Bersalin

Rupanya, Ini Sebab Bayi Baru Lahir Sentiasa Menggenggam Tangannya

6K
SHARES

“Mama, comelnya baby ni. Dia suka pegang tangan Ainul lah…Mama, kenapa dia selalu menggenggam ye?”

Kebolehan menggengam tangan adalah antara gerakan bawah sedar (involuntary movement) yang dilakukan oleh bayi baru lahir. Memang seronok pegang tangan bayi yang kecil. Ia seolah-olah bertindakbalas dan menggamit jari kita dengan penuh rasa sayang. Tapi, pernahkah kita terfikir kenapa bayi selalu menggenggamkan tangannya?

Refleks Genggam Pada Bayi (‘Grasping Reflex’)

Kalau anda perasan, bayi akan kerap menggenggam tangannya pada kebanyakan masa. Sebenarnya menggenggam tangan telah menjadi tabiat bayi seawal 16 minggu dalam kandungan lagi.

Apabila kita mengusapkan jari pada permukaan telapak tangan bayi, secara automatiknya bayi akan terus menggamit jari kita dengan erat. Genggaman ini perlu dibuka perlahan-lahan apabila kita ingin melepaskan tangan daripadanya. Bahkan menurut ScienceABC, jari-jemari kecil dan comel ini menggenggam dengan begitu kuat sehingga mampu menanggung berat badannya sendiri!

Gerakan inilah yang digelar refleks genggam pada bayi atau ‘grasping reflex’. Genggaman tersebut juga sudah cukup kuat walaupun bayi dilahirkan pramatang.

Foto Kredit: otteroo.com

Petanda Kesihatan Bayi Yang Normal

Gerakan bawah sedar ini adalah penting kerana ia menandakan fungsi dan perkembangan sistem saraf bayi yang normal. Menariknya, ia juga membantu anda menikmati skin-to-skin contact dengan anda dan bayi.

Lazimnya refleks genggaman ini akan menghilang perlahan-lahan apabila bayi mencapai usia 5-6 bulan. Bahkan jika refleks ini tidak menghilang, ia mungkin menjadi petanda awal kepada masalah kesihatan pada sistem saraf dan otak bayi.

Menangkap & Mengangkat Objek

Setelah 3 bulan ‘berlatih’ menggenggam jari-jemarinya, pada usia 4 bulan, bayi anda akan mula belajar mengangkat dan menangkap objek yang diinginkan secara sedar. Bayi juga akan belajar menggunakan ibu jarinya untuk menggamit objek dengan lebih cekap sekitar usia 8 bulan.

Walaubagaimanapun, kawalan tangan yang lebih baik hanya akan dikuasai oleh bayi pada usia 2 tahun, seperti yang dinyatakan oleh artikel LiveStrong.

Foto Kredit: todaysparent.com

Lagi Refleks Bayi Baru Lahir

Refleks ini hanyalah salah satu daripada beberapa lagi pergerakan yang dilakukan oleh bayi baru lahir untuk menyesuaikan diri dengan alam baru ini.

Berikut adalah antara gerakan bawah sedar yang turut dilakukan oleh si kecil sejak lahir.

  • Refleks Moro (Startle Reflex) : Jika ada bunyi bising atau sesuatu gerakan yang berlaku secara tiba-tiba,bayi akan merentangkan kaki dan tangannya. Selalunya kita dapat lihat gerakan ini berlaku ketika bayi tidur, sebab itulah bayi selalu dibedung supaya dapat tidur lena. Ia akan berkurang dan menghilang sekitar usia 3 hingga 6 bulan.
  • Refleks Menghisap (Sucking Reflex) : Apabila anda menyentuh bahagian yang berdekatan dengan mulut bayi, dia akan mula menunjukkan gaya mahu menghisap secara automatik – tak kiralah sama ada ianya puting payudara, puting tiruan, atau jari. Setelah masuk 2 hingga 3 bulan, gerakan ini akan bertukar menjadi perlakuan yang diusahakannya secara sedar.
  • Refleks Rooting (Rooting Reflex) : Refleks rooting pada bayi merupakan gerak balas semulajadi bayi bawah 4 bulan di mana kepala bayi akan berpaling ke arah stimulus / rangsangan untuk mencari puting susu. Jika anda mengusap pipinya, bayi akan berpaling dengan mulutnya ternganga luas.
  • Refleks Berjalan (Step Reflex) : Bayi akan membuat gerakan seperti melangkah apabila anda memegangnya pada kedua belah ketiak dan mengangkatnya agar kedua kaki berada di atas permukaan rata.

Memang seronok melihat dan memerhatikan bayi dari hari ke hari. Tak hairanlah kita boleh leka dan menghabiskan masa berjam-jam lamanya tanpa berasa bosan.

Walaupun mereka kelihatan sentiasa tidur atau terbaring, percayalah bahawa derianya begitu sensitif terhadap dunia luar. Dan begitu banyak yang dipelajarinya tanpa kita menyedarinya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×