Tak dinafikan bahawa orang perempuan adalah makhluk yang kompleks dan kadangkala ‘misteri’. Bila dia marah, dia takkan cakap yang dia tengah marah. Sebaliknya, lebih suka menyimpan perasaan lepas tu mengamuk tak tentu pasal. Jarang perempuan berterus-terang bila dia sedang marah atau bengang. Lelaki pula tak semuanya faham bila perempuan bagi ‘isyarat’ melalui gaya bahasa, mimik muka atau kelakuan. Tapi anda mungkin perasan macam ada benda yang tak kena dengannya.
Perempuan mungkin boleh berlakon macam tiada apa-apa berlaku bila kita berjumpa atau bercakap dengannya, tapi kita masih boleh mengagak dengan mudah jika dia sedang marah pada kita melalui cara dia membalas pesanan ringkas (whatsapp/ text). Kalau nak tahu, ada pakar dalam bidang psikologi hubungan dah buat kajian dan menekankan beberapa kelakuan wanita membalas mesej teks ketika dia sedang marah.
Kalau Perempuan Buat 5 Perkara Ini Dalam ‘Text’, Itu Tanda Dia Tengah Marah
1. Tiba-tiba Lambat Balas
Kalau kita dah kenal seseorang, kita mesti dah terbiasa dengan jangka masa yang seringdi ambil untuk balas mesej. Selalunya perempuan tidak akan mengambil masa yang lama untuk membalas lebih-lebih lagi dengan orang yang penting baginya.
Bila dia tiba-tiba lambat membalas, itu bermakna ada benda yang tak kena. Nak-nak pula kalau sekadar ada ‘double tick’ atau ‘seen’ yang menunjukkan dia dah baca mesej kita tadi.
Pakar mengatakan bahawa itu merupakan salah satu ‘amaran’ yang pasangan ada buat salah dengannya. Perubahan drastik kepada jangka masa dalam berkomunikasi ni merupakan cara pasangan untuk menjarakkan dirinya. Melainkan anda berdua sedang sibuk dengan kerja atau perkara lain, itu tandanya dia tengah benganglah!
2. Tak Ada Emoji
Daripada zaman sms lagi, perempuan ada satu tabiat yang satu ini. Emoji atau emoticon pada hujung mesej dianggap sebagai tanda mesra. Meletakkan simbol-simbol comel ini juga merupakan tanda bahawa dia senang berbicara dengan kita. Bagi lelaki, mungkin hanya pernah guna 1-2 emoji saja. Tapi bagi perempuan, hampir setiap emoji ini ada maksud tersendiri dan ia menggambarkan mood seseorang sama ada sedang sedih, gembira, suka ? ? ? atau macam-macam lagi.
Jika mesej yang dibalas hanya kosong dan hambar tanpa sebarang emoji atau simbol heart yang bertubi-tubi seperti dulu, ini bermakna adalah benda yang tak kena tu.
3. Mesej Makin Lama Makin Pendek
“Yang, abang pergi ride dengan kawan hujung minggu ni ya?”
“OK”
OK ni sebenarnya ada banyak maksud. Ada OK yang OK, ada OK yang tak OK. Fuh, confused kan? Mesej pendek-pendek sebenarnya membawa pesanan yang dia betul-betul sedang marahkan kita. Jarang perempuan mesej sekerat-sekerat macam tu walaupun bagi lelaki ianya sesuatu yang normal dan menjimatkan masa.
Kalau sebelum ini dia punya cerita bukan main berjela-jela, tiba-tiba hanya membalas ‘Ya, Tak, Tak tahu’ atau paling teruk dia jawab ‘K’, jangan cepat sangat senang hati.
Perempuan tu mungkin nak anda sendiri perasan yang ada benda dia tengah tak puas hati sampai buat dia merajuk. Jadi janganlah anggap walaupun dia masih membalas mesej, anda boleh ‘terlepas’!
4. Mesej Tiba-tiba Bertukar Formal
Jika tiba-tiba pasangan anda tidak mahu menggunakan panggilan manja atau sweet, guna pula gaya bahasa yang formal, anda mungkin dalam bahaya.
Berbual dengan formal adalah cara kita berkomunikasi dengan orang asing, bukan dengan pasangan yang kita sudah lama kenal. Tona formal ini menghasilkan jurang antara pasangan. Ini juga bermakna dia mahu menjauhkan diri dan mahu mengganggap anda sebagai orang asing – buat sementara waktu. Kalau dah sampai tahap ini, cepat-cepat cari punca supaya dia kembali mesra seperti dulu.
5. Tak Bertanya Soalan Lagi
Selain menceritakan tentang harinya, orang perempuan ni biasalah, macam detektif. Dia rajin bertanya soalan walaupun yang lelaki anggap remeh, contohnya ‘balik pukul berapa?’, ‘hari ni makan apa?’ atau ‘mesyuarat tadi ok?’.
Selalunya perempuanlah yang akan menghidupkan perbualan dua hala dalam mesej teks. Dia juga jarang menghentikan perbualan lebih-lebih lagi dengan orang yang disayangi. Jadi kalau dalam perbualan tu dia hanya menjawab dan tak bertanya lagi, berhati-hatilah ya.
Mesej Teks Boleh Jadi ‘Tafsiran’ Emosi Wanita
Biasanya, masa bercinta macam-macam mesej romantik yang akan kita terima daripada pasangan. Melalui mesej pun, biasanya orang lelaki dah boleh mengagak kalau perempuan tu sedang bersikap dingin dengan kita. Jadi cubalah pujuk dan cari penyelesaiannya bersama.
Apapun, bagi yang dah berkahwin, janganlah hairan pula kalau mesej dari isteri makin lama makin pendek. Kalau ada pun, senarai barang yang nak dibeli di kedai – gula sepaket, roti gardenia, telur 10 biji, bawang besar 6-7 biji. Hah, yang ni memang makin keraplah. Maklumlah, rutin hariannya dah bertambah sibuk. Nak emoji bagai, anak pula nak bergayut sana sini. Memang tak sempat kut?