Dapur

Tak Ada Oven Pun Boleh ‘Baking’. Ini Cara Bakar Kek Pisang Guna Kuali Je

“Dah lama tak baking sejak oven tu rosak. Syok betul tengok orang share macam-macam resepi. Nampak sedap betul, tambah pulak kalau dapat makan kek tu panas-panas! Fuh nikmatnya…”

Sesekali memang teringin nak makan kek homemade. Nak-nak pula bila macam-macam resepi kek yang asyik lalu-lalang dekat wall kita. Tapi tak semua orang ada oven di rumah. Yang ada pun, kadang-kadang tu rosak dah tak boleh pakai.

Tapi sebenarnya anda masih boleh baking dan buat kek tanpa oven. Jom belajar cara bakar kek menggunakan api dari dapur gas saja. Mudah dan menjadi tau!

Ikuti perkongsian step-by-step selengkapnya oleh Puan Hazliza Dza di bawah ini.

Cara Mudah Bakar Kek Atas Dapur Gas. Guna Kuali Je!

Disebabkan ramai yang bertanya saya macam mana nak bakar kek guna kuali, di sini saya nak kongsikan langkahnya beserta dengan gambarnya sekali.

1. Panaskan Kuali

Mula-mula, panaskan kuali atas api dapur dan pastikan kuali itu ditutup ya. Sama macam oven juga, kiranya kita tengah pre-heat lah ni.

Masa panaskan kuali ni nak gunakan api besar pun tak apa. Bila agak-agak kuali dah cukup panas, bolehlah kecilkan api semula.

2. Letakkan Tungku

Kemudian, kita gunakan tungku untuk letakkan acuan kek atau loyang di dalam kuali. Bubuhkan macam dalam gambar di bawah ini.

3. Tutup Kuali

Bila dah letakkan acuan kek tu, tutupkan kuali bagi rapat. Saya guna penutup pengukus je senang sebab besar dan dapat bagi ruang untuk kek tu naik.

Bakar tanpa air ya. Jangan risau kuali tak akan terbakar. Kalau ada bubuh air dekat bawah akan jadi kukus.

4. Bakar Sampai Masak

Biarkan sampai kek tu masak. Masa tu bergantung pada saiz kek juga. Biasanya sekitar 30-40 minit dah boleh check.

Kalau yang saya buat ni lebih kurang 50 minit. Kalau nak tahu dah masak ke belum, boleh cucuk guna lidi. Kalau dah tak ada isi yang melekat pada lidi, maksudnya kek dah masak elok.

NOTA: Jangan sesekali buka penutup periuk sebelum 30-40 minit bakar ya sebab takut kek jadi mendap dan bantat.

Siap!

Beginilah hasilnya kek pisang yang dibakar guna kuali tadi. Nampak sedap kan? Hasilnya tak ubah macam kita guna oven, semua bahagian masak elok dan sempurna.

Jadi siapa yang belum ada oven di rumah, bolehlah cuba cara ini untuk bakar kek atau buat kuih dan cookies. Memang mudah dan puas hati.

* Memandangkan ada yang tanya resepi kek pisang ni, saya akan sertakan resepinya sekali supaya tak payah susah-susah nak belek tempat lain.

Jom check it out.

Resepi Kek Pisang Bakar Guna Kuali

Bahan-bahan

i) Bahan Blender

  • 1 cawan pisang yang dah dilecek (apa-apa jenis pisang boleh)
  • 3/4 cawan gula (kemanisan ikut citarasa masing-masing)
  • 3 biji telur
  • 1 cawan minyak masak
  • 1 sudu besar limau nipis (b0leh guna lemon, limau kasturi atau apa-apa yang seangkatan dengannya)
  • Secubit garam

ii) Bahan Ayak

  • 1 1/2 cawan tepung
  • 1 sudu kecil baking soda
  • 1 sudu kecil baking powder

Cara-cara

1. Blender

Pertama sekali, blenderkan semua bahan yang perlu di blend kecuali pisang. Blend kan dalam 2-3 minit.

Bila dah sebati semua bahan tu barulah masukkan pisang dan blend sekejap saja sampai agak hancur.

2. Satukan Bahan Ayak

Seterusnya kita satukan bahan-bahan ayak dalam satu bekas. Kacau sebati.

Kemudian tuangkan bahan yang di blend tadi ke dalam bekas yang berisi bahan ayak. Kacau lagi sampai sebati.

3. Tuangkan Dalam Acuan

Akhir sekali, sapukan marjerin atau mentega pada loyang untuk elakkan acuan daripada melekat. Kalau nak guna baking paper pun boleh, tapi sebab saya tak ada saya sapukan marjerin je.

4. Hiaskan

Sebelum dibakar, bolehlah bubuhkan sedikit hirisan pisang di atasnya. Pastikan pisang tu dipotong nipis-nipis sebab tak nak bagi tenggelam dalam adunan kek tadi.

5. Bakar / Kukus

Akhir sekali, bolehlah bakar kek tadi menggunakan cara yang saya jelaskan di atas. Nak kukus pun boleh guna resepi ini.

Dah Boleh Baking Walaupun Tak Ada Oven!

Siapa kata tak ada oven tak boleh baking di rumah. Dengan cara ini, macam-macam boleh buat asalkan ada kuali.

Jadi lain kali, dah bolehlah save macam-macam resepi untuk dicuba.

Berbaloi dan puas hati walaupun tak gunakan oven. Cubalah!

 

**Cara bakar kek guna kuali ini dikongsikan oleh Puan Hasliza Dza menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan dan lebih banyak resepi, boleh follow beliau di SINI.

To Top