Sihat

Tanda Lahir Bayi Boleh Jadi Punca Masalah Kesihatan Serius. Ketahui 5 Perkara Ini

102
SHARES

Semua individu dilahirkan ke dunia dengan keunikan yang tersendiri. Tanda lahir merupakan salah satu keunikan tersebut. Menurut sumber, kira-kira 80% daripada bayi yang lahir mempunyai tanda lahir. Tanda lahir pada bayi boleh kelihatan seawal kelahiran bayi atau setelah beberapa bulan.

Meskipun tanda lahir merupakan sesuatu yang biasa dijumpai, namun tak ramai menyedari bahawa dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan komplikasi. Contohnya, ada kemungkinan untuk tanda lahir itu bertukar menjadi sel kanser, seperti yang dijelaskan oleh Dr. Lee Yin Yin melalui sebuah akhbar tempatan.

Mari kita ketahui lebih lanjut tentang tanda lahir pada bayi.

5 Perkara Perlu Tahu Tentang Tanda Lahir Pada Bayi

1. Terdapat 2 Jenis Tanda Lahir

Terdapat dua jenis tanda lahir yang dikenalpasti oleh doktor.

i) Tanda Lahir Berpigmen

Jenis yang pertama dan lebih kerap dilihat pada kulit ialah tanda lahir jenis berpigmen. Tanda lahir yang tergolong dalam kategori ini ialah tahi lalat, tompokan café au lait dan Mongolian Patch.

Tanda lahir jenis café au lait dan Mongolian Patch ada yang kelihatan seperti tompokan berbagai saiz dan bentuk. Tompokan café au lait berwarna coklat gelap sesuai dengan namanya yang bermaksud kopi susu manakala Mongolian Patch pula berwarna kelabu kebiruan yang sering dilihat pada bahagian belakang dan punggung bayi.

Tompokan ini biasanya akan hilang apabila bayi semakin bayi berusia dan ada juga yang kekal pada kulit namun tidak berbahaya.

Tahi lalat pula yang seperti kita tahu ada yang rata pada kulit dan ada yang seakan bonggol berisi dari warna coklat hingga hitam.  Tahi lalat juga boleh bertambah pada kulit seiring dengan peningkatan usia seseorang.

Foto Kredit: healthline.com

ii) Tanda Lahir Vaskular

Tanda lahir kedua ialah jenis vaskular iaitu terjadi apabila lebihan pembuluh darah di bawah kulit tergumpal dan menjadi tompok yang kelihatan pada kulit.

Tanda lahir jenis vaskular yang biasa dilihat ialah salmon patches iaitu tompokan merah jambu yang sering ada pada bahagian muka dan leher bayi.

Jenis kedua ialah hemangiomas menyerupai tahi lalat hidup berwarna merah jika ianya timbul. Tanda lahir ini juga dikenali sebagai strawberry marks.

Ada jenis yang terperangkap di bawah kulit dan berwarna ungu kebiruan dan menyebabkan kulit kelihatan bengkak. Pada tahun pertama usia bayi, jenis tanda lahir hemangiomas boleh membesar tetapi akan mula kelihatan rata sekitar anak berusia 10 tahun dan meninggalkan kesan yang minimum pada kulit.

Jenis tanda lahir vaskular yang seterusnya ialah port wine stain iaitu tanda lahir berwarna merah jambu, merah atau ungu yang berada pada bahagian muka bayi dan boleh membesar mengikut usia bayi.

Contoh ‘strawberry birthmark’. / Foto Kredit: healthline.com

2. Punca Tanda Lahir

Sehingga sekarang tiada punca spesifik mengapa tanda lahir boleh terjadi pada bayi. Kepercayaan bahawa tanda lahir bayi adalah disebabkan oleh ibu mengandung tidak menjaga pantang larang adalah tidak benar. Ia juga bukan salah ibu mengandung yang tersalah makan.

Tanda lahir yang biasa seperti tahi lalat dan tompokan coklat gelap terhasil kerana perkembangan sel pigmen yang tidak sekata. Namun terdapat para doktor yang memberi kesimpulan bahawa tanda lahir terhasil akibat gumpalan pembuluh darah pada kulit atau pembuluh darah yang kekal mengembang pada satu bahagian kulit sehingga meninggalkan kesan.

Ada juga pakar perubatan yang berpendapat bahawa protein plasenta yang terhasil menjadi punca penghasilan tanda lahir pada kulit bayi.

Fasa Perkembangan Janin Dalam Kandungan, Dari Bulan Ke Bulan

3. Komplikasi Tanda Lahir

Umumnya tanda lahir tidaklah berbahaya, tapi terdapat beberapa jenis tanda lahir yang perlu diambil berat kerana mungkin boleh membawa mudarat atau petanda kepada penyakit. Oleh itu, ibu bapa harus memahami jenis tanda lahir yang anak miliki supaya dapat mengambil tindakan lebih awal.

Terdapat beberapa kes di mana tanda lahir ini  menjadi petanda penyakit yang lebih serius seperti kanser kulit atau neurofibromatosis iaitu penyakit genetik yang menyebabkan kesulitan belajar.

Tanda lahir jenis port wine stains pula sering dikaitkan dengan penyakit glaucoma lebih-lebih lagi yang berada di pipi dan mata. Tanda lahir timbul yang terluka dan kelihatan melarat kerana tidak berhenti berdarah, kegatalan atau menyebabkan jangkitan perlulah dirujuk segera kepada doktor.

Tanda lahir juga digalakkan untuk dibuang sekiranya mengganggu penglihatan,  pernafasan, pendengaran atau kesukaran untuk makan.

tanda lahir bayi

Foto Kredit: nannyoptions.ie

4. Cara Rawatan Tanda Lahir Bermasalah

Adalah penting untuk ibu bapa fahami bahawa bukan semua jenis tanda lahir perlukan rawatan. Namun masalah ini perlukan perhatian daripada doktor jika menyebabkan masalah kesihatan atau membuatkan rutin harian terbatas. Terdapat beberapa jenis rawatan yang tersedia bergantung kepada lokasi tanda lahir atau tahap penyakit yang dialami oleh seseorang.

Doktor boleh memberi preskripsi ubat untuk mengecutkan atau menghentikan tumbesaran tanda lahir, melakukan terapi laser atau pembedahan jika diperlukan. Biasanya, tanda lahir jenis vaskular boleh dihilangkan dengan rawatan laser.

Contoh rawatan laser untuk tanda lahir. / Foto Kredit: laserskinsurgery.com

5. Tanda Lahir Boleh Mencetuskan Rasa Kurang Keyakinan Diri

Jika tanda lahir agak ketara, memang menjadi kebiasaan orang sekeliling untuk memandang atau bertanya tentangnya. Adalah tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk menanam keyakinan pada anak bahawa mereka dilahirkan dengan keadaan yang istimewa daripada orang lain. Ia adalah tanda keunikan dan keistimewaan seseorang. Jangan sesekali menyisihkan diri hanya kerana rupanya yang sedikit berbeza daripada orang lain.

Walaupun bayi masih kecil, ibu bapa perlu bersedia untuk bersikap lebih peka dan terbuka tentang hal ini. Berikan tindakbalas yang positif  kepada anak sekiranya isu tersebut dibangkitkan. Perkara ini boleh menjadi dorongan kepada anak untuk menerima dirinya dan bersikap lebih konfiden.

tanda lahir pada bayi

Foto Kredit: apprenza.be

Hargai Keunikan Anak Anda!

Sebenarnya masalah tanda lahir jarang memberi mudarat tetapi memberi kesan kepada penampilan serta keyakinan seseorang. Kebanyakan tanda lahir juga tidak serius dan akan menghilang semakin anak membesar atau tidak menyebabkan sebarang gangguan.

Adalah tanggungjawab seisi keluarga untuk menerima, menyayangi serta memberi sokongan moral kepada anak dan dilayan seperti anak-anak yang lain.

Ibu bapa juga perlu mengambil perhatian sekiranya tanda lahir semakin membesar atau menyebabkan masalah lain kepada anak. Rujuklah segera kepada doktor jika khuatir tanda lahir menjadi petanda pada masalah kesihatan lain yang lebih serius.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×