Dapur

Anak Rindu Air Tangan Emak Kongsi Resepi Mee Hoon Taucu, Doakan Kesihatannya

50
SHARES

Hanya dengan air tangan ibu, sudah dapat membuatkan sesuatu hidangan itu menjadi enak. Ia antara nikmat yang perlu dihargai sekiranya masih mempunyai ibu yang kuat kudratnya untuk menyediakan masakan buat keluarga.

Sebagaimana luahan perasaan yang disertakan resepi mee hoon taucu ini dikongsikan oleh Puan Siti Zanariah Khalit. Dia merindukan air tangan lazat dari emaknya, yang kini sudah menginjak usia tua dan tidak lagi larat untuk menyediakan makanan buat mereka sekeluarga. Semoga perkongsian resepi ini dapat diiringi doa buat kesihatan ibu bapanya juga.

Baca juga: Ini Resepi Minuman Teh Guna Biji Avocado, Jangan Buang Sebab Ada Banyak Khasiat!

RINDU MASAKAN EMAK TAPI DIA SUDAH TUA & TAK LARAT

Rindu emak. Cuti sekolah ni saya belum berkesempatan balik ke rumah emak abah, kerana rindu saya masak mee hoon taucu hari ini.

Antara kegemaran kami adik-beradik. Setiap kali kami balik emak akan masak makanan kegemaran kami. Tapi itu dulu.

Sekarang emak dah tua. Nak berjalan pun dah tak larat. Ke mana-mana mak guna wheelchair. Maka setiap kali balik, kami masak siap-siap dari rumah kami untuk dibawa ke rumah emak supaya tak terkocoh-kocoh.

Di zaman mudanya emak suka ke kelas-kelas masakan. Hobinya memasak. Kek ulang tahun kami pun emak yang buat. Waktu tu rasa bangga bila bawa kek ke sekolah untuk dimakan bersama kawan-kawan “emak saya pandai buat kek krim”. Bangga.

Sekarang ni, mee hoon taucu menjadi kegemaran anak-anak saya. Setiap kali saya masak mereka makan berulang-ulang. Sama macam saya dan adik-adik saya dulu.

Resepi saya sertakan dibawah. Doakan emak dan abah saya diberikan kesihatan yang baik untuk menjalani hari tua mereka.

RESEPI MEE HOON TAUCU

  • Meehon – dicelur.
  • Air asam jawa.
  • Serbuk perasa.
  • Gula.
  • Air.
  • Minyak masak.

BAHAN TUMIS A (DIKISAR):

  • 30 biji cili kering – celur/rendam dengan air panas.
  • 1 biji bawang besar.
  • 4 biji bawang putih.

BAHAN B:

  • 1 mangkuk ikan bilis.
  • ½ botol taucu cap jalen (buang airnya).
  • Kisar ikan bilis dengan sedikit air jangan sampai terlalu halus. Kemudian masukkan separuh dari taucu. Kisar sekejap saja. Separuh lagi tak perlu dikisar supaya masih ada butir-butir taucu.

CARA MEMBUATNYA:

1. Tumis bahan A. Bila sudah terbit minyak, masukkan bahan B.

2. Biarkan sebati kemudian masukkan air asam, sedikit gula dan serbuk perasa. Saya tak menggunakan garam sebab ikan bilis dan taucu dah cukup masin.

3. Masukkan air mengikut kepekatan yang kita mahu. Jangan terlalu pekat dan jangan terlalu cair. Agak-agak saja.

4 . Biarkan mendidih.

Sumber: Facebook Siti Zanariah Khalit via Masak Apa Hari Ni..(MAHN)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×