“Puas aku sental kuali ni, susah betul nak tanggal kesan hitamnya. Pergi dapur Maria haritu tengok kuali dia semua berkilat. Apa petua nak bersihkan belakang kuali ni dengan mudah ya?”
Bagi yang biasa memasak, mesti faham bagaimana lama-kelamaan kesan hitam daripada jelaga akan terlekat pada bawah kuali hingga ia begitu sukar ditanggalkan. Selalunya kita dengar petua yang menggunakan baking soda, garam dan lemon, dan ada juga yang biasa pakai cuka.
Tapi, pernahkah anda dengar petua menanggalkan kesan degil pada kuali atau periuk menggunakan sos tomato?
Bagaimana Sos Tomato Berfungsi Menanggalkan Kesan Degil Pada Kuali & Periuk
Di Malaysia, mungkin ia kedengaran pelik. Tapi sebenarnya petua ini pernah viral di luar negara. Malah, sebuah akhbar Daily Mail pernah bereksperimen dengannya. Dan hasilnya? Memang tidak mengecewakan apabila diberi rating 5/5 untuk keberkesannya.
Secara teori, mereka menerangkan bahawa asid asetik yang terdapat di dalam cuka pada sos tomato akan menyerang bahagian copper oxide, iaitu bahagian kehitaman periuk dan kuali. Tindakbalas inilah yang akan memberi hasil mengagumkan dalam membantu mengilatkan periuk dan kuali.
Cara Bersihkan Bawah Kuali & Periuk Dengan Sos Tomato
Dalam perkongsian ini, salah seorang pengguna media sosial, Tiara, telah berbesar hati untuk berkongsikan dengan kami bagaimana petua di atas telah dipraktikkannya. Menurutnya, ia sangat berkesan walaupun pertama kali mencuba.
Berikut adalah langkahnya.
1. Sapu Sos Tomato
Pertama sekali, sapukan sos tomato pada bahagian bawah kuali / periuk.
Pastikan kuali / periuk anda berada dalam keadaan yang kering.
2. Biarkan Seketika
Selepas diratakan pada semua bahagian, biarkan ia sekurang-kurangnya 30 minit. (Saya biarkan semalaman.)
3. Gosok Dengan Span
Keesokan paginya, saya gosok dengan span biasa. Saya gunakan bahagian yang hijau.
Oh ya, seeloknya gosokkan permukaan bawah kuali itu tanpa menambah air supaya kesan degil lebih mudah tertanggal. Kalau terlampau kesat dan susah untuk menggosok, barulah renjiskan sedikit air.
Memang berkesan, dah macam baru beli!
4. Bilas Seperti Biasa
Selepas itu, bolehlah bilaskan semula seperti biasa.
Lihat, inilah hasilnya.
Cuba bandingkan dengan gambar sebelum. Banyak beza, kan?
Wah, Memang Bersinar!
Siapa sangka, dengan hanya menggunakan sos tomato, periuk dan kuali anda boleh kembali bersinar seperti baru dibeli.
Tak perlu berpeluh-peluh menyentalnya. Cuma gosok dengan span saja.
Selamat mencuba!
*Petua membersihkan bawah kuali dan periuk yang kehitaman ini dikongsikan oleh Cikpuan Tiara Clp. Ia disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk pertanyaan, boleh rujuk post asal beliau di SINI.