Famili

Rupanya Cheongsam & Samfu Adalah Pakaian Klasik, Bukan Pakaian Tradisi Cina Yang Asli

7
SHARES

Tahukah anda, pakaian Cheongsam yang dipakai oleh wanita dan Samfu dipakai pula oleh lelaki, yang banyak digayakan dan menjadi tatapan mata masyarakat kini, bukanlah pakaian tradisi Cina yang asli iaitu Hanfu.

Melalui perkongsian ilmu sejarah dari saudara Ayman Rashdan Wong, sebenarnya Cheongsam dan Samfu adalah pakaian klasik. Jadi sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba, jom selami dengan lebih lanjut perkongsian menarik ini.

Baca juga: Ini 6 Tindakan Perlu Diambil Untuk Hormat & Melindungi Kesejahteraan Mental Mangsa Tragedi

HANFU: PAKAIAN TRADISI CINA YANG HILANG

Illustrasi: Nancy Duong.

Sempena Tahun Baru Cina, ramai akan mengenakan Cheongsam (bagi perempuan) dan Samfu (bagi lelaki) sebagai tanda meraikan tradisi, atas tanggapan umum bahawa Cheongsam dan Samfu adalah pakaian tradisi Cina.

Malah di sesetengah pertunjukan budaya di Malaysia, model lelaki yang memakai Samfu akan memakai tocang sekali di kepala.

SEJARAH MENGENAI PAKAIAN ASLI TRADISI CINA

Sebenarnya Cheongsam dan Samfu adalah pakaian klasik, bukan pakaian tradisi. Asal usulnya ialah fesyen orang Shanghai, China pada 1920-an. Selepas Komunis menguasai China pada tahun 1949, ramai orang Shanghai telah berhijrah ke Hong Kong, Taiwan dan negara-negara Barat. Maka, fesyen Cheongsam turut disebarkan ke seluruh dunia.

Cheongsam (長衫, istilah Kantonis yang bermaksud “baju panjang”) atau Qipao (旗袍, istilah Mandarin yang bermaksud “jubah Qi/Panji”). Samfu (衫褲, istilah Kantonis yang bermaksud “busana”) atau Magua (馬褂) diubah suai dari busana orang Manchu atau orang Qi (旗人, “Bannermen”) yang memerintah China dari 1644 hingga 1911.

PAKAIAN ASLI TRADISI CINA DIHARAMKAN OLEH ORANG MANCHU

Gambar hiasan: Cheongsam & Samfu

Orang Manchu bukan etnik Cina, tetapi berasal dari kawasan Manchuria di timur laut China. Selepas menakluki China pada 1644, orang Manchu cuba mengasimilasi orang Cina dengan mengharamkan pakaian tradisi Cina yang asli iaitu Hanfu (漢服, “pakaian Han”).

Juga memaksa kaum lelaki mencukur rambut depan dan mengikat rambut belakang dalam bentuk tocang, mirip gaya rambut orang Manchu. Keengganan untuk bertocang boleh mendatangkan hukuman bunuh, dan ramai orang Cina terkorban kerana terikat dengan adat Konfusianisme yang mengharamkan mencukur rambut.

Walaupun Hanfu ini beragam mengikut perkembangan dinasti, ia mempunyai kesinambungan reka bentuk iaitu kelepak yang longgar dan terbuka, lengan yang panjang dan longgar. Berbeza dengan pakaian orang Manchu yang berkolar tertutup, dan berlengan sempit dan ketat.

Reka bentuk busana tradisi Korea (Hanbok) dan Jepun (Kimono) adalah berdasarkan Hanfu.

RAGAM HANFU MIRIP BAJU PANJANG DIPAKAI OLEH NYONYA DI MELAKA

Gambar hiasan: Baju Panjang Nyonya – Peranakan Life.com

Kalau diperhatikan, ragam Hanfu pada Dinasti Ming (1368-1644) adalah mirip dengan Baju Panjang yang dipakai oleh Nyonya di Melaka. Ini kerana Baba dan Nyonya adalah berasal dari keturunan imigran Dinasti Ming. Kaum Baba juga tidak bertocang seperti imigran Cina semasa abad ke-19.

Selepas Dinasti Qing digulingkan oleh revolusioner Cina Han yang dipimpin Sun Yat-Sen pada 1911, orang Cina terus memotong tocang sebagai tanda pembebasan dari pemerintahan Manchu. Namun gaya rambut dan busana tradisi Han yang asal tidak dikembalikan.

Sun Yat-Sen ialah seorang yang berfikiran moden dan berpaksikan Barat, dan tren intelektual ketika itu juga berpaksikan modenisme. Maka, tradisi pakaian Cina Han yang pernah berlangsung selama 2000 tahun tenggelam begitu sahaja.

Gambar hiasan: Kebaya Labuh Nyonya – Twitter @H_Bakkaniy

HANFU MELAMBANGKAN FALSAFAH KONFUSIANISME

Busana tradisi bukan setakat fesyen, tetapi ia mengandungi falsafah atau pandangan dunia (“worldview”) sesebuah masyarakat. Hanfu melambangkan falsafah Konfusianisme yang mengandungi nilai-nilai kesantunan dan keadaban yang tidak dapat dibawa oleh fesyen moden.

Hari ini masih ada yang memakai Hanfu untuk menunjukkan apresiasi sejarah, namun mereka akan dipandang serong dan sinikal. Sama seperti sikap segelintir orang kita yang mempertikaikan niat Faiz Subri untuk mengenakan busana tradisi Melayu.

Nasib Hanfu telah membuktikan bahawa kalau sesebuah bangsa tidak menghargai dan membiasakan memakai busana tradisi, ia akan pupus begitu sahaja. Jangan membiarkan busana tradisi kita menghilang ditelan oleh arus pemodenan.

NOTA:

Orang Cina juga dikenali sebagai orang Han. Di China, istilah “Cina Han” (Han Chinese) digunakan untuk membezakan warganegara China etnik Cina dan etnik bukan Cina (seperti Manchu, Mongol, Uyghur, Tibet).

RUJUKAN:

Bian Xiangyang, Origin of Qipao Fashion in Early Republic Period (2003)

Zhou Xibao, The History of Ancient Chinese Clothing and Ornaments (1956)

Sumber: Facebook Ayman Rashdan Wong

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×