Dapur

Resepi Corn Dog Comel Bersama Caesar Salad Yang Mesra Poket

10
SHARES

Kebiasaannya, paling murah boleh didapati harga seketul corn dog adalah 7 ringgit dan selebihnya mencecah 10 ringgit dan ke atas. Memang agak mahal mungkin kerana bahan-bahan yang terdapat padanya seperti mozzarella cheese.

Namun, boleh saja menyediakan corn dog di rumah dengan harga yang mesra poket sekiranya anda adalah peminat makanan ini. Malah, ianya enak digandingkan bersama caesar salad untuk jadikan ia hidangan yang lebih seimbang sebagaimana dikongsikan resepi oleh Puan Siti Hazneza Abdul Hamid.

Baca juga: Anak Rindu Air Tangan Emak Kongsi Resepi Mee Hoon Taucu, Doakan Kesihatannya

CORN DOG DIPADANKAN BERSAMA CAESAR SALAD SEBAGAI MAKANAN SEIMBANG!

Gambar: Hidangkan dengan stuffed puppies atau mini corn dog supaya menjadi hidangan lengkap.

Anak siapa suka makan corn dog? Atau diri sendiri yang suka?

Corn dog sebenarnya gabungan corn bread dengan hot dog (sosej). Asalnya dari Texas, Amerika Syarikat yang diperkenalkan oleh keturunan Jerman yang ada di sana.

Asalnya tiada dicucuk kayu. Kayu dicucuk kemudian untuk pengendalian makanan yang lebih bersih dan cara makan yang lebih selesa. Selang tahun dan masa, corn dog mula jadi makanan yang mesti ada di karnival-karnival (pesta ria) di serata Amerika.

Hari ini, corn dog bukan sahaja guna salutan corn bread tetapi pelbagai adunan lagi. Harga seketul corn dog paling murah saya pernah beli adalah tujuh ringgit, yang lain tu sampai lebih daripada sepuluh ringgit seketul.

Hendak buatnya tidaklah susah, Inshaa Allah. Harga pun lebih mesra poket.

Oleh sebab saya buat jenis comel-comel begini, ia juga dipanggil stuffed puppies (anak anjing sumbat). Eh, tak ada anjing terlibat.

Adunan corn bread yang dibuat lembik dan digoreng seperti cucur atau jemput-jemput dipanggil hush puppies (bukan jenama kasut, ya). Jadi apabila hot dog/sosej dimasukkan ke dalam adunan itu, jadilah stuffed puppies.

Corn bread asalnya guna corn meal tetapi saya ganti dengan suji. Jadi! Alhamdulillah. Saya padankan dengan Caesar Salad untuk jadikan makanan seimbang. Selamat mencuba.

RESEPI CORN DOG COMEL

BAHAN-BAHAN KERING:

  • 1 cawan tepung gandum.
  • ¾ cawan suji halus.
  • 1 sudu teh garam/ secukup rasa.
  • 1 sudu teh serbuk penaik.
  • 1 sudu teh daun parsley kering.
  • Secubit rosemary (jika mahu).
  • Secubit gula (jika mahu, saya tidak letak).

BAHAN-BAHAN B:

  • Sebiji telur.
  • 1 cawan susu.

CARA PENYEDIAANNYA:

1. Gaul rata bahan-bahan kering A. Sementara bahan-bahan B dipukul ringan.

2. Tuang adunan bahan B ke dalam bahan kering A dan kaup-kaupkan. Jangan aduk terlalu agresif.

3. Bahagi dua jika hendak ada versi pedas seperti saya. Masukkan adunan ke dalam bekas yang dalam seperti mangkuk dalam atau gelas untuk memudahkan kerja menyalut berikutnya.

4. Untuk yang lebih pedas, saya hiris sebiji cili padi hijau dan sebiji cili padi merah. Bukan sahaja pedas tetapi juga cantik.

5. Empat batang sosej dibelah empat memendek. Jika mahu corn dog yang besar, tidak perlu potong.

6. Gaul dan golek-golekkan dalam tepung gandum.

7. Masukkan dalam adunan corn bread/ hush puppies.

8. Pusing-pusingkan sosej supaya seluruhnya bersalut adunan corn bread.

9. Goreng dalam minyak panas sehingga garing.

RESEPI CAESAR SALAD

BAHAN-BAHAN A:

  • 2 pokok salad romaine.

BAHAN-BAHAN B (KUAH SALAD DRESSING):

  • ¼ cawan mayonis.
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam.
  • ½ sudu teh garam/ secukup rasa.
  • 1½ sudu teh oregano/ mixed Italian herbs.

CARA PENYEDIAANNYA:

1. Potong kasar, basuh dan toskan air salad romaine.

2. Tambahkan 2 sudu makan cuka atau jus lemon pada bahan-bahan B.

3. Tambahkan 1-2 ulas bawang putih yang dicincang halus atau dilenyek.

4. Gaul rata. Rasa dan tambah perisa (garam, lada, cuka atau bawang putih) jika perlu.

5. Gaulkan daun salad romaine dengan kuah salad.

Sumber: Facebook Siti Hazneza Abdul Hamid via Masak Apa Hari Ni..(MAHN)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×