Bagi yang mengikuti Fanpage Glamour, anda mesti takkan lupa sebuah video viral yang bertajuk “Your Period in 2 Minutes” – di mana video tersebut menerangkan perubahan yang berlaku dalam tubuh wanita sepanjang proses ovulasi dan haid setiap bulan.
Sebagai follow-up kepada video tersebut, sebuah lagi video bertajuk “Your Pregnancy in 2 Minutes” pula mengisahkan segala perubahan yang berlaku pada tubuh wanita dalam proses kehamilan 9 bulan.
Apa yang menarik, ia memberitahu penonton tentang beberapa cabaran yang sering dialami seperti morning sickness, alahan terhadap bau, mengidam makanan pelik, keletihan, sakit pinggang, dan tak lupa juga beberapa kelebihan seperti wajah yang berseri, rambut yang tebal, dan kuku yang cantik.
Video Kredit: Glamour Magazine
Bagi yang tak berkesempatan menontonnya, berikut adalah sedikit ringkasan daripada video di atas.
Trimester Pertama
1 Bulan – Pada permulaan kehamilan, iaitu bulan pertama, berlakulah proses implantasi yang akan menyebabkan peningkatan hormon HCG.
2 Bulan – Apabila hormon HCG semakin meningkat pada bulan kedua, ibu-ibu akan berasa loya, mual dan amat sensitif terhadap bau-bauan (morning sickness).
3 Bulan – Seterusnya, terjadilah juga beberapa tanda lain termasuk pregnancy glow, yang membuat wajah semakin berseri menjelang akhir trimester pertama. Kulit makin licin dan tiada lagi jerawat!

Foto Kredit: parentables.howstuffworks.com
Trimester Kedua
4 Bulan – Sekalipun tempoh trimester pertama mungkin sedikit mencabar dan kritikal, trimester kedua nampaknya lebih menyeronokkan seawal masuk bulan keempat. Apabila hormon HCG menurun sedikit dan ibu-ibu mungkin akan rasa lebih bertenaga.
5 Bulan – Menjelang bulan keempat atau bulan kelima, anda akan merasakan tendangan bayi buat pertama kalinya!
6 Bulan – Dengan berlakunya peningkatan aliran darah dan hormon estrogen dalam trimester kedua ini, kuku dan rambut anda dapat bertumbuh lebih subur berbanding biasa. Malah, ibu-ibu berasa lebih cantik dan seksi!

Foto Kredit: reference.com
Trimester Ketiga
7 Bulan – Secara semulajadinya ibu-ibu akan memiliki naluri untuk berkemas dan membuat persediaan menyambut kelahiran bayi. Ia selalu berlaku apabila masuk bulan ketujuh. Inilah yang digelar nesting hormone.
8 Bulan – Pada bulan kelapan, perut semakin membesar dan ramai terpaksa berulang-alik ke tandas, terutamanya pada waktu malam. Jika stretch mark pada perut semakin teruk, sentiasalah gunakan losyen untuk melegakan kegatalan.
9 Bulan – Pastikan ketika ini beg untuk dibawa ke bilik bersalin sudah siap dibungkus. Gerakan bayi perlu selalu dipantau. Bila waktu bersalin semakin hampir, anda akan mula merasakan kontraksi. Maka, bermulalah proses bersalin!

Foto Kredit: maerakluke.com
Tapi Ingat, Setiap Kehamilan Tidak Semestinya Sama
Apa yang kami catatkan di sini hanyalah ringkasan serba sedikit daripada video asalnya. Apapun, setiap kehamilan memiliki keunikan tersendiri dan ia tak semestinya sama dengan orang lain.
Yang pasti, ia adalah pengalaman yang sangat bermakna dan tak mungkin akan dilupakan oleh wanita sepanjang hayatnya!