Penampilan penyanyi Najwa Latif selepas melahirkan cahaya mata baru-baru ini menjadi perhatian dan bualan ramai di media sosial. Dalam keadaan masih melalui fasa selepas bersalin, penyanyi itu memilih untuk berkongsi penghargaan buat suaminya, Akwa Arifin, yang banyak membantu dan menjadi tempat bergantung sepanjang tempoh tersebut.
PENYANYI NAJWA LATIF LUAH SYUKUR, SUAMI SENTIASA ADA DISISI

Menerusi perkongsian di media sosial, Najwa meluahkan rasa syukur atas usaha suaminya yang sentiasa cuba memudahkan urusannya, selain tidak pernah membuatkan dirinya berasa bersalah dalam menjalani kehidupan sebagai seorang ibu.
“Terima kasih Akwa, sebab berusaha dan sentiasa memudahkan saya dalam segala hal. Tidak pernah membuatkan saya rasa bersalah.
“Sentiasa cakap terima kasih bila saya buat semua benda dan susukan Medina. Sentiasa bantu siapkan Medina dan sentiasa tolong dalam kebanyakan hal rumah.
“Sentiasa ingatkan saya cantik sehingga sekarang apabila orang mengatakan saya tidak cantik, ia tidak menyakitkan hati saya lagi. Yang penting suami saya rasa saya cantik. Haha.
“Sentiasa ingatkan saya untuk memikirkan perkara yang baik-baik. Sentiasa cuba buat saya gelak walaupun saya tengah menangis teresak-esak.
“Dia yang menjadi jururawat, dia juga yang menjadi pencuci rumah. Dia yang mencari maklumat dan belajar tentang dunia pam susu, dia juga yang mengurut, menjadi tempat meluahkan perasaan dan menjadi tempat Wawa boleh menjadi orang paling lemah selemah-lemahnya,” tulisnya.
Pernah takut nak bergelar ayah

Najwa turut menceritakan bagaimana Akwa sebelum ini pernah memberitahu bahawa dia berasa takut untuk bergelar seorang bapa.
Namun, selepas dikurniakan cahaya mata, Najwa melihat sendiri bagaimana suaminya menjalankan peranan tersebut dengan baik.
“Akwa dulu selalu cakap dia takut nak jadi bapa orang, tetapi cuba lihat? Dia sangat baik dalam menjadi seorang bapa. Hebat.
“Rasa cemas sekarang, tetapi itulah izin Allah. Alhamdulillah. Terima kasih Akwa kerana menyayangi Medina dan saya. Awak adalah malaikat dalam bentuk manusia.
“Terima kasih kerana menjadi suami yang terbaik, sayang. Maaf, makcik sedikit emosi hari ini memikirkan tentang suami dan anak,” katanya.
Perkongsian itu memperlihatkan penghargaan Najwa terhadap peranan suaminya yang bukan sahaja membantunya menguruskan bayi, malah turut memberikan sokongan emosi sepanjang tempoh selepas bersalin.
Dalam fasa yang penuh perubahan selepas kelahiran cahaya mata, sokongan pasangan boleh menjadi antara perkara yang sangat bermakna buat seorang ibu ketika menyesuaikan diri dengan rutin dan tanggungjawab baharu.
Sumber: Instagram Najwa Latif
