Dapur

Cara Mudah Buat Ketupat Pulut Guna Daun Pandan. Lembut & Harum Semerbak!

“Bestnya kalau dapat makan ketupat pulut raya ni. Tapi susah betul nak cari daun palas. Daun pandan adalah berlambak dekat belakang rumah tu…”

Ketupat pulut adalah antara makanan yang paling digemari ketika hari perayaan. Hidangan ini agak istimewa dan berbeza sedikit berbanding ketupat nasi sebab tak semua rumah membuatnya.

Mungkin juga ada yang merasakan ianya lebih renyah dan leceh. Tapi sebenarnya, anda boleh membuatnya dengan mudah saja di rumah. Bayangkan kalau pulut tu dibalut dengan daun pandan. Mesti satu rumah akan berbau wangi bila dimasak!

Jom tengok resepi sumbangan Puan Mieza Hasmiza ini. Menurutnya, inilah versi ketupat pandan yang dibuat oleh emaknya sendiri.

Apa yang menariknya, cara yang beliau kongsikan ini mudah sangat, sebab kita boleh guna rice cooker saja.

Cara Buat Ketupat Pulut Guna Daun Pandan. Lembut & Harum Semerbak!

Bahan-bahan

  • Beras pulut
  • Santan
  • Garam secukup rasa
  • Daun pandan untuk membalut

*Sukatan beras pulut dan air santan  sama banyak

1. Rendam Beras Pulut

Mula-mula, rendamkan dulu beras pulut selama 1 jam.

2. Masak Pulut Dengan Rice Cooker

Kemudian, sukatkan air santan dan beras biar sama banyak.

Saya masak dalam rice cooker senang. Tunggu sampai agak-agak berasnya dah melekat dan anjal. Separuh masak pun tak apa sebab nanti kita akan kukuskan lagi.

3. Sejukkan

Bila dah tutup suis rice cooker, cedokkan pulut yang dah hampir masak ke dalam talam atau pinggan.

Kita nak biarkan pulutnya sejuk sedikit supaya mudah nak diisi dalam daun pandan nanti.

4. Balutkan

Bila pulut dah agak sejuk, bolehlah balut pulut tadi dengan daun pandan.

Boleh tengok cara isikan pulut ke dalam kelongsongnya dalam gambar di bawah ini.

Boleh nampak yang akhir sekali tu saya ikat dengan tali rafia aja senang.

Tips 1: Jangan isi penuh sangat sebab nanti ia akan mengembang bila dah dikukus. Kita taknaklah isinya terkeluar pula daripada sarungnya.

Tips 2: Kalau nak daun tu tak patah masa nak membalut, ambil daun pandan sehari awal dan rendam dalam air supaya lembut dan mudah dibentuk

5. Kukus 15-20 minit

Bila dah siap balut, saya kukus lagi selama 15-20 minit.

Kalau tak pasti takut tak masak, lepas 20 minit boleh cuba ambil sebiji dan rasa. Alhamdulillah saya cuba tengok, memang dah masak elok.

Ini hasilnya yang dah siap kukus, bolehlah dihidangkan dengan rendang, serunding atau kari kesukaan masing-masing.

Sedap, Wangi Dan Lembut!

Wah, dah siap pun ketupat pandan kita. Memang tergoda tengok. Lembut dan sedap sangat rasanya. Nak buat pun senang, kan?

Jom cuba buat di rumah!

 

*Resepi ketupat pandan ini dikongsikan oleh Puan Mieza Hasmiza. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan, rujuk post asal beliau di SINI

Yang Popular

To Top