“Isteri umpama penarik rezeki. Terlukanya hati isteri, terputusnya rezeki suami.”
Ayat di atas sering kali kita baca di media sosial dan sudah pastinya ramai yang percaya mengenai kenyataan tersebut. Menerusi perkongsian di laman rasmi milik Mufti Wilayah Persekutuan, rezeki suami itu tidak terletak di reda isteri.
Jelasnya, kenyataan itu boleh menyebabkan salah faham jika tidak dijelaskan dengan betul. Jadi, penulis kongsikan penjelasan penuh mengenai rezeki suami dan reda isteri di bawah ini.
Baca juga: Sunnah Setelah Akad Nikah Yang Pengantin Terlupa Buat, Rugi Kalau Tak Baca Doa Ini
REZEKI SUAMI BUKAN BERGANTUNG PADA REDA ISTERI
Tidak dapat dinafikan bahawa pertambahan rezeki seseorang itu bergantung kepada hubungannya sesama manusia khususnya ahli keluarga.
Berbuat baik dengan ahli keluarga termasuk juga isteri adalah antara sebab rezeki diluaskan oleh Allah SWT. Ini yang disebutkan sebagai sebab dan musabbab. Ia juga sebagai satu motivasi agar para suami tidak mengambil ringan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Pada asasnya, Allah SWT adalah pemberi rezeki yang mutlak. Tiada siapa yang dapat menghalang sekiranya dikehendaki oleh-Nya, dan tiada pula sesiapa yang dapat memberi, sekiranya tidak diizinkan olehNya.
Rezeki suami atau lelaki bukanlah terletak pada reda isteri atau wanita secara langsung, namun ia berkait rapat dengan aspek menjaga silaturrahim dengan ahli keluarga atau ketaatan kepada ibu. Di mana dalam perkara yang dibenarkan oleh syarak sebagai antara asbab keberkatan dan punca turunnya rezeki daripada Allah SWT seperti mana yang disebut di dalam hadis yang sahih.
Firman Allah SWT :
قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ قُلِ اللَّـهُ ۖ
Maksudnya: “Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?” Terangkanlah jawabnya: “Ialah Allah…”
Kesimpulannya, pemikiran seperti kenyataan di atas perlu dielakkan namun hubungan sesama manusia perlu dijaga agar sentiasa mendapat keberkatan dariNya.
Baca juga: Ramai Yang TAKUT Bila Perubahan Ini Berlaku Pada Payudara, Rupanya Normal Je…
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Akhi Ahmad Reedha