Kewangan

Jangan Gaduh-Gaduh, Ini Cara Selesaikan Masalah Tanah Pusaka Yang Ada Banyak Penama

66
SHARES

Pengurusan harta pusaka adalah sebahagian daripada proses perancangan kewangan yang penting. Dalam islam, faraid memainkan peranan besar dalam penentuan pembahagian harta. Ini merupakan salah perkara yang boleh mencetuskan pergaduhan dalam urusan keluarga kerana kurangnya ilmu pengurusan harta pusaka.

Jom kita baca penerangan yang lebih jelas mengenai urusan masalah tanah pusaka yang mempunyai banyak nama untuk elakkan pergaduhan dan ketidakfahaman dalam ahli keluarga.

BAGAIMANA NAK SELESAIKAN MASALAH TANAH PUSAKA YANG BANYAK NAMA & BAHAGIAN MAKIN MENGECIL?

1. Isu bahagian tanah pusaka geran kongsi yang semakin mengecil apabila penama asal meninggal dunia adalah isu yang banyak dihadapi oleh masyarakat kita hari ini.

2. Apabila penama asal meninggal dunia, bahagiannya akan di turun milk kepada waris- waris mereka.

3. Kesannya, di dalam geran tanah tersebut semakin banyak penama yang masing-masing akan memiliki bahagian yang semakin kecil saiznya.

4. Keadaan ini akan menyukarkan proses untuk mengurusniagakan dan membangunkan tanah tersebut. Bahkan ianya mungkin tidak lagi praktikal untuk dibangunkan termasuklah untuk dibuat pecah bahagian.

5. Ini kerana untuk melakukan sesuatu urusniaga atau membangunkan tanah tersebut, persetujuan daripada setiap penama adalah diperlukan.

6. Proses untuk mendapatkan persetujuan tersebut akan menjadi lebih sukar sekiranya ada penama yang tidak setuju atau tidak memberi kerjasama sepenuhnya.

7. Akhirnya tanah tersebut terbiar begitu sahaja. Masing-masing buat tak tahu dan enggan bertanggungjawab.

Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini?

Di sini saya gariskan beberapa cadangan yang mungkin boleh dilakukan:

I. Lantik seorang wakil kuasa (Power of Attorney – PA).

Lantik seorang wakil kuasa(PA) di kalangan penama tersebut yang boleh dipercayai yang akan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala perkara berkaitan tanah tersebut. Melalui cara ini semua penama akan tandatangan satu Surat Wakil Kuasa (PA) untuk memberi kuasa kepada wakil kuasa tadi untuk menguruskan urusan berkaitan tanah tersebut.

Pun begitu kuasa PA ini perlu diperhalusi dan dihadkan setakat mana yang perlu agar kuasa PA itu tidak terlalu luas sehingga menyebakan beliau salah guna kuasa termasuklah memindahmilikkan tanah tersebut kepada dirinya sendiri.

II. Semua penama jual bahagian masing-masing

Semua penama jual bahagian masing-masing kepada seorang atau 2 orang penama yang berkemampuan dan banyak wang yang akan membeli bahagian- bahagian tanah tersebut. Harga jualan sewajarnya mengikut harga pasaran semasa atau harga yang dipersetujui bersama.

Sekiranya PA telah ditandatangani, hanya penama yang membeli dan wakil kuasa sahaja yang akan tandatangan SNP dan Borang Pindah milik. Tak perlu lagi dapatkan tandatangan daripada semua penama. Pun begitu setiap penama wajar dimaklumkan sebelum proses jual beli dan pindah milik itu dilakukan. Sewajarnya proses jual beli ini diuruskan melalui seorang peguam yang akan bertindak sebagai peguamcara urusan jual beli dan sebagai stakeholder untuk mengagih-ahihkan pembayaran harga jual beli kepada setiap penama mengikut bahagian masing-masing.

III. Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak

Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak di mana tanah tadi akan menjadi aset kepada syarikat atau koperasi tersebut.Melalui cara ini setiap waris akan diberikan sijil saham mengikut bahagian masing-masing dan tanah tersebut akan dimajukan atau diusahakan dengan sesuatu aktiviti yang dapat menjana pendapatan kepada syarikat atau koperasi tersebut.

Setiap setahun sekali, hasil keuntungan perniagaan daripada tanah tersebut akan dibahagi-bahgaikan kepada setiap penama mengikut bahagian saham masing-masing.

IV. Majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan

Boleh juga majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan sama ada melalui syarikat atau koperasi adik beradik yang ditubuhkan tadi atau boleh JV dengan pemaju yang dipercayai.

Jika majukan sendiri, boleh serah balik tanah tadi kepada kerajaan dan mohon dikeluarkan geran individu yang berasingan dan seterusnya boleh bina rumah atas tanah-tanah tersebut untuk dijual. Hasil jualan sama ada akan dibahagi-bahgaikan mengikut bahagian masing-masing atau boleh dimasukkan sebagai pendapatan syarikat dan setiap penama akan dapat keuntungan setiap tahun hasil daripada pemajuan dan penjualan rumah rumah tersebut.

8. Walau apapun, ini hanyalah sekadar cadangan sahaja. Ianya mudah diperkatakan tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan.

9. Perancangan yang teliti dan rapi serta sikap percaya satu sama lain dan saling jujur dan amanah di kalangan setiap penama dalam melaksanakan perancangan tersebut di atas amatlah diperlukan.

10. Sifat ego dan tamak haruslah dibuang jauh jauh. Jangan fikir untuk untang jangka masa pendek sahaja.

11. Yang penting, melalui cadangan ini masing-masing akan dapat keuntungan jangka masa panjang yang lebih besar dan berbaloi berbanding masing-masing berbalah soal berebut hak masing-masing terhadap bahagian masing-masing yang sekangkang kera tersebut.

Tepuk dada, tanya iman. Nak buat atau tak.

Sumber: Salkukhairi Abd Sukor

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×