Dapur

Tak Payah Order Di Kedai Lagi. Ini Resepi Telur Bungkus Yang Sedap & Simple

“Anak aku yang sorang ni asal makan luar je nak order telur bungkus. Suka sangat dengan menu tu. Agaknya kalau aku cuba buat sendiri di rumah, mesti dia suka. Susah tak agaknya ye?”

Bagi anda yang biasa makan di warung, inilah antara menu popular yang sangat membuka selera. Mesti ramai yang tak biasa masak lauk ini di rumah, kan?

Sebenarnya, cara buat lauk telur bungkus ini tidaklah susah. Bahan yang digunakan selalunya memang dah tersedia, terutamanya bagi anda yang kerap memasak di rumah.

Jadi, apa kata tukar selera dan cuba resepi yang disumbangkan oleh Puan Azrina Ien ini. Menurutnya, inilah juga lauk favourite suaminya. Memang cukup menyelerakan. Tak payah masak lauk lain lagi pun dah cukup sedap dimakan dengan nasi.

Resepi Telur Bungkus Yang Sedap & Simple

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 2 biji telur
  • Ayam – cincang
  • 2 ulas bawang putih – cincang
  • Bawang besar – cincang
  • 3 batang cilipadi
  • Carrot – potong dadu
  • Tomato  potong dadu
  • Bunga kobis  potong dadu
  • Kacang panjang
  • Cendawan shitake
  • Sos tiram
  • Sos tomato

*Jenis sayuran yang digunakan boleh ditambah, dikurangkan atau dipilih mengikut citarasa masing-masing. 

Cara-cara

Ini pula cara untuk membuatnya langkah demi langkah.

Cara Buat Inti Telur Bungkus

1. Tumis

Mula-mula, tumiskan bawang putih dan bawang besar.

2. Masukkan Ayam & Sos

Kemudian, masukkan ayam yang telah dicincang halus. Seterusnya, masukkan sedikit sos tiram dan sos tomato.

3. Masukkan Semua Sayuran & Cili

Akhir sekali, masukkan semua sayuran sehingga masak. Bila dah siap, ketepikan dalam sebuah bekas lain.

Cara Bungkus Dengan Telur

1. Masak Telur

Pecahkan telur dalam mangkuk dan kacau sebati. Masak telur macam buat telur dadar. Lenggangkan sedikit kuali untuk buat telur yang nipis.

2. Letakkan Inti

Bila telur dah separuh masak, ambil inti yang telah siap dan letak di atas telur tadi. Kemudian, bungkus telur perlahan-lahan.

3. Telangkupkan Pinggan

Masa nak angkat, telangkupkan pinggan ke atas telur yang dah dibungkus tadi.  Maksudnya, sebelah tangan tahan pinggan dan sebelah lagi terbalikkan kuali. Bahagian yang dilipat / dibungkus tadi akan berada di sebelah bawah.

4. Siap Dihidang

Ok bila dah siap, bolehlah taburkan bawang goreng atau letakkan sos cili. Hidangkan juga dengan hirisan timun atau tomato. Macam dekat warung tu!

Mudahnya!

Wah, mudah betul cara membuatnya. Rasanya tak sampai 15 minit boleh siap ni. Part bungkus telur tu mungkin kenalah hati-hati sikit kalau tak biasa.

Apapun, anda di rumah kenalah mencubanya ya. Sedap tau!

 

*Resepi telur bungkus yang sedap & simple ini disumbangkan oleh Puan Azriena Ien. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. 

Yang Popular

To Top