Deko & Hias

Seni Bina Ruang Tamu Sesuai Untuk Orang Islam, Aurat Lebih Terjaga & Tak Terdedah

4
SHARES

Pernah tak anda alami pengalaman ini, di mana tetamu datang secara mengejut di rumah dan ketika itu anda sedang sibuk berlawan sudip di dapur dalam keadaan ‘berpakaian di rumah’ saja? Nak pula bila binaan rumah yang berkonsepkan terbuka, memang boleh nampak terus dari ruang tamu keadaan anda di dapur.

Baca juga: Nak Ada Bengkel Kecil Di Rumah? Ini Alatan Pertukangan Kayu Yang Anda Wajib Ada!

SENI BINA RUANG TAMU SESUAI UNTUK ORANG ISLAM, AURAT LEBIH TERJAGA & TAK TERDEDAH

Jika dilihat rekaan rumah lama zaman dahulu sememangnya telah menyediakan pelbagai ruang, menurut Khairunnisa Hamzah seorang pengasas Reka Bentuk 3D Online. Beliau juga telah berkongsi ilmu bagaimana ruang tetamu yang sesuai dibina untuk rumah orang Islam.

Sekiranya anda berkeinginan untuk membina rumah sendiri dan mempunyai modal lebih, apa salahnya jika mengikuti saranan ini. Keselesaan ahli keluarga anda pastinya akan terjamin dan berasa lebih selamat.

Bagaimana ruang tetamu yang sesuai untuk rumah orang Islam?

Adalah lebih baik jika tetamu tidak dapat melihat langsung aktiviti dan dalaman rumah keluarga. Cukuplah pergerakan tetamu di ruang tetamu sahaja.

“Minta maaf, nak tumpang tandas, boleh?”

Biasa tetamu akan buat permintaan mengejut sebegini apabila datang berkunjung. Sekiranya ada tandas di ruang tetamu, tetamu tidak perlu lagi masuk ke dalam bilik-bilik tuan rumah atau terus terjah ke dapur.

Saya ada menonton kuliah agama seorang ulama Indonesia yang mengatakan:

“Yang terbaik adalah jika kamu boleh mengasingkan ruang tetamu dengan ruang keluarga. Kalau boleh, diasing terus dari rumah kamu sehingga apabila kamu menutup pintu dan menguncinya sekalipun, tetamu masih boleh aman di situ.”

Maksud beliau kita sememangnya wajib melayan tetamu sebaiknya. Oleh itu sediakan ruang untuk tetamu semampu boleh namun paling penting ialah mengambil kira aurat dan aib tuan rumah sekeluarga.

Siapkan ruang duduknya, ruang bersucinya (tandas), ruang solatnya dan juga ruang berehatnya (bilik tidur) di satu kawasan yang sama yang tidak perlu melalui ruang keluarga.

Ini dapat membataskan aurat, pandangan dan pergaulan antara tetamu dan ahli keluarga.

Orang putih ada wujudkan ‘powder room’ di ruang tamu. Ia adalah bilik bersiap yang dilengkapi dengan kemudahan tandas. Namun berbeza dengan rumah-rumah di negara kita yang kebanyakkannya tandas diletakkan di ruang dapur atau di dalam bilik tidur.

PEMBAHAGIAN SENI BINA RUMAH LAMA DAHULU YANG BOLEH DICONTOHI

Gambar hiasan: Pinterest

“Nisa, macam mana ya nak buat? Kalau tetamu datang, dari pintu masuk terus boleh nampak akak tengah memasak di dapur. Tak selesalah. Kadang tak sempat pakai tudung atau baju lengan panjang.”

Luah salah seorang pemilik kediaman masa sesi makeover rumahnya.

Sekarang banyak rumah buat konsep terbuka (open concept). Namun, apabila menerima kehadiran tetamu secara mengejut, ia menyebabkan wanita Islam tidak selesa kerana belum bersedia menutup aurat. Apatah lagi ketika itu sedang sibuk beraksi dengan kuali di dapur.

Jika kita lihat seni bina rumah lama dahulu, mereka sudah ambil berat tentang hal ini terlebih dahulu. Di dalam rumah mempunyai ruang publik, semi publik dan ruang privasi.

1. RUANG PUBLIK

Apabila tetamu yang tidak rapat datang berkunjung, mereka hanya ditapis dan dilayan hanya di serambi (ruang publik).

2. RUANG SEMI PUBLIK

Sekiranya merupakan tetamu rapat seperti kenalan atau saudara, barulah dapat masuk sehingga ke ruang menonton, ruang rehat, ruang makan (semi publik).

3. RUANG PRIVASI

Manakala bilik-bilik tidur, ruang keluarga dan dapur (ruang privasi) hanya untuk tuan rumah sahaja.

IDEA MENUTUP RUANG DAPUR JIKA BINAAN KEDIAMAN ‘OPEN CONCEPT’

Gambar hiasan: Houzz

Ramai kita sudah siap beli rumah dari pemaju. Jadi bagaimana untuk menjadikan rumah kita terpelihara aurat dan pandangan dari tetamu?

Mungkin boleh buat begini:

1. Boleh buat penghadang pandangan seperti tambahan tembok atau tabir yang menghalang pandangan terus ke ruang privasi tuan rumah.

2. Boleh tambah tempat wuduk dan ‘powder room’ (tandas) di hadapan rumah.

3. Boleh siapkan bilik tidur/bilik solat tetamu di hadapan rumah.

PENGALAMAN MELIHAT RUMAH KENALAN DI INDONESIA

Gambar hiasan: Utusan

Saya pernah datang berkunjung ke rumah kenalan di Indonesia. Ia merupakan rumah bertingkat (apartment). Apa yang menariknya, setiap rumah itu dilengkapi dengan ruang yang sangat menarik perhatian saya.

Pemaju menyiapkan ruang untuk pembantu rumah yang boleh dipisahkan terus dari rumah keluarga.

Ini bermakna apabila tutupnya pintu dapur dari dalam, maka pembantu rumah boleh menjalankan aktivitinya seperti biasa kerana dilengkapi dengan tempat tinggal, tandas, fasiliti lain dan boleh terus keluar dari kawasan pagar rumah di bahagian tersebut. (Ada 2 akses)

Mungkin apa yang boleh kita buat akan datang ialah mereka bentuk rumah di mana ruang tetamu boleh direka bentuk sebegitu. Iaitu mempunyai akses yang berlainan dan terpisah terus dari rumah keluarga.

Khairunnisa Hamzah,

Seni bina kehidupan di rumah.

Sumber: Facebook Khairunnisa Hamzah

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×