Saban hari kita dikejutkan dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam negara yang makin membimbangkan. Walaupun telah berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 secara ‘total lockdown’ dan disambung lagi, kadar penurunan kes masih lagi samar. Perkara ini juga memberi impak yang tinggi kepada rakyat khususnya golongan B40 dan M40 yang secara majoriti berdepan dengan masalah kewangan.
Oleh itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bekas Menteri Kewangan Kedua, telah menyenaraikan beberapa cadangan dan strategi yang boleh diambil kira oleh pihak kerajaan bagi membendung masalah ini disamping ‘melawan’ Covid-19.
Artikel berkaitan: PKP3.0: Ini 8 Saranan Johari Ghani Buat Kerajaan Berdepan Pandemik
‘RAKYAT PERLUKAN KERAJAAN SEMENTARA YANG TELUS’
Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan rakyat kini memerlukan sebuah kerajaan sementara yang telus dan boleh dipercayai dalam menghadapi krisis politik serta kesihatan. Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, perkara itu boleh dilakukan jika penyatupaduan semua parti politik di negara ini dan kerajaan sementara ini akan menumpukan kepada satu perkara sahaja itu menangani masalah Covid-19.
“Kerajaan sementara ini akan diberi kerangka waktu tertentu dan cukup waktu untuk hanya fokus menangani wabak Covid-19, termasuk mengelola program vaksinasi secara telus,” katanya.
Bukan itu sahaja, beliau juga menganggap kerajaan sementara yang dimaksudkan itu perlu melantik seseorang individu yang mempunyai sifat kepemimpinan tinggi dan berpengalaman dalam menangani sebarang krisis negara.
Katanya kepada Utusan Malaysia, kerajaan sementara perlu memastikan tidak ada golongan yang diabaikan tanpa makanan di atas meja, mesti ada koordinasi antara ahli-ahli Parlimen, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, jabatan kebajikan dan pihak berkuasa tempatan serta bantuan perlu diberikan segera.
“Program imunisasi Covid-19 mesti digerakkan secara 100 peratus untuk manfaat kepada masyarakat agar kelangsungan hidup dapat diselamatkan dengan kadar segera,” katanya.
CARI UBAT ALTERNATIF SEMENTARA TUNGGU UNTUK DIVAKSINASI
Selain itu, beliau juga mencadangkan bahawa kerajaan sementara membuat pelaburan secara besar-besaran bagi memperbanyak unit rawatan rapi di hospital dan membeli peralatan yang diperlukan.
“Sebagai tambahan, pusat sementara harus dikenal pasti di setiap kawasan Parlimen bagi membantu individu yang positif Covid-19 dan yang memerlukan sokongan pernafasan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan sementara juga harus mencari ubat dapat digunakan sebagai pilihan alternatif untuk merawat individu yang menderita penyakit tetapi tidak kritikal, sementara menunggu untuk divaksinasi. Katanya, terlalu bergantung pada vaksin adalah strategi berbahaya kerana terdapat varian virus Covid-19 baharu yang terus muncul menyebabkan keberkesanan vaksin menjadi lebih rendah.
Memandang dari sudut ekonomi pula, beliau berkata, perniagaan perlu terus beroperasi dengan syarat mereka melakukan ujian saringan terhadap pekerja masing-masing setiap minggu. Bagi pekerja yang didapati positif perlu dikuarantin di rumah. Mereka yang gagal mematuhinya tidak dibenarkan untuk membuka perniagaan.
“Untuk mendorong majikan melakukan ujian besar-besaran, pengurangan cukai berganda perlu diberikan pada kos ujian tersebut serta memberi subsidi kepada perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today, Utusan Malaysia