Dapur

Resepi Sup ‘Minestrone Itali’, Sedap Dihirup Di Waktu Hujan & Ketika Demam!

19
SHARES

Kebiasaannya, apabila kita tidak sihat badan tekak selalu meragam susah nak telan makanan dan bubur nasi selalu dijadikan sebagai penyedap tekak. Kali ini apa kata anda cuba pula hidangan baru iaitu sup minestrone bersama mi pasta sebagai pengganti ‘ubat’ makanan anda yang sebelum ini.

Melalui perkongsian Puan Siti Hazneza Abdul Hamid, sup minestrone berasal dari Itali dan penyediaannya amat mudah. Tambahan pula, sup ini biasa dihidangkan di hotel dan amat sesuai juga dijamu ketika musim hujan atau demam. Wah lazatnya!

Baca juga: Petua Cairkan Lemak Perut & Hilangkan Bau Badan, Kena Minum Air Ini Rupanya!

SEDAP DIHIRUP KETIKA HUJAN & SAKIT DEMAM, LAZATNYA!

Gambar: Hidangan sup minestrone bersama mi pasta yang sedia untuk dimakan. Jika tenang-tenang di rumah, begini hidangannya.

Jom ke Itali – Sup Minestrone

Selalu kita nampak sup minestrone dihidang di hotel-hotel bukan? Sup tomato panas-panas dengan ubi kentang, lobak merah, bunga kubis, brokoli, lada benggala dan pasta.

Pasta yang elok untuk sup minestroni adalah yang jenis comel-comel seperti elbow macaroni, ditalini (bentuk roda kecil-kecil) atau spiral (satu warna atau kuning – hijau – jingga).

Sup ini sangat mudah dibuat. In shaa Allah.

Musim hujan atau jika ada yang demam, sedap juga makan sup minestrone panas-panas menggantikan bubur nasi. Kebiasaan di hotel mereka letak pasta siap-siap dalam sup. Ya, saya pun sama jika hendak dihidang terus.

Gambar: Enakkan. Orang dewasa dan kanak-kanak pun suka. Makan panas-panas. Silakan.

Jika belum mahu dimakan atau tetamu tidak sampai serentak, saya sarankan asingkan pasta sehingga sampai masa hendak makan.
Bukan apa, pasta menyerap kuah. Saya pernah masukkan sekali pasta spiral dan apabila saya buka periuk kali kedua kuahnya sudah hilang, pasta saya bukan saja gemuk dan kembang, bahkan dah tidak spiral lagi!

Keritingnya sudah terbuka dan pasta jadi lebar macam kuetiau. Dari Itali terus sampai China.

Siti Hazneza binti Abdul Hamid, bintang xyz.

Penerangan pada setiap gambar.

RESEPI SUP MINESTRONE ITALI

1. PENYEDIAAN SUP

1. Saya rebus daging korban dalam periuk nasi elektrik. Apabila daging empuk, saya dadukan.

2. Kemudian tambah:

  • 2 biji ubi – didadu
  • 1 biji lobak merah – didadu
  • 1 biji bawang Holland – didadu
  • 1 biji tomato – didadu
  • ½ biji cili benggala hijau – didadu
  • ½ brokoli saiz sederhana – dipotong-potong
  • 1 sudu makan oregano
  • 1 cawan tomato puree
  • ½ cawan sos tomato
  • 2 sudu teh garam/ secukup rasa
  • 1 sudu makan lada hitam/ secukup rasa
  • 2 kiub pati daging (jika mahu)

3. Rebus sehingga sayuran empuk.

4. Boleh tambah celeri dan bunga kubis jika mahu. Saya tiada kedua-dua sayuran tersebut hari ini.

*Jika tidak makan daging, anda boleh gantikan dengan isi dada ayam atau isi ayam bahagian yang anda suka. Potong kecil-kecil.

Boleh juga dibuat vegetarian tanpa daging mahupun stok binatang.

2. PENYEDIAAN MI PASTA

PENYEDIAAN PASTA UNTUK MAKAN SEHARI

1. Celur pasta mengikut arahan pengeluar.

2. Selepas ditoskan dari air rebusan, titiskan 2 – 3 sudu makan minyak masak dan gaulkan supaya tidak melekat.

Ada juga yang menggaul dengan marjerin/mentega tetapi saya rasa minyak lebih baik dan lebih jimat.

PENYEDIAAN MI PASTA UNTUK MAKAN LEBIH SEHARI

1. Jika anda hendak simpan dalam peti sejuk untuk makan pada hari yang lain, tidak perlu letak minyak.

2. Bilas pasta dengan air sejuk (air paip memadai) supaya kanjinya hilang dan tidak melekat semasa simpanan.

SUP MINESTRONE & MI PASTA SEDIA UNTUK DIHIDANG!

Sup siap. Pasta siap.

Jika hendak dihidang, bolehlah campurkan sekali atau campu pasta bertahap-tahap.

Maksud saya, sendukkan sup dan pasta ke dalam mangkuk besar untuk hidangan supaya tetamu dapat ambil dari mangkuk tersebut dan apabila sup minestrone dalam mangkuk habis, tambah lagi.

Jika belum hendak makan, elok diasingkan.

CARA PENYIMPANAN YANG BETUL UNTUK KEKAL PANAS SEBAGAI BEKAL

Begini saya bawa untuk makan tengah hari anak-anak sebelum mereka ke sekolah agama selepas sekolah kebangsaan.

Saya sendukkan sup ke dalam termos supaya kekal panas. Atau setidak-tidaknya masih panas apabila mereka makan nanti.

Cara ini juga sesuai dibawa berjalan atau ke potluck.

Jika dalam perjalanan dan untuk makan dalam kenderaan, saya letakkan pasta dan isi sup sahaja dalam bekas untuk setiap individu. Lebih baik jika bekas bertangkai, senang hendak pegang.

Apabila sampai masa hendak makan, saya cuma tuang sup panas/suam ke dalam bekas mereka tanpa perlu membuka penutup sebelah dalam termos kerana inti sudah ada di luar.

Kaedah ini lebih mudah dan selamat terutama dalam kenderaan yang sedang bergerak. 

Sumber: Facebook Siti Hazneza Abdul Hamid  vi Masak Apa Hari Ni..(MAHN)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×