya!
Paling penting adalah bagi negara Malaysia, untuk menaikkan ‘standard’ kita di mata orang luar, kebersihan tandas awam perlu dijaga supaya selesa digunakan pelancong dan rakyat sendiri. Jadi, ini merupakan markah yang diberikan oleh pelancong luar tentang tandas awam negara kita.
Baca juga: 10 Tempat Hanya Indah Khabar Dari Rupa Di Malaysia, Kalau Pergi Rasa Serabut!
TANDAS AWAM DI MALAYSIA TAHAP SEDERHANA, HANYA 5/10
Menurut laporan Sinar Harian, daripada 12 pelancong asing yang ditemui, hampir separuh daripadanya memberikan markah 5/10 khususnya di ibu kota Kuala Lumpur berada pada tahap sederhana. Ramai yang ditemui antaranya membangkitkan :
-Keadaan lantai tandas yang basah dan licin
-Sering ketiadaan tisu serta
-Ada di sesetengah tempat tidak dipantau kualiti pembersihannya.
Pelancong dari Itali, Flavio Sartorelli, 33, berkata, setakat empat hari berada di Malaysia, dia belum pernah menggunakan tandas awam kerana kurang selesa.
“Saya tak pernah guna tandas awam seperti di stesen minyak dan kedai makan kerana keadaan lantai basah serta tiada tisu tandas.
“Setakat ini saya hanya gunakan tandas di tempat penginapan atau pusat beli-belah yang lebih bersih,” katanya ketika tinjauan berkenaan kualiti tandas di Malaysia khususnya di ibu kota Kuala Lumpur.
Menurutnya, sebelum ini dia banyak menumpukan percutian di negara Eropah dan Malaysia merupakan negara Asia pertama dilawati sebelum berangkat ke Singapura dan Bali, Indonesia. Tambahnya lagi, dia agak kekok juga kerana tandas di Malaysia berbeza dengan negara Eropah seperti penggunaan pili air berbanding bidet atau tisu tandas.
“Masalah pili air tidak menjadi masalah besar kerana saya boleh belajar menggunakannya, tetapi tisu kena sentiasa bawa kerana tidak semua tandas ada.
“Tandas di Malaysia bersih cuma mungkin boleh ditambah baik seperti kekerapan kerja pembersihan kerana kebanyakan tandas dalam keadaan basah dan licin,” katanya.
Selain itu katanya, papan tanda arah lokasi tandas awam juga perlu diperbanyak untuk memudahkan pelancong asing mencari kemudahan tersebut. Bagi pelancong dari Jepun yang mahu dikenali sebagai Kayo, 30, selain ketiadaan tisu tandas, keadaan tandas awam di restoran kadangkala disifatkan agak ‘menakutkan’.
LANTAI TANDAS LICIN DAN BASAH
Ramai dalam kalangan pelancong membangkitkan isu yang sama iaitu lantai tandas yang basah serta licin. Memang sudah tidak dinafikan lagi bahawa tahap kebersihan tandas di Jepun masih berada dalam tahap yang tinggi berbanding negara-negara lain. Dia turut membangkitkan ketidakselesaan dengan keadaan tandas basah di Malaysia berbanding Jepun di mana lantai sentiasa kering.
Terdapat juga seorang pelancong dari Yemen, Mohamed Muaadh Alkahtani, 18, berkata, dia yang bermastautin di China menyifatkan tandas di Malaysia tidak sebersih negara tembok besar itu.
“Di China, tandas akan diganti setiap beberapa tahun kerana ia berkait aspek kebersihan selain akan menyebabkan tandas berbau. Naik taraf tandas perlu diberi tumpuan terutama di dalam restoran serta taman awam seperti zoo dan kawasan rehat,” katanya.
Bagaimanapun katanya, situasi itu tidak hanya dihadapi di Malaysia tetapi juga di kebanyakan negara yang telah dilawati. Malah, banyak lagi negara yang keadaannya lebih teruk dari Kuala Lumpur namun tak salah kalau ramai pelancong berharap Malaysia boleh mengambil berat penambahbaikan tandas awam ini.
“Daripada 10, saya beri markah lima untuk tandas di Malaysia manakala di negara Arab, tiga markah sementara di China kualiti tandas berada di tahap lapan,” katanya.
*Jadi rakyat Malaysia semua, adakah anda bersetuju dengan markah tersebut?
Baca juga: 10 Tempat Percutian Popular Seluruh Dunia Ini Sebenarnya TERUK, Tak Mahu Pergi Dah!
Sumber: Sinar Harian