Kalau sebut sahaja nasi ulam, mesti teringat kampung. Tambah-tambah lagi, nasi ulam air tangan ibu atau nenek di kampung! Dalam bulan Ramadhan ini, nasi ulam kini kembali menjadi pilihan ramai. Tetapi, yang sedapnya mestilah resepi nasi ulam turun temurun daripada banyak generasi!
Boleh juga dapatkan di bazar ramadhan, tapi sebenarnya nak buat nasi ulam senang je! Hanya perlukan sediakan bahan kemudian beberapa langkah mudah dan nasi ulam pun akhirnya siap. Nak tunggu balik kampung ibu buatkan? Memang lambat lagi! Jom ikuti perkongsian resepi nasi ulam ini daripada arwah ibu penulis asal sendiri!
Baca juga: Resepi Nasi Arab Simple Tapi Sedap Sangat. Guna Beras Biasa Pun Jadi!
RESEPI NASI ULAM TURUN TEMURUN, PASTI SATU PINGGAN PUN TAK CUKUP!
Bahan-bahan:
- Nasi putih
- Ikan talang masin
- Kerisik (sangai kelapa parut sampai garing dan kisar halus)
- Bunga kantan (hiris halus)
- Ikan kembung bakar (ambil isinya)
- Lada hitam
- Bawang merah kecil (hiris halus)
- Serai (hiris halus)
- Lengkuas (racik halus)
- Halia (racik halus)
- Ulam-ulaman daun selom, daun kunyit, ulam raja, tenggek burung, daun kesom, pucuk mengkudu, bunga kantan, daun kaduk, pucuk gajus, daun limau purut, daun pegaga (dan daun ulam-ulaman lain yang boleh didapati)
Cara penyediaan:
1. Cuci daun-daun ulam, keringkan dan potong sehalus mungkin.
2. Bakar ikan talang masin tadi dan hancurkan.
3. Potong halus-halus bawang, bunga kantan, lengkuas, halia dan serai.
4. Tumbuk halus lada hitam bersama ikan kembung yang dah dibakar (ambil isinya).
5. Kemudian, semua ulam-ulaman dan daun-daun digaul dahulu dengan ikan talang masin dan sedikit garam halus.
6. Selepas sebati, baru digaul dengan nasi putih.
7. Nasi ulam resepi turun temurun akhirnya siap!
Nasi ulam ini ‘special’, makan begitu pun dah sedap. Tapi, kalau nak lagi sedap, boleh juga makan bersama keropok keping atau telur masin! Kalau begini, satu pinggan memang tak cukup. Itulah keistimewaan nasi ulam, bukan sahaja ia menu sihat, tapi yang paling penting sedap di tekak.
Jadi, apa kata anda cuba resepi nasi ulam untuk juadah berbuka hari ini. Mesti berebut satu keluarga!
Selamat Mencuba!
Sumber: Lubuk Resepi Viral