Famili

Tanda Kucing Stres & Tips Mengatasinya Pada Waktu Pandemik Ini

711
SHARES

TANDA KUCING STRES YANG MUNGKIN RAMAI TAK PERASAN

Kucing ialah haiwan yang suka hidup berdikari. Dalam kita memberi perhatian dan penjagaan yang baik, kucing juga sangat menghargai ruang untuk bersendirian.

Pada waktu pandemik ini, kita banyak bekerja dan meluangkan masa di rumah.

Dengan rutin harian yang berubah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan, kita juga cenderung untuk banyak meluangkan masa dengan kucing.

Seperti manusia, kucing juga boleh mengalami stres dengan perubahan rutin dan persekitaran.

Pada waktu ini, kucing juga berasa sukar untuk mempunyai ruang sendiri dan boleh menyebabkannya stres.

Oleh itu, adalah penting untuk kita memastikan kucing selesa dengan suasana rumah dan tidak berasa tertekan.

tanda kucing sayang kita

Tanda-Tanda Kucing Stres

Adalah tanggungjawab kita untuk memerhatikan kelakuan kucing bagi mengenalpasti sama ada kucing anda gembira di rumah atau sebaliknya.

Antara tanda-tanda kucing stres adalah seperti berikut :

  1. Banyak mengiau atau mengeluarkan bunyi
  2. Mula menunjukkan habit suka membuang air di luar pasir kucing
  3. Mengalami Cirit-Birit atau Sembelit
  4. Lebih banyak tidur
  5. Suka bersembunyi
  6. Banyak menjilat tubuh daripada biasa
  7. Kurang selera makan

tanda kucing stres

Kredit Foto : tuftscatnip.com

Cara Untuk Memberi Ruang Peribadi Buat Kucing

Bagi mengelakkan kucing mengalami stres, anda perlulah memastikan kucing mempunyai ruang dan waktu  untuk bersendirian.

Antara cara yang anda boleh lakukan untuk memberi ruang peribadi untuk kucing ialah :

1. Jangan Paksa Kucing Untuk Berinteraksi Dengan Kita

Disebabkan bosan di rumah, tanpa sedari kadang-kala kita dan ahli keluarga sering memaksa kucing untuk bermain. Ini boleh menyebabkan kucing cepat berasa tertekan.

Elakkan daripada memaksa kucing untuk berinteraksi dengan kita dan biarkan kucing datang sendiri bila dia hendak bermanja.

Jika sering dipaksa, kucing boleh bertindak balas secara agresif seperti menggigit dan mencakar sebagai tanda protes.

tanda kucing stres

Kredit Foto : rd.com

2. Elak Beri Perhatian Pada Kucing

Ini bukan bermaksud anda berhenti untuk menjaga keperluannya, tetapi anda perlu elakkan daripada memberi perhatian yang berlebihan kepada kucing. Anda boleh pesan kepada ahli keluarga untuk tidak mengganggu kucing jika tiada keperluan.

Perbuatan seperti suka mengangkat kucing, selalu memerhatikannya dan mengepung kucing di rumah boleh membuatkannya berasa terancam. Berilah kebebasan kepada kucing untuk berjalan di dalam rumah dengan selesa.

3. Sediakan Ruang Khas Untuk Kucing

Anda juga boleh menyediakan ruang khas untuk kucing bersendiri di kawasan rumah. Jika ada bilik kosong di rumah, anda bolehlah ubahsuai untuk kucing bersendirian. Jika tiada, anda boleh mereka ruang menggunakan kotak kosong yang diletakkan tempat tidur selesa dan jauh dari gangguan.

Kucing juga sukakan tempat yang tinggi untuk bersembunyi dan memerhati kawasan sekeliling. Anda boleh menyediakan ‘cat tree house’ yang comel untuk kucing atau boleh D.I.Y  sendiri  tempat persinggahan kucing mengikut kreativiti masing-masing.

Kredit Foto : diys.com

4. Sediakan Ruang Yang Mencukupi Jika Ada Lebih Dari Satu Kucing

Jika anda ada lebih dari satu kucing dari rumah, ruang peribadi buat setiap kucing adalah sangat penting bagi mengekalkan ketenteraman dan mengelakkan persaingan.

Anda boleh menyediakan tempat rehat dan kotak pasir kucing, dan tempat makan individu bagi setiap kucing. Ini bagi mengelakkan kucing untuk bergaduh akibat berebut keperluan di rumah.

Kredit Foto : verst.com.my

Dalam memberikan ruang dan masa bersendirian kepada kucing, jangan pula abaikan keperluannya. Bila kucing sudah kembali tenteram dan mula mendekati anda, ajaklah ia bermain.

Bermain bukan sahaja senaman yang baik untuk anda dan kucing, malah ia memberi kesan baik kepada kesihatan mental kucing di samping mengeratkan hubungan antara anda dan kucing kesayangan.

Dengan memberikan perhatian kepada kucing ketika waktu pandemik ini, kita dapat memastikan bahawa rutin harian dalam norma baharu ini tidak memberi kesan negatif kepada kucing anda.

Anda juga boleh merujuk kepada doktor haiwan bagi mendapatkan nasihat dalam mengelakkan kucing daripada mengalami stres.

[Baca juga: Kenapa Kucing Suka Bersendiri & ‘Menghilang’ Bila Merasakan Ajalnya Sudah Dekat?]

Sumber rujukan :

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×