Dapur

Resepi Puding Karamel Tanpa Telur. Tak Hanyir & Tak Perlu Kukus!

resepi puding karamel

“Sedapnya puding karamel. Kalau buat hujung minggu ni mesti seronok. Tapi, ada tak resepi yang tak payah guna telur? Selalu buat nanti berbau telurlah.”

Memang nikmat makan puding karamel, sejuk rasa tekak. Lebih-lebih lagi kalau dapat waktu tengah panas, kan?

Tapi tak semua orang boleh makan puding karamel sebab ada yang alah dengan telur. Kadang-kadang kalau tak kena cara, puding yang kita buat pun boleh berbau hanyir.

Ini dia resepi puding karamel tanpa telur yang mudah dan cepat hasil perkongsian Puan Mimiey Zuhaa. Yang seronoknya, ia tak perlu dikukus pun! Yang tak boleh makan pun mesti boleh makan.

Jom kita ikuti resepi beliau di bawah ini.

Resepi Puding Karamel Tanpa Telur. Tak Hanyir & Tak Perlu Kukus!

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

Bahan gula karamel:

  • ¼ cawan gula
  • 3 sudu besar air

Bahan puding:

  • 1 paket agar-agar (10gm)
  • 4 cawan air
  • 1 tin susu cair
  • ½ cawan susu pekat
  • ¾ cawan gula (kalau nak manis lagi letak 1 cawan)
  • 3 sudu tepung kastard
  • 1 sudu kecil esen vanila

Cara-cara

Jom kita tengok cara-cara membuatnya pula.

1. Buat Gula Karamel

Mula-mula, kita panaskan gula dan air di dalam periuk dengan api perlahan. Tunggu sehingga gula keperangan dan kacau hingga rata. Inilah gula karamel.

Bila dah siap, tuangkan ke dalam loyang /acuan dan ketepikan dulu.

2. Masak Puding

Dalam satu periuk lain, satukan kesemua bahan untuk puding dan masak atas api perlahan.

Tunggu sampai ia larut dan tidak berketul. Bila adunan dan agak pekat, boleh tutupkan api.

3. Tapis

Seterusnya, tapis adunan puding dan masukkan ke dalam loyang berisi karamel tadi.

4. Sejukkan

Kemudian, masukkan ke dalam peti sejuk selama 2-3 jam atau hingga adunan puding mengeras.

Bila dah keras, beginilah hasilnya. Geram tengok, kan?

Ok dah siap, bolehlah potong dan hidangkan untuk dimakan sejuk-sejuk. Sedap!

Mudahnya, Rugi Tak Cuba!

Tak susah kan? Sesuai untuk dijadikan pencuci mulut dan boleh juga dihidangkan bila tetamu datang.

Mudah, ringkas dan cepat. Rugi tak cuba tau!

 

*Resepi asal puding karamel tanpa telur ini disumbangkan oleh Puan Mimiey Zuhaa melalui Facebook Group Masak Apa Hari Ni (MAHN). Ia disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran.

Yang Popular

To Top