Dapur

5 Resepi Asam Pedas Paling ‘Power’. Guna Sardin Pun Boleh!

4.1K
SHARES

Di Malaysia memang ramai yang gemarkan asam pedas. Resepi asam pedas ini cukup terkenal di Melaka dan Johor.

Ada yang menggunakan ayam, pelbagai jenis ikan, daging, tetel, atau apa saja yang ada untuk dibuat lauk.

Gabungan rasa pedas, masam, dan sedikit masin tentunya akan menaikkan selera walaupun hanya dimakan begitu saja dengan nasi putih.

Jadi, di sini kami ingin kongsikan 5 resepi asam pedas untuk tatapan penggemarnya.

 

Resepi 1 : Resepi Asam Pedas Melaka

Haih, kalau ke Melaka memang tak sah lah kalau tak ‘pekena’ asam pedas kan?

Tapi, kalau tak berkesempatan ke sana, anda pun boleh cuba membuatnya sendiri.

Resepi Asam Pedas Melaka ini mendapat sambutan hangat dan ramai yang telah mencubanya. Memang menjadi.

Nampak bahan yang digunakan macam banyak, tapi anda pasti terkejut dengan langkah membuatnya. Mudah sangat, cuma perlu ‘blender’ semua dan tumis. Siap!

resepi asam pedas melaka

Asam Pedas Melaka

Bahan-bahan

  • 3 keping ikan tenggiri (ikan lain pon boleh)

Bahan kisar:

  • 3 biji bawang merah
  • 10biji cili kering
  • 1/2 in halia
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1/4 sudu teh lada hitam
  • 1/2 in kunyit hidup
  • 2 ulas bawang putih

Bahan tumis:

  • @ 1/2 bawang besar-hiris
  • @ 1/4 sudu teh biji sawi
  • @ 1/4 sudu teh halba
  • @ 2 tangkai daun kari
  • air asam jawa secukupnya
  • air secukupnya
  • 1 biji tomato-potong2
  • 5 biji kacang bendi
  • 1 serai-diketuk
  • 1/2 bunga kantan atau daun kesum secukupnya
  • minyak masak
  • garam dan gula jika suka
 Cara-cara
  1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumis. Masukkan bahan kisar, biar pecah minyak.
  2. Masukkan air asam jawa dan air. Biar mendidih, masukkan ikan dan bahan-bahan lain.
  3. Masukkan garam dan gula, biar hingga masak. Hidangkan.

*Resepi asal oleh junsjs11 dari MyResepi.com

 

Resepi 2: Resepi Asam Pedas Daging Tetel

Resepi asam pedas yang kedua ini memang ‘special’ jugalah sebab daging tetel ini ada peminatnya tersendiri.

Menurut penulis resepi ini, orang yang mengajarnya resepi ini adalah jirannya yang juga berasal dari Melaka.

Berbeza daripada resepi di atas, resepi asam pedas ini menggunakan sedikit belacan dan kerisik yang akan menambah ‘kick’ lagi dalam gulai tersebut.

Siapa yang minat, rugi tak cuba tau!

asam pedas daging tetel

Asam Pedas Daging Tetel

Bahan-bahan

  • 1 kilo daging tetel – direbus dlm 2 jam utk empukkan daging
  • 1 bawang besar *
  • 5- 6 bawang putih*
  • 1 inci halia*
  • 1 sudu kecil lada hitam biji*
  • 1sudu besar ketumbar biji*
  • 1 sudu besar jintan kasar*
  • 1 sudu besar jintan halus*
  • 1inci lengkuas *
  • 2 buah keras*
  • 1 inci kunyit hidup* ( blend bahan*)
  • 1 sudu besar belacan **
  • 20-30 cili kering **- direbus dulu dan toskan ( blend bahan** hingga lumat…isi sedikit minyak masak utk hancurkan biji cili kering)
  • 8 batang serai – diketuk bagi hancur
  • 2 sudu besar asam jawa – dicampur dgn air
  • minyak tuk menumis, garam dan gula
  • 6 helai daun limau purut
  • 2 biji tomato – dibelah 6
  • 2 biji terung panjang/ bulat – dipotong jgn dibuang kulitnya
  • 1 sudu besar kerisik

Cara-cara

  1. Tumis minyak sedikit. Masukkan bahan blend * hingga naik bau dan masukkan serai yg telah diketuk tadi.
  2. Bila dah agak kering air tumisan tadi, baru masukkan bahan blend **. Masak sampai pecah minyak, macam masak asam pedas biasa.
  3. Masukkan daging tetel yang telah direbus tadi bersama air rebusan daging. Sebelum masukkan daging buang dulu minyak yg dah beku pada permukaan air rebusan supaya tak berminyak kuahnya.
  4. Masak sampai kuah didih dan masukkan air asam jawa. Tambah air kalau terasa kurang air. Masak lagi hingga daging betul-betul dah lembut.
  5. Masukkan kerisik, buah tomato dan terung. Masak hingga terung tadi layu atau bertukar warna.
  6. Kemudian masukkan daun limau purut yg dicarik.
  7. Perasakan dengan garam serta gula. Rasa kuahnya. Kalau OK boleh tutup api, siap untuk dihidangkan.

( Nota: Saya suka makan gulai ni dengan ikan masin goreng atau telor masin. Memang ngam sangat rasanya. Kalau nak makan dengan gulai pisang masak lemak pun sedap.)

*Resepi asal oleh quinnie dari MyResepi.com

 

Resepi 3: Resepi Asam Pedas Ayam Ala Johor

Kalau nak buat asam pedas untuk anak-anak, mungkin mereka lebih sukakan ayam kan?

Jadi, di sini kami turut sertakan resepi asam pedas ayam yang tak kurang ‘power’nya.

Hidangan ini amat terkenal di negeri Johor. Cubalah!

resepi asam pedas ayam

Asam Pedas Ayam

Bahan-bahan

  • 1 ekor ayam (dipotong 8@10@12)
  • 35 tangkai cili kering (gunting, rendam dan toskan)
  • 7 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit
  • 1 inci halia
  • Sebesar saiz ibu jari belacan
  • 1 batang serai (dititik)
  • 50gm daun kesum
  • Sekuntum bunga kantan (dibelah 5)
  • Air asam jawa (50gm asam jawa + secawan air)
  • 3 cawan air
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menumis
  • Pada sesiapa yang suka dan tahan pedas, bolehlah tambahkan sedikit lada hitam

Cara-cara

  1. Kisar cili kering + bawang merah + bawang putih + kunyit + halia + belacan
  2. Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan yang dikisar bersama serai sehingga garing
  3. Masukkan ayam + bunga kantan + daun kesum. Gaul sebati dan tutup kuali sehingga ayam agak mengecut
  4. Masukkan air asam jawa dan gaul sebati
  5. Masukkan pula garam. Gaul sebati
  6. Tambahkan air
  7. Akhir sekali, tutup kuali dan tunggu sehingga ayam empuk serta mendapat kepekatan kuah asam pedas yang ideal. (*Kuah bagi asam pedas ayam biasanya lebih pekat berbanding asam pedas ikan)

Nota: Asam pedas ayam biasanya agak berminyak disebabkan minyak yang turun dari ayam tersebut. Oleh itu, pada yang tidak gemar, boleh buangkan minyak tersebut terlebih dahulu sebelum menghidangnya

*Resepi asal oleh fidadaud dari MyResepi.com

 

Resepi 4: Resepi Asam Pedas Sardin

Wah, resepi ini memang lain daripada yang lain.

Mana taknya, kadang-kadang ada juga masanya stok bahan basah dah habis di rumah.

Jadi, kalau dah tak ada ikan, ayam, atau daging, anda boleh menggunakan sardin dalam tin saja untuk membuat asam pedas.

Bagi yang bujang-bujang tu bolehlah cuba. Yang nak ubah selera pun tak ada salahnya.

Cicah dengan roti pun sedap. Tak susah pun!

resepi asam pedas

Asam Pedas Sardin

Bahan-bahan

  • 1 tin(besar) sardin
  • 10-15 tangkai cili kering*
  • 1 biji bwg besar*
  • 5 ulas bwg putih*
  • 1/2 inc. halia*
  • sedikit belacan*
  • 1 sb lada hitam*(lebih atau kurangkan jika suka)
  • Kisar bahan2 bertanda* di atas
  • 1 biji bwg besar – hiris
  • 3 ulas bwg putih – hiris
  • 2 batang serai – titik
  • garam dan perasa secukup rasa
  • 1/2 cwn air asam drpd 1sb asam jawa
  • 2 biji tomato – dibelah 4
  • 2 tangkai lada hijau – dibelah 2 atau potong serong
  • 2 tangkai daun sup dan daun bawang – hiris 1 inc.
  • 1 biji terung – potong ikut suka
  • secukup minyak utk menumis
  • secukup air utk kuah

Cara-cara

  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan-bahan hiris dan serai hingga wangi.
  2. Kemudian masukkan bahan kisar dan tumis lagi hingga terbit minyak.
  3. Masukkan 1 cwn air dan gaul rata. Biar mendidih.
  4. Masukkan sardin dgn sosnya sekali,air asam, perasa, terung, dan lada hijau.
  5. Kacau perlahan, tambah air jika perlu dan biar mendidih sekali lagi.
  6. Akhir sekali masukkan tomato, daun sup dan daun bawang.
  7. Kacau sekali lagi dan renehkan 10 minit sebelum mematikan api. Siap dihidangkan.

*Resepi asal oleh kakfida dari MyResepi.com

 

Resepi 5: Resepi Asam Pedas Nanas Ikan Masin

Amboi-amboi, kecur air liur bila tengok nanas dan ikan masin bergabung.

Resepi ini sangat istimewa kerana ada rasa masam manisnya daripada nanas segar yang kita gunakan. Ia juga unik kerana ia tidak perlu menumis.

Bahan-bahan yang diperlukan pun mudah didapati.

Selalunya makan ikan masin yang digoreng saja, kali ini bolehlah buat asam pedas. Mesti terangkat!

resepi asam pedas nanas

Asam Pedas Nanas Ikan Masin

Bahan-bahan

  • 2 biji bawang kecil (dihiris nipis)
  • segenggam ikan bilis (di tumbuk kasar tidak perlu hancur)
  • 1 biji nenas (di potong nipis mengikut citarasa)
  • cili kering/cili boh (2sudu besar)
  • 2 batang serai
  • 2 potongan kecil ikan masin (tak kisah ikan masin apa)

Cara-cara

  1. Masukkan air asam jawa (jika pekat tambahkan sedikit air kosong)
  2. Kemudian masukkan cili boh, bawang beserta ikan masin tadi dan nenas hingga menggelegak.
  3. Selepas itu titik serai dan masukkan ke dalam kuah yang telah menggelegak.
  4. Akhir sekali masukkan ikan masin. Biar 5 minit untuk ikan masin masak.
  5. Siap dihidangkan.

*Resepi asal oleh ashzai dari MyResepi.com

 

Menyelerakan!

Semoga dengan 5 aneka resepi asam pedas ini, anda dapat mempelbagaikan hidangan anda.

Asam pedas bukan saja sesuai untuk mereka yang gemarkan pedas, tapi anda juga boleh membuat kelainan dengan mengubahnya mengikut kreativiti dan selera masing-masing.

Mudah saja memasak asam pedas ini sebenarnya. Kalau dah cuba, mesti menjadi dan nak buat lagi. ‘Confirm!’

 

Penafian: MyResepi.com dan SirapLimau.com adalah sebahagian daripada usahasama syarikat Dua Marhalah Sdn Bhd. Semua maklumat yang dipaparkan adalah tertakluk kepada hakcipta syarikat ini.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×