Dapur

7 Tips & Rahsia Goreng Telur Yang Sedap. Macam Di Restoran!

3.8K
SHARES

Telur dadar atau telur mata adalah pelengkap hidangan yang sangat mudah dan membuka selera. Tak kiralah walaupun dimakan dengan nasi kosong, tetap habis sepinggan. Siap ada yang bertambah lagi!

Sebenarnya, ada banyak cara untuk anda pelbagaikan cara menggoreng telur. Sekali-sekala, seronok juga ubah citarasa dan cuba sedikit kelainan, bukan?

Jom tengok beberapa tips dan teknik menggoreng telur yang boleh dicuba sendiri di rumah.

7 Tips & Cara Goreng Telur Yang Mesti Anda Cuba. ‘Simple’ & Sedap!

1. Telur Dadar Gebu

Cara paling mudah mendapatkan telur dadar yang gebu adalah dengan meletakkan sedikit air (lebih kurang 1 sudu) ke dalam telur yang dipecahkan. Kemudian pukul telur sampai berbuih dan gorengkan seperti biasa. Pastikan minyak dalam kuali dah betul-betul panas.

Selain itu, boleh juga letakkan sedikit mayonis dan tutupkan sebentar kuali sementara ia masak dan kembang. Memang gebu gebas!

Foto Kredit: delishably.com

2. Telur Dadar Crispy

Ada yang suka telur dadar jenis rangup di luar. Rahsianya adalah dengan mencampurkan sedikit bancuhan tepung jagung.

Kalau tak ada tepung jagung, cuba letakkan secubit gula dan garam. Telur dadar akan menjadi rangup di tepinya asalkan ia dipukul lama sedikit ya. Kalau malas nak pukul, blender pun boleh. Bubuh minyak banyak sikit, dan kemudian goreng seperti biasa.

Foto Kredit: seriouseats.com

3. Telur Dadar Lembut & Lemak

Bagi yang suka telur dadar jenis lembut dan lemak, gorengkan telur dadar menggunakan mentega atau marjerin. Campurkan sedikit susu segar ke dalam telur yang dipecahkan. Nak lagi sedap, tambahkan sedikit parutan keju. Aromanya pasti cukup memikat.

Foto Kredit: geniuskitchen.com

4. Telur Dadar Ala Siam

Bagi yang suka rasa pedas ala siam, perahkan sebiji limau nipis bersama bawang putih yang dicincang halus, bawang besar kuning yang dipotong dadu, sedikit kicap, garam, dan cili. Kemudian, gaulkan dengan telur yang dah dipukul.

Kalau nak lagi kaw, ada yang suka letakkan sedikit udang segar ke dalamnya. Wah, terangkat!

Foto Kredit: dreamstime.com

5. Telur Goreng Kentang

Ambil sebiji kentang kecil dan potong berbentuk dadu kecil. Gorengkan kentang ini terlebih dahulu sehingga agak garing. Kemudian, hiris bawang besar dan bawang putih. Masukkan semua bahan ini dan gaulkan dengan telur bersama garam atau perasa. Memang sedap di’ratah’ walaupun dimakan begitu saja. Kalau cicah dengan sos lagi sedap.

Sebenarnya, kalau di luar negara telur seperti ini juga dikenali sebagai Spanish Omelette.

Foto Kredit: ecoo.it

6. Omelette Ala Inggeris

Bagi anda yang suka telur dadar ala Inggeris atau ala hotel, boleh cuba variasikan telur dadar dengan memasukkan rempah atau herba yang biasa digunakan dalam masakan Barat.

Mula-mula, gorengkan telur dahulu yang telah diperasakan dengan serbuk lada hitam / oregano bersama garam secukupnya. Bila telur dah separa masak, baru taburkan inti di tengah-tengahnya perlahan-lahan. Antara bahan yang biasa digunakan adalah ayam cincang atau sosej, cendawan, dan tomato yang dipotong dadu. Bila bahan-bahan dah ‘set’, boleh terbalikkan.

Jika bahan agak banyak, gunakan 2-3 biji telur untuk menampung kesemua bahan ini agar ia terhasil dengan cantik. Ada juga yang suka jenis telur hancur dan dikacau. Terpulang pada citarasa masing-masing ya.

Foto Kredit: taste.com.au

7. Telur Mata ‘Goyang’

Bagi yang suka makan telur mata yang cair kuningnya, ada teknik memasaknya supaya dapat terhasil dengan sempurna.

Salah satu cara adalah dengan menyiram-nyiram bahagian atas telur dengan minyak semasa digoreng. Gunakan api sederhana, tak terlalu besar. Telur tak perlu diterbalikkan.

Selain itu, boleh juga tutup periuk selama beberapa ketika untuk pastikan telur dapat masak di kedua-dua permukaan tanpa perlu diterbalikkan.

Foto Kredit: pinterest.com

Mudah Saja, Selamat Mencuba!

Selepas ini, bolehlah anda pelbagaikan lagi cara menggoreng telur. Ia boleh dihidangkan dengan aneka masakan di rumah. Mesti takkan bosan!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×