Sihat

‘Rasa Macam Makanan Lekat Di Dada’- Awas, Anda Mungkin Menghidap Disfagia!

80
SHARES

Kesukaran untuk menelan atau dipanggil disfagia merupakan salah satu penyakit yang akak perit. Ini kerana individu yang mengalami sakit ini akan merasakan makanan tersangkut didalam tekak dibahagian atas dada. Selain itu ianya juga mungkin dirasai di belakang tulang dada (sternum) atau dileher juga.

Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad melalui laman Facebooknya, disfagia boleh terjadi kepada sesiapa yang pernah menghidap strok, penyakit neurologi ata sauraf, kecederaan otak atau semua jenis masalah struktur organ menelan seperti kanser tekak atau pangkal hidung. Masalah ini boleh mengakibatkan dehidrasi. Jom baca lagi apa yang menyebabkan berlakunya disfagia ini.

Penyebab Disfagia

1. Masalah-masalah yang berkaitan dengan bahagian atas mulut dan pharynx (tekak) termasuklah: halangan pada laluan makanan dan minuman. Ia mungkin disebabkan emosi atau masalah kemurungan, tumors, penyakit pada tulang cervical dan jaringan esophageal.

2. Masalah saraf otot seperti strok, penyakit Parkinson’s, Penyakit Huntington’s, pelbagai skelerosis, muscular dystrophy dan jangkitan-jangkitan (seperti polio dan sifilis).

3. Masalah yang berkaitan dengan esophagus termasuklah halangan kepada laluan makanan dan minuman. Ia mungkin disebabkan oleh tumors, bendasing dan penyempitan yang disebabkan oleh radiasi, ingensi kimia, pengubatan atau ulser.

4. Masalah otot dan saraf seperti achalasia, kekejangan esophageal yang tersebar, Hypertensive lower esophageal sphincter (otot di hujung esophagus yang membenarkan makanan melaluinya ke perut), nutcracker esophagus dan scleroderma.

Ujian diagnostik mungkin dijalankan untuk mengesahkan punca-punca masalah kesukaran menelan makanan termasuklah :

• (Barium swallow) Kajian menelan menggunakan Barium.

• X-ray dada.

• Endoskopi.

• Ujian keasidan esopaghus, juga dikenali sebagai pengujian pH (memeriksa asid yang keluar dari perut dan memasuki esophagus, seperti dalam penyakit gastroesophageal reflux).

• Esophageal manometry (pengukuran tekanan).

Tanda-tanda Disfagia

1. Terasa sakit semasa ingin menelan

2. Tidak boleh menelan langsung

3. Tersedak atau batuk ketika menelan

4. Terasa makanan terlekat di tekak atau dada, atau belakang tulang dada (sternum)

5. Terasa tekanan atau sakit di dada

6. Makanan naik semula (Regurgitation)

7. Kerap pedih ulu hati

8. Makanan atau asid perut naik ke tekak

9. Bunyi membuak (membobok) di bahagian tekak

10. Berat badan turun dengan tiba-tiba

Langkah-langkah Keselamatan Pesakit

Bagi mereka yang tidak dapat menelan dengan selamat, penggunaan tiub pemakanan disarankan. Sekiranya juruterapi pertuturan-bahasa menyarankan anda mengambil makanan dan minuman secara oral, ada panduan untuk membantu pesakit menelan dengan selamat. Antaranya ialah :

1. Keadaan Mental Dan Fizikal

a) Elakkan makan semasa mengantuk, pening atau tertekan.

b) Elakkan makan jika badan dalam keadaan sangat lemah atau sukar bernafas.

2. Keadaan Sekeliling

a) Kurangkan gangguan media elektronik. Ini dapat dilakukan dengan mematikan televisyen, radio dan telefon bimbit.

b) Tutup pintu rumah untuk kurangkan gangguan bunyi bising dari luar. Bunyi bising berkenaan mungkin berpunca daripada kesesakan lalu lintas atau kilang berhampiran. Keadaan sedemikian boleh menggang­gu konsentrasi sewaktu makan.

c) Elakkan berbual atau ketawa berlebihan semasa makan. Ini boleh menyebabkan anda tersedak atau tercekik makanan atau minuman.

3. Posisi

a) Duduk tegak dan pastikan leher disokong. Jangan bersandar atau baring semasa makan atau minum.

b) Duduk tegak dengan kaki rapat ke lantai serta leher disokong. Elakkan berdiri semasa menyuap makanan atau minuman kepada pesakit kerana boleh menyebabkan pesakit mendongak ke atas.

c) Semasa menyuap makanan atau minuman kepada pesakit, hendaklah duduk berhadapan dan pada aras mata pesakit. Elakkan menyuap pesakit dari arah tepi kecuali disarankan juruterapi pertuturan bahasa.

d) Pastikan kepala pesakit tegak atau tunduk sedikit ke bawah apabila minum. Elakkan terlalu mendongak ketika minum.

4. Pemilihan Jenis Makanan

a) Elakkan makanan yang sukar ditelan seperti roti berkerak, bertih jagung, sayuran mentah, kekacang dan mentega kacang. Ini kerana makanan berkenaan memerlukan pesakit mengunyah dengan cekap dan sempurna.

b) Berhati-hati dengan makanan yang bercampur konsistensi iaitu makanan yang mengandungi lebih daripada satu tekstur. Misalnya, makanan yang mengandungi dua tekstur seperti pepejal dan cecair. Ini boleh didapati dalam makanan seperti bubur kacang atau nasi berkuah

c) Berhati-hati dengan makanan yang boleh cair seperti ais krim. Ini bahaya bagi pesakit yang hanya selamat menelan tekstur pepejal tetapi bukan cecair.

d) Campurkan pemekat seperti ‘thixer’ ke dalam minuman bagi menghasilkan konsistensi yang selamat ditelan oleh pesakit sama ada tekstur pepejal, separuh pepejal atau cecair, seperti yang disarankan juruterapi pertuturan-bahasa.

e) Konsistensi yang selamat untuk setiap pesakit berbeza mengikut tahap kecekapan dan kebolehan mereka menelan.

5. Strategi Masa Makan

a) Jangan terburu-buru semasa makan. Ambil masa yang secukupnya untuk menikmati juadah.

b) Minta pesakit kunyah makanan sehingga hancur. Ini untuk memudahkan pesakit menelan dan mengelakkan tercekik.

c) Makan dengan jumlah yang sedikit pada satu masa. Contohnya, ambil makanan separuh sudu saja bagi setiap suapan sehingga habis makanan.

d) Habiskan menelan setiap suapan sebelum mengisi semula sudu atau garfu dengan makanan.

e) Selepas menelan, periksa mulut untuk memastikan tiada baki makanan atau pil ubat yang terting­gal. Sekiranya terdapat baki makanan atau pil ubat, ia perlu dikeluarkan sama ada dengan menggunakan lidah, jari atau mesin penyedut.

f) Selain itu, minum air secara bergilir-gilir de­ngan makanan juga boleh membantu membersihkan baki makanan atau pil ubat yang tertinggal.

g) Awasi tanda bahaya seperti batuk, tercekik atau tersedak, makanan atau minuman keluar dari hidung, atau berubah keadaan pernafasan. Sekiranya terdapat sebarang tanda berkenaan, segeralah berjumpa juruterapi pertuturan-bahasa yang berdekatan. Ini kerana anda mungkin mengalami masalah menelan.

6. Strategi Selepas Makan

a) Elakkan berbaring 30 hingga 45 minit selepas makan. Sebaliknya, lakukan aktiviti fizikal seperti berjalan-jalan, mengemas rumah atau berkebun selama beberapa minit mengikut keselesaan.

b) Bersihkan gigi, gusi, lidah dan gigi palsu. Sekiranya menggunakan gigi palsu, bersihkan beberapa kali setiap hari. Selain itu, sedut keluar air liur yang berlebihan. Ini bertujuan memastikan organ yang terbabit dalam proses menelan sentiasa dalam keadaan bersih.

c) Kerap menyapu air pada bibir, lidah dan bahagian dalam pipi untuk memastikan mulut sentiasa lembap.

7. Strategi Antara Waktu Makan

a) Awasi tanda seperti batuk, kesukaran bernafas, nafas berbunyi atau laju, sakit dada, berubah kualiti suara atau demam. Sekiranya terdapat sebarang tanda berkenaan segera berjumpa doktor yang berdekatan. Ini kerana anda mungkin mengalami masalah untuk menelan.

b) Lakukan senaman berkaitan menelan seperti yang diajar oleh juruterapi pertuturan-bahasa. Selain itu, aktiviti bersenam yang lain juga boleh menguatkan otot yang terbabit dengan proses menelan.

c) Kekalkan kesihatan badan dan minda dengan membaca, melakukan teka silang kata dan pelbagai aktiviti lain.

Sumber : Dr Zubaidi Hj Ahmad

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×