Rakyat

Sakan Berjoli Hasil Rompak Duit RM630,000 Ayah Saudara, Remaja Usia 19 Tahun Ditahan

1
SHARES

Gara-gara sakan berjoli ratusan ribu ringgit bersama kawan hasil rompak duit ayah saudara, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis kerana memecah masuk sebuah banglo di Petaling Jaya dan membawa lari peti besi pada 24 Ogos lalu.

Baca juga: [VIDEO] ‘Siap Bawa Periuk Nasi’- Sampai Dalam Airport Pun Buat Picnic Ke?

SAKAN BERJOLI HASIL ROMPAK DUIT AYAH SAUDARA

Kredit: Sinar Harian

Menurut laporan Sinar Harian, turut sama ditahan ialah empat lagi rakannya selepas mereka melarikan peti besi berisi wang tunai RM430,000 serta barang kemas bernilai RM200,000 yang disorokkan hingga menyebabkan kerugian keseluruhan berjumlah RM630,000.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, hasil wang curian itu digunakan suspek untuk berjoli bersama rakan, malah ada yang menggunakannya untuk melanggan pelacur serta dijadikan wang hantaran.

“Pada 31 Ogos jam 3:30 petang, polis telah membuat serbuan ke atas sekumpulan 11 lelaki tempatan berumur 19 hingga 23 tahun yang sedang berhenti di sebuah stesen minyak di Seremban, Negeri Sembilan dipercayai sedang berkonvoi sempena hari kemerdekaan.

“Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan disyaki dibeli hasil wang curi dan siasatan lanjut membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki tempatan di sebuah rumah di Klang,” katanya.

Ujar Fakhrudin, hasil siasatan mendapati, kedudukan peti besi yang disorok di ruangan rahsia itu telah diketahui suspek remaja terbabit, malah kediaman banglo tersebut yang tidak berpenghuni itu juga turut disedarinya.

“Rumah mangsa merupakan sebuah banglo setingkat dan suspek utama ini sudah tahu rumah itu kosong kerana mangsa menyewa premis berkenaan hanya untuk menyimpan wang kerana dikatakan tidak percayakan bank.

“Lima suspek memecah masuk ke rumah tersebut manakala suspek lain menerima sebahagian wang terbabit untuk membeli aplikasi permainan dalam talian, membayar bil, membaiki rumah dan lain-lain perbelanjaan tunai,” katanya.

BARANG RAMPASAN TERMASUKLAH DUA JENIS MOTOSIKAL

Kredit: Sinar Harian

Sehubungan itu, beberapa barangan mewah disyaki bernilai ribuan ringgit yang dipercayai dibeli daripada hasil wang curi tersebut berjaya dirampas dalam serbuan yang dilakukan. Barangan rampasan tersebut termasuklah dua motosikal jenis Yamaha, tujuh telefon pintar iPhone, beg berjenama, jam tangan dan pelbagai aneka barang kemas.

Dalam serbuan sama, turut sama dirampas ialah dua motosikal Kawasaki RR 150, sebuah kereta Honda Civic FD 2.0 serta wang tunai berjumlah RM56,950.

“Polis berjaya mengesan tunang kepada salah suspek terbabit dan menemui seutas rantai emas dan wang tunai yang dijadikan hantaran,” tambahnya seperti yang dilapor Sinar Harian.

Bukan itu sahaja, kesemua suspek terbabit yang berusia lingkungan antara 19 hingga 23 tahun masing-masing tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×