Samsung Malaysia Electronics (“Samsung Malaysia”) dengan bangga mengumumkan kembalinya edisi keenam ‘Samsung Solve for Tomorrow (SFT) 2024’, satu pertandingan untuk remaja. Pertandingan Samsung SFT 2024 direka bagi memberi inspirasi kepada minda-minda muda untuk mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah dan menangani cabaran dalam komuniti mereka dengan kuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Baca juga: TERKINI Cuti Umum Bertindih 16 September, Tiada Gantian Automatik Esoknya!
PERTANDINGAN SAMSUNG SFT 2024
Tema ‘Start with Can’ dan hadiah bernilai sehingga RM80,000
Bertemakan ‘Start with Can’ di seluruh negara, para pelajar Malaysia yang berumur 13 hingga 15 tahun sekali lagi dijemput untuk mengenal pasti isu-isu tempatan yang mendesak dan mencipta penyelesaian inovatif dengan STEM untuk membawa perubahan positif.
Pelajar berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM80,000 dalam bentuk teknologi dan bekalan untuk bilik darjah!
Inisiatif ini merupakan usaha kolaboratif antara Samsung Malaysia dan Universiti Malaya memupuk minat dan kemahiran awal dalam STEM. Juga berharap agar dapat melengkapkan generasi akan datang dengan set kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dan cemerlang apabila mereka memasuki alam pekerjaan dalam masa terdekat.
Ini sejajar dengan visi negara untuk membina kumpulan bakat STEM yang mampan bagi memacu Malaysia ke arah matlamatnya menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
“Generasi Alfa telah berada dalam dunia yang celik teknologi, kreativiti dan keberanian yang hebat dalam meneroka dan mempelopori inovasi. Trend ini sejajar dengan permintaan kerja masa depan dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan, IoT dan teknologi canggih.
“Di Samsung, kami percaya minda-minda muda boleh mengatasi cabaran-cabaran komuniti mereka melalui inovasi, dedikasi dan semangat. Samsung SFT adalah lebih daripada sekadar pertandingan; ia berperanan sebagai pemangkin, memperkasakan semua remaja Malaysia untuk merealisasikan keupayaan mereka dan mengubah idea mereka menjadi penyelesaian-penyelesaian nyata yang menyumbang kepada masa depan yang lebih baik,” ujar Dato’ Roh Jae Yeol, Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung Malaysia.
Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar, Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya berkata, semua innovator remaja Malaysia dialu-alukan untuk mengatasi halangan bahasa dan mempamerkan kreativiti mereka dalam pertandingan ini. Juga, meletakkan kepercayaan penuh bahawa minda muda ini boleh mengubah dunia.
Baca juga: Google Lancar Advertising Revenue Lab Malaysia, Berita Digital Berkembang Pantas!
Penyertaan akan dinilai oleh Samsung Malaysia dan Universiti Malaya
Pertandingan Samsung SFT 2024 memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah di seluruh negara untuk mempamerkan idea inovatif mereka dengan menangani masalah dunia sebenar menggunakan prinsip-prinsip STEM dalam penulisan 800 perkataan.
Penyertaan-penyertaan akan dinilai oleh Samsung Malaysia dan Universiti Malaya berdasarkan pelbagai kriteria seperti perkaitan isu, kreativiti, kebolehlaksanaan, aplikasi STEM dan pembentangan penyelesaian yang inovatif.
10 pasukan teratas akan mara ke pusingan seterusnya, di mana mereka akan mempertingkatkan dan membentangkan idea mereka.
Mengumumkan penyertaan yang dipilih di laman web program, Oktober 2024
Penyertaan-penyertaan yang terpilih untuk pertandingan Samsung SFT 2024 akan diumumkan di laman web program pada Oktober 2024. Peserta-peserta yang terpilih akan mendapat manfaat daripada bimbingan dan panduan untuk memperhalusi idea mereka dan membangunkan prototaip di Bengkel Design to Win.
Pada Disember 2024, pemenang akan ditentukan melalui proses pitching yang kompetitif.
- Hadiah Pertama: Produk Samsung bernilai sehingga RM28,000.
- Hadiah Kedua: Produk Samsung bernilai sehingga RM24,000.
- Hadiah Ketiga: Produk Samsung bernilai sehingga RM19,000.
- Hadiah Keempat: Produk Samsung bernilai sehingga RM6,000.
- Hadiah Kelima: Produk Samsung bernilai sehingga RM3,000.
Pendaftaran untuk SFT kini dibuka dan peserta mempunyai masa sehingga 16 September 2024 untuk menghantar penyertaan-penyertaan mereka.
Nantikan maklumat terkini dengan mengikuti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok rasmi Samsung Malaysia. Anda juga boleh menonton pembentangan yang berjaya daripada pemenang-pemenang tahun lepas di SFT iaitu https://www.samsung.com/my/solvefortomorrow/2024/winners/
Untuk maklumat lanjut mengenai SFT 2024, sila layari https://www.samsung.com/my/solvefortomorrow/2024.
Baca juga: Lebih 300,000 Pengunjung Serbu Karnival Jom Heboh MITC Ayer Keroh, Mana lagi? Melaka Ler…