Hebahan

Sudah Lebih 600 Notis Dikeluarkan, Larangan Merokok Di Kedai Makan Telah Mula Dikuatkuasa!

91
SHARES

Berikutan penguatkuasaan larangan merokok di kedai-kedai makan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dan perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan 3 meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka. Bermula 1 Januari 2020, operasi penguatkuasaan larangan merokok telah dijalankan.

JUMLAH KOMPAUN SEBANYAK RM144 450

Penguatkuasaan serentak yang telah berjalan pada 1 Januari 2020 bermula jam 8 pagi sehingga tengah malam di seluruh Malaysia melibatkan seramai 2087 orang Pegawai Penguatkuasa daripada KKM telah memeriksa 6119 premis tempat makan. Sepanjang penguatkuasaan dijalankan sejumlah 605 notis kesalahan dengan jumlah kompaun sebanyak RM 144,450.00 telah dikeluarkan di mana 34 notis kesalahan adalah dikeluarkan kepada  golongan orang belum dewasa.

103 NOTIS KESALAHAN KEPADA TUAN PUNYA PREMIS

Seterusnya sebanyak 103 notis kesalahan dengan jumlah kompaun bernilai RM 25,750.00 telah dikeluarkan kepada Tuan Punya Premis dengan 79 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 24 notis kesalahan kerana menyediakan kemudahan merokok.

Bagi mereka yang telah menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM 250. Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM 150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh SATU bulan daripada tarikh izin kompaun diterima. Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM 250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM 350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Di bawah Peraturan 12 (1) (a) dan 12 (1) (b), Tuan Punya Premis yang telah menerima notis kesalahan dikenakan kompaun sebanyak RM 250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM 350.

MENURUN HINGGA 1.7% SELEPAS PREMIS DILAWATI

Secara rumusan melalui tinjauan di lapangan, rata-rata tuan punya premis telah memberikan kerjasama dan menjalankan tanggungjawab mereka di dalam melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan.  Peratusan kesalahan yang dilakukan oleh Tuan Punya Premis jika dibandingkan dengan bilangan premis yang dilawati  telah menurun daripada 47% pada hari pertama Januari 2019 kepada 1.7 % pada hari pertama Januari 2020. Namun begitu, bilangan perokok yang merokok di tempat makan masih tinggi dengan 10% perokok didapati merokok di premis yang dilawati.  Pihak KKM memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok ini  bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi. Mereka juga  boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar  melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×