40 Minggu

Rasa Kebas, ‘Moody’ & Mudah Lupa. Ini 5 Tanda Kekurangan Kalsium Pada Ibu Mengandung

111
SHARES

“Ish, aku tak sukalah minum susu ni rasa nak muntah. Tapi nanti takut tak cukup kalsium pulak. Macam mana kita nak tahu kita dah dapat cukup kalsium dalam badan atau tak? Apa tanda kekurangan kalsium pada ibu mengandung ye?”

Tak dinafikan lagi, bayi yang sedang membesar dalam kandungan memerlukan sejumlah besar kalsium untuk berkembang.

Menurut laman kesihatan WebMD, sekiranya ibu tidak mengambil cukup kalsium untuk memenuhi keperluan bayi anda yang sedang berkembang, badan ibu terpaksa ‘menggunakan’ kalsium dari tulang lalu mengurangkan jisim tulang hingga membuat ibu berisiko terkena osteoporosis.

Osteoporosis menyebabkan penipisan tulang secara dramatik, mengakibatkan tulang rapuh dan lemah yang mudah patah.

Wah, takutnya!

Maka sebab itulah kehamilan adalah tempoh yang amat kritikal bagi seorang wanita untuk mengambil lebih banyak kalsium.

Tahukah anda apakah tanda kekurangan kalsium pada ibu mengandung?

Jom baca selanjutnya.

5 Tanda Kekurangan Kalsium Pada Ibu Mengandung

Kalsium adalah salah satu mineral terpenting untuk tubuh manusia.

Secara umumnya, ianya amat penting untuk pertumbuhan tulang selain mengekalkan tulang yang sihat, berperanan dalam pembekuan darah, pengiriman isyarat saraf, pengecutan otot, pelepasan hormon dan pengaturan degupan jantung manusia.

Kalsium boleh didapati dalam pelbagai sumber makanan, termasuk susu dan produk tenusu, sayur-sayuran berdaun hijau seperti brokoli, kangkung, bayam, salmon, badam, biji bunga matahari dan sumber kekacang.

Keperluan Kalsium Ketika Hamil

Semasa ibu hamil, kalsium dalam badan ibu akan turut dibekalkan kepada bayi bagi membantu perkembangan tulangnya.

Pengambilan kalsium sehari yang dicadangkan untuk ibu hamil ialah dalam dos 1300mg (ibu berumur 14-18 tahun) dan 1000mg (ibu berumur 19-50 tahun).

Sekiranya tahap kalsium anda rendah maka ia tidak mencukupi untuk dibekalkan kepada bayi malah mungkin akan mempengaruhi kehamilan anda dengan menunjukkan tanda kekurangan kalsium seperti berikut:

1. Kekejangan Otot & Kebas

Sakit otot dan kekejangan adalah antara tanda kekurangan kalsium pada ibu mengandung.

Kekurangan kalsium akan menyebabkan peredaran darah terganggu lalu menjadikan ibu berasa sakit otot dan kekejangan – mesti ada yang selalu kena simpul biawak malam-malam kan?

Kekurangan kalsium juga boleh menyebabkan rasa kebas dan semut-semut di sekitar bahagian tangan, lengan, kaki, dan juga mulut.

Foto Kredit: momjunction.com

2. Kemurungan / Mood Swing

Kekurangan kalsium sering dikaitkan dengan kemurungan atau mood swing pada ibu mengandung.

Ini kerana, ketika kekurangan kalsium neurotransmitter pada otak akan mengirimkan isyarat yang boleh menyebabkan sakit kepala.

[ Baca : 11 Makanan Penyebab Sakit Kepala & Migrain. Awas, Memang Sedap-sedap Belaka ]

Jika ia tidak ditangani, ibu akan berasa mudah letih, gelisah dan leih teruk lagi mengalami kemurungan , bahkan menyebabkan halusinasi, seperti yang dilaporkan menerusi artikel dari The Asian Parent.

3. Keletihan Melampau Hingga Menjejaskan Daya Ingatan

Tahap kalsium yang rendah boleh menyebabkan keletihan dan mengantuk.

Sukar tidur, mengantuk, dan keletihan yang melampau adalah salah satu tanda kalsium rendah dalam darah yang paling ketara.

Peranan kalsium juga dikaitkan dengan kitaran tidur.

Kalsium mempunyai peranan utama dalam penghasilan hormon tidur, melatonin. Oleh itu, jika seseorang tidak dapat tidur nyenyak, ia akan menyebabkan masalah keletihan yang melampau sehingga menyebabkan seseorang mudah menjadi pelupa.

Foto Kredit: shutterstock.com

4. Risiko Osteoporosis

Sesetengah orang mungkin tidak mengalami tanda kekurangan kalsium ketika hamil.

Sungguh begitu, walaupun tidak ada masalah yang timbul semasa kehamilan, bekalan kalsium yang tidak mencukupi pada tempoh kritikal ini mungkin dapat mengurangkan kekuatan tulang dan meningkatkan risiko osteoporosis di kemudian hari.

Penting untuk kita tahu bahawa kekurangan kalsium boleh menyebabkan osteopenia dan osteoporosis.

Osteopenia mengurangkan kepadatan mineral tulang, dan boleh menyebabkan osteoporosis manakala osteoporosis menjadikan tulang lebih nipis dan lebih mudah patah.

Kedua-dua kondisi ini boleh menyebabkan kesakitan, masalah dengan postur, dan akhirnya mengakibatkan kita hilang upaya.

tanda kekurangan kalsium

5. Simptom Kerosakan Gigi & Pre-eklampsia

Ibu hamil amat memerlukan kalsium bagi pembentukan tulang dan pertumbuhan gigi bayi terutamanya pada trimester ketiga.

Merujuk kepada portal MyHealth, sekiranya ibu hamil kekurangan kalsium, ia boleh menyebabkan berlaku kerosakan gigi kepada ibu itu sendiri.

Kekurangan kalsium yang serius turut mendedahkan wanita hamil kepada risiko pre-eklampsia yang boleh membawa maut kepada ibu dan bayi dalam kandungan.

Foto Kredit: mynahcare.com

Perlukah Ibu Hamil Ambil Suplemen?

Ramai beranggapan bahawa suplemen boleh menyelesaikan masalah ketika hamil.

Namun penting untuk kita semua ingat bahawa walaupun terdapat keperluan untuk mengambil suplemen tambahan ketika hamil, perbincangan dan nasihat daripada ahli yang pakar amatlah penting sebelum ibu mula mengamalkannya.

Adalah perlu diingatkan, pengambilan suplemen tambahan tidak sesekali boleh menggantikan makanan seimbang.

Sebaliknya, suplemen ini hanyalah berfungsi sebagai sumber tambahan yang tidak sepatutnya diambil sebagai satu-satunya sumber zat makanan yang diperlukan oleh badan atau bersifat seperti pengganti.

Lagipun, susu bukanlah satu-satunya sumber kalsium yang perlu diambil. Ada banyak lagi sumber kalsium yang boleh ibu amalkan kalau rasa loya nak minum susu setiap hari.

[ Baca : 7 Makanan Dengan Kalsium Lebih Tinggi Berbanding Susu. Kalau Loya, Cubalah! ]

Jadi, penting untuk dapatkan nasihat pakar ya!

*Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan atau suplemen, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) di talian 1 800-88-6722.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×