Sihat

Kencing Berbuih (Foamy Urine): Apa Puncanya, Adakah Bahaya Dan Cara Mengatasinya

2
SHARES
kencing berbuih

“Eh, kenapa air kencing berbuih ni? Ada benda yang aku makan tadi ke? Atau ada masalah buah pinggang? Ish risaulah…”

Mesti ramai akan berasa risau apabila tiba-tiba melihat air kencing yang berbuih, tidak seperti biasa.

Hal ini selalunya dikaitkan dengan masalah buah pinggang, namun kita juga perlu faham bahawa ia boleh berlaku sekali-sekala dan ia bukanlah sesuatu yang membimbangkan.

Jom ketahui lebih lanjut tentang kencing berbuih (foamy urine) dan puncanya.

7 Punca Kencing Berbuih

Air kencing atau urin biasanya berwarna kuning pucat hingga kuning gelap.

Pelbagai faktor, dari diet, ubat atau penyakit, boleh menyebabkan perubahan warna dan keadaan air kencing seseorang.

Sekiranya air kencing anda berbuih, jangan panik dulu.

Ini antara punca Kencing Berbuih yang patut anda tahu.

1. Aliran Air Kencing Yang Laju

Apa yang mungkin berlaku adalah apabila pundi kencing kita sudah terlalu penuh, air kencing akan dikeluarkan dengan laju dan cukup pantas untuk menyebabkan ianya berbuih.

punca kencing berbuih

2. Kurang Minum Air / Air Kencing Pekat

Kadang kala, air kencing juga boleh berbuih ketika pekat.

Air kencing anda lebih pekat jika anda belum minum banyak air dan anda mengalami dehidrasi.

3. Kesan Ubat-ubatan

Sesetengah ubat-ubatan seperti ubat phenazopyridine (Pyridium, AZO Standard, Uristat, AZO) adalah satu lagi penyebab kencing berbuih.

Lazimnya ubat ini diambil untuk merawat sakit akibat jangkitan saluran kencing.

4. Ejakulasi Retrogade

Penyebab urin berbuih yang kurang biasa kita dengar adalah ejakulasi retrograde.

Ia adalah sebuah keadaan yang berlaku pada lelaki ketika air mani kembali ke pundi kencing dan bukannya dilepaskan dari zakar.

Ejakulasi yang normal sepatutnya tidak menyebabkan masalah prostat ini.

5.Kehadiran Protein Dalam Air Kencing / Proteinuria

Air kencing berbuih juga dapat menunjukkan kehadiran protein, seperti albumin, dalam air kencing.

Protein dalam air kencing inilah yang akan bertindak balas dengan udara untuk menghasilkan buih.

Menurut Root Of Science, kehadiran albumin atau protein dalam air kencing selalunya dipanggil sebagai ‘buah pinggang bocor’.

Ini disebabkan penapis buah pinggang yang dikenali sebagai glomerular menghadapi masalah.

Protein dalam air kencing ini juga mungkin disebabkan punca berikut:

  • Selepas bersukan
  • Demam
  • Kekurangan air dalam badan
  • Jangkitan kuman pada tempat buang air kencing atau kencing kotor

Urin berbuih juga boleh disebabkan beberapa punca yang lebih serius seperti:

  • Kencing manis
  • Darah Tinggi
  • Sindrom nefrotik
  • Buah Pinggang Bengkak (Acute Glomerulonephritis)
  • Kanser (Leukemia atau Limfoma)

kencing berbuih

6. Masalah Hati / Hempedu

Kencing berbuih juga boleh disebabkan kandungan bilirubin yang tinggi dan ia membentuk buih yang berwarna kuning.

Kehadiran bilirubin di dalam air kencing adalah petunjuk yang pesakit mungkin menghadapi masalah hempedu atau hati.

Kehadiran bilirubin di dalam air kencing boleh disebabkan oleh penyakit seperti:

  • Hepatitis
  • Batu Hempedu
  • Kanser pada saluran hempedu
  • Pemecahan sel darah secara banyak disebabkan penyakit autoimun
  • Kanser hati
  • dan beberapa punca yang lain

Sekiranya terdapat masalah hati, hempedu, saluran hempedu atau usus kecil yang di alami oleh seseorang itu, proses pengambilan dan pembuangan bilirubin akan terjejas justeru menghasilkan kuantiti bilirubin yang tinggi dalam air kencing dan darah serta perubahan pada najis.

punca kencing berbuih

7. Tanda Penyakit Buah Pinggang Kronik

Menurut Portal MyHealth KKM, pesakit penyakit buah pinggang kronik mungkin akan mengeluarkan air kencing berbuih.

Ia boleh disahkan melalui ujian air kencing.

Pada peringkat awal, hanya kuantiti kecil albumin terjerlus ke dalam air kencing melalui buah pinggang. Ini merupakan satu tanda awal kegagalan fungsi buah pinggang.

Pada peringkat awal penyakit buah pinggang juga, pesakit biasanya tidak mempunyai apa-apa gejala. Oleh itu, pesakit tersebut mungkin tidak sedar bahawa mereka telah berpenyakit.

Namun pada peringkat akhir, gejala berikut mungkin berlaku:

  • Sentiasa rasa letih
  • Bengkak kaki, terutamanya pada waktu malam / berdiri yang lama
  • Rasa loya / muntah berterusan
  • Tekanan darah tidak terkawal
  • Jumlah air kencing berkurangan
Menjaga kesihatan buah pinggang

Foto Kredit: prezi.com

Kencing Berbuih Ketika Hamil

Urin berbuih ketika hamil juga boleh berlaku pada ibu mengandung. Jika terjadi dalam waktu sementara, kondisi ini dikategorikan sebagai kejadian normal.

Namun jika terjadi secara terus-menerus, maka protein yang keluar bersama urine dan menyebabkan kencing berbuih merupakan akibat dari komplikasi kehamilan. Kondisi ini dikenal sebagai pre-eklampsia.

Pre-eklampsia adalah suatu komplikasi kehamilan yang dapat mengancam keselamatan ibu dan bayi dalam kandungan.

Ibu mengandung yang mengalami pre-eklampsia biasanya juga mengalami simptom berikut:

  • Pandangan kabur
  • Pembengkakan tangan, kaki dan wajah
  • Sakit kepala
  • Nyeri ulu hati

Bila Saya Patut Berjumpa Doktor?

Selalunya, air kencing berbuih tidak perlu dibimbangkan dan ia dapat menghilangkan air kencing berbuih dengan sendirinya dengan hanya dengan meminum lebih banyak air.

Tetapi, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor anda sekiranya:

  • air kencing berbuih yang berterusan dan tidak hilang setelah beberapa hari
  • anda juga mempunyai simptom seperti – bengkak, mual, muntah, kehilangan selera makan, dan keletihan
  • air kencing juga kelihatan keruh atau berdarah
  • jika anda seorang lelaki, orgasme anda menghasilkan sedikit atau tidak ada cecair atau anda telah mencuba agar pasangan wanita anda hamil selama setahun atau lebih lama tanpa kejayaan

Rujukan:

  • http://pendidikanpesakit.myhealth.gov.my/komplikasi-hipertensi/
  • https://thediagnosa.com/kencing-berbuih-punca/
  • https://rootofscience.com/blog/2020/biologi/adakah-air-kencing-berbuih-itu-berbahaya/
  • https://www.klikdokter.com/info-sehat/read/2698785/kencing-berbusa-saat-hamil-awas-pre-eklampsia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×