Euforia Bola 2026
Rakyat

Berita Baik! Kerajaan Naikkan Had Perlindungan Subsidi Bil Elektrik Kepada 800 kWj Mulai Bulan INI (September)

SUBSIDI BIL ELEKTRIK

Kerajaan MADANI mengumumkan peluasan perlindungan subsidi bil elektrik bagi pengguna domestik, dengan had penggunaan yang layak dinaikkan daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan.

Penambahbaikan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik bermula September sehingga 31 Disember 2026, sebagai langkah segera bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.

Baca juga: “Tak Sangka Kulit Kayu Boleh Jadi Baju Kahwin!”- Ambil Masa 6 Bulan, Hasil Tangan Suku Jakun Ini Luar Biasa

PERLINDUNGAN SUBSIDI BIL ELEKTRIK DINAIKKAN KEPADA 800KWJ

SUBSIDI BIL ELEKTRIK

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perubahan tersebut memberi manfaat kepada isi rumah yang mengalami peningkatan penggunaan elektrik, khususnya ketika keadaan cuaca lebih panas dan jerebu.

“Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan membabitkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales & Service Tax),” jelasnya.

Menurut Anwar, peningkatan suhu dan keadaan jerebu kebelakangan ini menyebabkan sesetengah isi rumah menggunakan lebih banyak tenaga elektrik.

Keadaan itu menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi had asal 600 kWj, sekali gus menyebabkan bil elektrik meningkat dengan ketara.

Dengan had baharu 800 kWj, isi rumah yang menggunakan elektrik dalam lingkungan tersebut akan terus mendapat pengecualian bagi tiga komponen berkenaan sepanjang tempoh perlindungan yang ditetapkan. 

Keputusan berkenaan dibuat selepas Anwar mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan isu berkaitan kos elektrik bersama pihak berkaitan.

Mesyuarat itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Turut terlibat dalam perbincangan berkenaan ialah Suruhanjaya Tenaga (ST), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kerajaan terus pantau kos bahan api

SUBSIDI BIL ELEKTRIK

Anwar turut menghargai kerjasama pihak berkenaan yang membolehkan langkah tersebut dilaksanakan dalam tempoh singkat.

“Sekalung penghargaan khususnya kepada pihak TNB, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam memungkinkan langkah ini diambil dalam kadar segera,” ujarnya,

Dalam pada itu, kerajaan akan meneruskan pemantauan terhadap perkembangan kos bahan api dan situasi pasaran tenaga semasa.

Pemantauan tersebut penting bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira beberapa perkara utama termasuk kemampuan pengguna, kos sara hidup, jaminan bekalan elektrik serta kelangsungan sektor tenaga negara.

“Justeru itu, Kerajaan MADANI akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan dan beban hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara,” katanya.

Baca juga: Ingatkan Sakit Gigi Biasa, Rupanya Jangkitan Serius… Wanita Hamil Meninggal Dunia Akibat Sepsis

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×