Laporan polis telah mendapati belon yang meletup sehingga mencederakan 16 mangsa termasuk 9 kanak-kanak di Dataran Putrajaya, Sabtu lalu adalah belon yang diisi dengan gas hidrogen.
Menurut Berita Harian, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata bahawa kandungan dalam belon adalah hidrogen, dan bukannya helium. Hidrogen sangat sensitif dengan alat atau bahan membakar.
Tambah beliau lagi, sehingga jam 10 pagi tadi, empat mangsa dewasa masing-masing dua lelaki dan perempuan masih mendapat rawatan dan ditahan di wad Hospital Putrajaya.
Siasatan awal polis mendapati letupan berlaku ketika pengunjung berebut memotong tali yang mengikat tiga gugusan belon berkenaan, termasuk menggunakan pemetik api.
5 Perkara Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Belon Apung / Floating Balloon
Berbanding belon biasa, anak-anak tentu teruja kalau diberi belon berisi gas yang membolehkannya terapung di udara.
Tapi mesti ramai yang terkejut dan takut nak bagi anak main belon ni, terutamanya bila dengar insiden ini.
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama berlakunya letupan akibat belon seperti ini.
Jadi, ada beberapa perkara yang parents kena alert dan ambil tahu tentang langkah keselamatan bila membeli belon gas begini untuk anak-anak.
1. Sifat Gas Hidrogen
Gas hidrogen boleh terapung seperti juga gas helium.
Namun berbeza dengan gas helium, gas hidrogen sangat reaktif dan umum diketahui sifatnya yang mudah terbakar.
Maka disebabkan faktor inilah, gas helium merupakan pilihan yang selamat.
2. Sifat Gas Helium
Helium adalah gas nadir dan bersifat lengai, ini bermakna ia tidak bertindakbalas dengan bahan kimia lain.
Selain boleh terapung, ianya stabil dan selamat kerana tidak mudah terbakar.
3. Kenapa Gas Hidrogen Menjadi Pilihan Peniaga
Kos adalah faktor utama kenapa gas hidrogen digunakan dalam belon dan bukannya gas helium.
Berbanding gas hidrogen, gas helium tidak boleh dihasilkan sendiri manakala gas hidrogen boleh dihasilkan sendiri melalui kaedah DIY tertentu.
Disebabkan sumber gas helium yang terhad ini, ia menjadikan harganya lebih mahal daripada hidrogen yang lebih mudah didapati.
Maka, pengusaha belon apung yang mementingkan pulangan yang tinggi mungkin akan menggunakan gas hidrogen.
4. Bagaimana Mengenalpasti Belon Hidrogen
Belon yang diisi dengan gas hidrogen tidak dapat dibezakan secara fizikalnya berbanding gas helium.
Namun anda mungkin boleh lebih berhati-hati dengan memperhatikan tong gas yang digunakan oleh pengusaha belon tersebut.
Menurut sumber, gas helium biasanya menggunakan tong khas manakala tong gas hidrogen biasanya dimodifikasi daripada tong gas atau tong yang asal.
5. Tips Membeli Belon Apung
Memandangkan tiada cara membezakan belon apung helium daripada belon hidrogen, ibu bapa dan pembeli dinasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila membeli belon ini.
Pastikan anda menjauhkan apa jua belon apung daripada sumber api termasuklah rokok, pemetik api, peralatan elektrik, dan sebagainya.
Yang penting, sentiasa pantau anak-anak ketika bermain dengan belon ini ya.
Orang Awam Kena Lebih Alert!
Jadi, ibu bapa kena lebih alert lepas ni ya. Bayangkan kalau kita tak tahu dan nak buat surprise birthday dekat rumah, dah sah-sahlah ada lilin semua. Kan ke bahaya?
Selain faktor keselamatan, kita juga tak mahu ditipu oleh pengusaha yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengaut keuntungan berkali ganda dengan ‘menjual nama’ belon helium sedangkan mengisi belon dengan gas hidrogen yang membahayakan.
Untuk mengelakkan kejadian berulang lagi, diharapkan kita dapat kongsikan maklumat ini kepada umum agar isu keselamatan penting seperti ini diketahui oleh semua.
Jadi seeloknya elakkan daripada membeli belon hidrogen ini sebab ianya berisiko. Dah banyak pilihan belon moden dan menarik minat kanak-kanak walaupun tidak diisi gas terapung.
Lagipun, belon biasa pun cantik juga kan?