Dapur

Resepi Mini Chocolate Cupcake 2 Bahan. Sedap & Moist, Bajet Tak Sampai RM10

666
SHARES

Resipi yang pernah menjadi viral suatu ketika dulu iaitu Kek 2 Bahan. Cuma kali ini ia diolah menjadi Mini Chocolate Cupcake. Mudah sangat nak buat Kek 2 Bahan ni, sebab memang guna 2 bahan saja.

Dengan 2 bahan ini dah boleh buat kek yang sedap, dan yang paling penting memang mudah. Sangat jimat bajet sebab tak sampai RM10 dah boleh dapat lebih kurang 40 biji Mini Chocolate Cupcake. Sesuai jugalah kalau nak buat untuk majlis kecil atau dibawa ke pejabat.

Jom cuba resepi menarik yang dikongsikan oleh Cik Nur Yusrina ini.

Mudahnya! Ini Resepi Mini Chocolate Cupcake 2 Bahan

Berikut adalah bahan-bahan dan cara-cara membuatnya yang amat mudah.

Bahan-Bahan

  • 2 Bungkus Biskut Cream O – Perisa Coklat
  • 1 Kotak Susu Pokka Cookies & Cream 250ml (Saya beli di kedai ECO RM2. Kalau tak ada, boleh guna susu Dutch Lady)

resepi cupcake mudah

Cara-cara

1. Masukkan Bahan Ke Dalam Blender

Mula-mula masukkan susu dan biskut ke dalam blender. Pastikan blender bebas daripada bau bawang dan cili ya.

2.Kisar

Kisar susu dan biskut tadi sampai halus menjadi adunan.

3. Masukkan Dalam Bekas Acuan

Kemudian, sediakan apa-apa bekas untuk dikukus. Saya guna cup biskut raya tu dan terjadilah Mini Cupcake.

resepi cupcake

4. Kukus

Lepas siap tuangkan adunan, kukus macam biasa.

Kalau nak tahu masak ke belum, cuba cucuk guna garfu. Kalau masih ada adunan yang melekat pada garfu tu bermakna kek kita belum masak. Kukus lagi sampai betul-betul masak.

 

5. Biarkan Sejuk

Selepas siap dikukus, rehatkan dulu dan biarkan ia sejuk dulu sekejap.

Akhir sekali, kalau nak buat topping bolehlah tuangkan apa-apa topping di atas kek ikut kreativiti masing-masing. Tapi tak letak topping pun tak apa sebab dah cukup sedap. Saya tak letak topping pun sebab takut nanti manis sangat.

Sedap Tau, Tak Rugi Buat!

Wah, sekejap saja dah siap. Nampak sedap kan? Comel sungguh kejadiannya. Tak rugi buat mini cupcake ni, boleh kongsi makan ramai-ramai. Sekejap saja ‘licin’ semuanya. Kalau seorang makan tak habis, boleh simpan untuk esok pula.

Mesti ada banyak lagi bekas cup kuih raya lebihan hari tu punya. Jadi, takkan tengok aja, kenalah cuba resepi Mini Cupcake 2 bahan ni. Rasanya semua orang pun boleh buat sebab senang sangat.

Selamat mencuba!

 

*Resepi Mini Chocolate Cupcake ini dikongsikan oleh Cik Nur Yusrina Mohd Zahari. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×