Nur

Pengalaman Umrah DIY Saya Dengan Anak Kecil. Berbaloi Atau Tidak?

1.6K
SHARES

Nak dijadikan cerita…. Plan nak pergi umrah ini memang unexpected. Asalnya adik aku yang sibuk nak pergi sebab ada ‘hajat besar’ nak mengadu kat Allah depan Kaabah. Akhirnya, dia jebakkan aku sekali.

Plan asal aku dengan dia saja yang pergi, tapi dengan kuasa Allah, semua sekali kitorang angkut – termasuklah seorang wanita mengandung 6 bulan (isteri adik aku), Mak aku yang berusia 63 tahun dan 2 anak kecil aku.

Survey Harga Dengan Travel Agent

Aku pun mulalah mencari beberapa travel agent untuk quote harga bagi 5 dewasa dan 2 kanak-kanak. Daripada ejen yang power sampailah ejen yang ala-ala kadar. Oleh kerana aku bawa ramai ‘jemaah’ yang pelbagai umur dan wanita mengandung, aku anggap diorang ini yang mungkin kurang fit berbanding aku, bini aku and adik aku. Jadi, aku perlukan hotel yang sangat-sangat dekat dengan masjid untuk berulang-alik.

Bila dah berangan sangat nak hotel yang dekat dengan masjid (dekat maksudnya kurang 50meter jarak dari hotel ke masjid), secara automatik kos akan jadi mahal. Travel agent cakap untuk hotel-hotel ini biasanya kena ambil pakej VIP – di mana harga paling rendah pun dalam RM8900. Aku nganga sekejap untuk beberapa minit, tapi belum sempat lalat masuk, aku sempat tutup mulut. Ada juga pakej yang tawarkan RM10,500 seorang, lagilah nganga weh. Tapi, nak buat benda baik punya pasal, aku fikir nanti-nanti Allah bagi rezeki lain juga sebagai ganti.

Maka aku pun buat la calculation untuk semua ‘jemaah’ aku ni. Anggaran keseluruhan paling rendah lebih kurang RM48,000 dan paling mahal RM59,000. Kengangaan aku terjadi untuk kali kedua tapi aku tutup mulut lagi. Lepas buat calculation dengan adik aku, kitorang rasa yang kosnya memang agak tinggi, tapi teruskan juga. Jadi kitorang buat keputusan untuk pilih kos yang RM48,000.

Akhirnya Mempertimbangkan Cadangan Umrah DIY

Esoknya, aku pun dah sedia nak bayar deposit. Tengah siap-siap buka Maybank2U, adik aku call dan bagi cadangan untuk arrange umrah sendiri. Dia cakap, mak mertua dia boleh kenalkan dengan orang yang uruskan pengangkutan di sana.

Mulanya aku macam tak confident juga. Yalah, nak bawa anak kecil dan isteri yang pertama kali lagi pergi, dan macam-macam lagi bila fikirkan keselamatan. Tapi, nak jadikan cerita, Allah bagi aku keyakinan itu. Maka bermulalah cerita sebenar…

Pengalaman Umrah DIY Saya Dengan Anak Kecil

Aku bahagikan perbelanjaan kos untuk mudahkan korang faham kos Umrah DIY yang dikatakan ‘murah’ ini.

1. Tiket Penerbangan
2. Hotel Madinah
3. Hotel Mekah
4. Ground Transport sepanjang disana
5. Makanan
6. Perbelanjaan sendiri
7. Mutawwif
8. Kos Passport & Visa

pengalaman umrah

Dalam penerbangan ke Jeddah

1. Tiket Penerbangan

Kami naik Saudi Airline. Untuk trip kali ini, aku perlukan flight yang aku yakin dengan servisnya sebab aku bawa anak kecil. Aku puas hati dengan Saudi Airline. Diorang siap bagi gift untuk budak-budak untuk pastikan mereka tak bosan menempuh perjalanan selama 9jam. Dadan siap dapat beg Finding Dory, krayon dan buku mewarna.

Mulanya aku memang risau nak duduk dengan budak-budak dalam flight selama 9jam, tapi Allah mudahkan semuanya. Bini aku memang ‘power’ sebab boleh layan mereka. Aku pula layan movie sekejap, lepas itu ternganga mulut, berdengkur.

Kadang-kadang aku menjalankan tugas sebagai bapa jugalah; teman Dadan main game makan ikan, bawa ronda satu flight, minta air daripada stewardess, tengok awan blablabla. Ipad pun memang aku standby juga. Untuk emergency, siap download Boboiboi dan bawa stok Happy Cookies. Ternyata, taktik aku berkesan.

Overall, 9jam perjalanan memang tak berapa rasa sangat. Dan, flight aku ini direct flight. KLIA ke Jeddah. Kalau nak flight yang ada transit, mungkin boleh dapat murah sikit. Kos tiket kami adalah seperti berikut:

Adult: RM3000 x 5 = RM15,000
Dadan: RM2330 (Kid)
Khayla: RM500 (Infant)

Total : RM17,830

Kalau nak pilihan lain, boleh cari Airasia, MAS, Flynas & airline lain yang murah sikit dan ada flight ke Jeddah/Madinah. Yang penting, sekali lagi ikut ketebalan wallet sendiri/suami dan sampai dengan selamat. Tempahan flight ticket ini kitorang buat online saja.

Kids' meal dalam penerbangan

Kids’ meal dalam penerbangan

2. Hotel Madinah

Ini antara benda penting untuk dipertimbangkan. Kita semua kalau boleh nak hotel yang murah dan dekat dgn Masjid Nabawi. Bincang punya bincang, kitorang menginap di Hotel Al Majeedi Arac Suite. Jarak dengan Masjid Nabawi dalam 30meter saja. Memang hotel ni belakang pintu masjid.

Bilik kitorang bukanlah hotel sangat pun. Lebih kepada suite yang ada 3 bilik dalam satu ruang, tapi bukan connecting rooms. Siap ada 2 toilet, dan dapur. Kat dapur itulah aku merasa makan ayam masak cili api hasil air tangan bini aku. Rare weh makan ayam masak cili api di Madinah.

Dapur yang disediakan di Arac Suites

Dapur yang disediakan di Hotel Majeedi Arac Suites

Kami cuma menginap di hotel ini, maksudnya tak ada breakfast, lunch and dinner. Semuanya masak sendiri. Rice cooker pun aku angkut sekali. Sawi, bayam, kicap Jalen doorgift majlis kahwin anak jiran sebelah, santan toksah cerita lah. Semua diangkut sekali. Kalau malas sangat nak masak, beli dekat kedai. Biasanya di bawah ada kedai makan. Bolehlah nak beli shawarma dgn harga 5riyal, nasik briyani ayam/kambing 20riyal (untuk 3 orang makan). Makan/minum memang tak perlu risau, inshaAllah.

Kos suite ini untuk 5 hari 4 malam sekitar RM3800.

hotel-arac-suites

Hotel Majeedi Arac Suite dari luar

3. Hotel Mekah

Hotel kami di Mekah agak mahal sebab aku cari hotel yang betul-betul dekat dengan Masjidil Haram. Kami menginap di Al Marwa Rayhaan (Rotana), betul-betul bawah ClockTower di tingkat 11. Satu king bedroom dan satu lagi triple bedroom. Anak-anak kongsi katil saja dengan kitorang. Di hotel ini kitorang ambil breakfast saja tanpa lunch & dinner.

Clock Tower

Clock Tower

Kalau nak lunch & dinner, boleh pergi foodcourt tingkat P3 & P4 dalam bangunan ClockTower. Ada Burger King, KFC, Pizzahut, kedai makan Arab, Turki, dan macam-macam restoran. Average harga untuk nasi arab 25riyal (portion untuk 3 org makan). Jadi, sekali lagi, makanan memang tak perlu risau. Standby bawa duit saja.

Jarak hotel ke Masjidil Haram dalam 30meter. Turun ClockTower dan jalan kaki dalam 100 langkah dah sampai ke Masjidil Haram. Hotel sangat selesa, plus dapat bilik yang sebahagiannya menghadap Masjidil Haram. Kalau nak bilik yang menghadap Kaabah, kena pastikan wallet sang suami tebal dan berderet-deret 500riyal dalam tu. Hehehe.

Dapat view yang sebahagiannya menghadap Masjidil Haram

Dapat view yang sebahagiannya menghadap Masjidil Haram

Ada hotel yang lagi jimat, boleh dapat dalam RM150-250 satu malam. Jadi, korang boleh bayangkan betapa jimatnya boleh buat kat situ? Cuma kalau hotel murah, kita boleh agaklah keselesaan dan jaraknya ke Masjidil Haram.

Kos Hotel Rotana adalah sekitar RM10,500 untuk 6 malam. Anggaran RM875/malam.

Semua urusan tempahan hotel aku buat via Booking.com je. Tak bayar apa-apa lagi waktu tempahan. Masa check in nanti, standby sama ada kad kredit atau tunai.

Keadaan dalam Hotel Rotana

Keadaan dalam Hotel Rotana

4. Ground Transport

Ground Transport ini maksudnya kenderaan sepanjang ada dekat sana. Ini antara perjalanan yang wajib bila dah sampai sana:

  • Transport dari Terminal Hajj, Jeddah ke Hotel Madinah/Mekah
  • Transport untuk ziarah sekitar Madinah/Mekah
  • Transport dari Mekah ke Madinah atau vice versa
  • Transport dari Hotel Madinah/Mekah ke Terminal Hajj, Jeddah

Aku terpaksa mengaku, kos transport memang agak mahal. Awalnya, kitorang guna satu kenderaan yang dipanggil ‘coaster’ yang boleh muat dalam 12 orang. Cuma last minute aku tukar ‘coaster’ dan ambil van sebab van lebih selesa. Bila bayar lebih, kita dapat selesa lebih. Pandangan aku, kalau setakat pergi dengan geng-geng lelaki, ‘coaster’ pun dah cukup selesa untuk jimatkan kos.

Driver di sana memang

Driver di sana memang ‘power’

Pemanduan driver Arab ini memang power. Macam tak cukup tanah nak lari. Rasa agak ralat sikit sebab berbeza dengan driving style di Malaysia. Tapi tak apa, misi ke sana bukan untuk rasa cara diorang memandu jadi bersabarlah. Aku memang sarankan korang bawa sekali orang yang boleh cakap Arab. Dalam group aku, adik aku boleh cakap Arab. Dia yang duduk depan untuk mudahkan komunikasi dengan pemandu. Nak harapkan aku? Aku tau Alip Ba Ta saja.

Kos ground transport keseluruhan: RM3600

Inilah rupanya coaster yang diceritakan

Inilah rupanya coaster yang diceritakan

5. Makanan

Makanan kat sana berlambak. Jangan risau. Kalau bawak anak kecil, boleh standby dalam 7-10riyal untuk beli aiskrim dekat sana. Bunyi macam mahalkan? Memang mahal pun. Pernah sekali aku bawa Dadan pergi masjid berdua dan masa nak balik hotel, Dadan cranky yang amat. Aku pun ‘pancing’lah nak pergi beli aiskrim. Dadan cakap nak aiskrim coklat. Aku pun beli dengan harga 10riyal/cup. Alih-alih dia nampak pula aiskrim strawberi warna pink dan terus menangis melalak nak yang pink. Habis semua orang sekeliling pandang, dah macam kena dera. Dah tak pasal-pasal melayang 20riyal di situ. Bayangkan, 20riyal buat beli aiskrim. Kalau kat Malaysia korang beli Magnum Espresso Black pun baru RM3.90. Haha belum lagi Paddlepop, baru seringgit lebih. Haa… Rabak rabak.

Antara kedai makan tepi jalan yang ada di Mekah

Antara kedai makan tepi jalan yang ada di Mekah

Tapi bab makanan lain macam nasi, shawarma inshaAllah harganya mampu milik lagi. Disebabkan portion dia besar, jadi berbaloilah kalau harga set nasi dalam 20riyal. Boleh makan dalam 2-3 orang. Dekat sana, ada juga restoran D’Saji, milik Felda Malaysia. Adalah beberapa kerat masakan Melayu. Sedap juga. Boleh pergi kalau dah nak muntah belahak makan nasi arab. Letaknya dalam Safwah Tower tingkat 2. Sekeliling restoran D’Saji ada restoran lain lagi. Banyak pilihan.

Lunch dlm perjalanan Madinah ke Mekah

Lunch dlm perjalanan Madinah ke Mekah

6. Perbelanjaan Sendiri

Yang ini pun penting. Duit belanja convert siap-siap dari Malaysia. Aku jumpa tempat murah nak convert dekat Midvalley tingkat bawah sekali. Waktu tu rate 1.19 di Midvalley, kalau di Giant Seremban 1.22.

Pandai-pandailah dapatkan rate yang terbaik. Kalau nak withdraw kat sana pun boleh, dari Al Rajhi Bank. Cuma ada international withdrawal charge dalam RM10.60 rasanya, termasuk GST.

Kalau korang tanya aku mana bagus, aku suka convert siap-siap. Kalau duit masih lagi tak cukup waktu kat sana, baru buat International Withdrawal. Tapi kalau ada yang bawak siap-siap duit Malaysia untuk convert, itu pilihan terakhir. Boleh convert di money changer sana.

Duit belanja ini penting untuk nak beli makan atau souvenirs. Ada beberapa benda best kalau nak beli sebagai hadiah. Korang boleh beli sejadah, kopiah, perfume, tasbih, bukhoor, oudh, dan macam-macam lagi. Waktu aku pergi, aku banyak borong bukhoor dan oudh. Benda ini dibakar untuk mewangikan rumah. Aku banyak habiskan duit beli benda ini dan tempat bakar dengan arang dia sekali. Sekurang-kurangnya bila balik Malaysia nanti, terubatlah rindu pada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bila aku bakar benda tu dalam rumah.

Total aku bawa pergi sana untuk belanja: RM4000

Inilah bukhoor

Inilah bukhoor

7. Mutawwif

Mutawwif fungsinya untuk guide/ menjadi storyteller kita sepanjang di sana. Penggunaan mutawwif ini optional. Nasihat aku, kena ada mutawwif walaupun dah banyak kali kita pergi sana. Mutawwif akan guide kita untuk buat umrah kali pertama, menceritakan sirah di tempat bersejarah, dan kadang-kadang mereka akan bawa kita makan di tempat yang rare dan murah.

Waktu aku pergi, Allah temukan aku dengan seorang mutawwif ini. Sekali dia cakap Arab, pergghhhhh. Macam berkilo kahak dalam tekak dia. Punyalah fluent. Maklumlah dah duduk sana bertahun-tahun. Brader ini memang best. Ilmu Sirah dan gaya storytelling dia memang memberi kesan pada ziarah kitorang.

Bersama mutawwif kami, Ustaz Farid dari Kajang

Bersama mutawwif kami

Kalau lepas ini aku nak pergi lagi pun, aku rasa memang aku perlukan bantuan dia untuk guide jemaah aku. Kalau yang first time dalam seumur hidup nak buat umrah, aku rasa dah sampai tahap wajib ada mutawwif. InshaAllah, membantu banyak dalam perjalanan umrah. Tapi kalau berhajat nak buat umrah yang ke-2, tak perlu ada mutawwif pun tak apa. Kawan-kawan boleh sama-sama guide & kerjakan umrah itu sekali.

Kos mutawwif ni secara kasarnya begini:

A. Ziarah dlm Masjid Nabawi: 150riyal (optional)
B. Ziarah Tempat Bersejarah di Bandar Madinah: 300riyal
C. Perjalanan Madinah ke Mekah termasuk umrah kali pertama: 500riyal
D. Ziarah Tempat Bersejarah di Mekah: 250riyal

Waktu aku pergi, aku tak ambil mutawwif untuk umrah pertama. Aku cuma amik mutawwif untuk ziarah sekitar bandar Mekah. Di Madinah pun aku tak ambil mutawwif.

Dadan dengan mutawwif kami

Dadan dengan mutawwif kami

8. Kos Passport & Visa

Utk pasport, korang boleh pergi buat di imigresen. RM200 utk 5 tahun. Kos visa pula, rata-rata travel agent yang tertentu akan caj sekitar RM350-400/seorang, baik dewasa mahupun kanak-kanak.

Kos-kos Lain

Apapun, ada lagi kos-kos kecil yang tersembunyi yang aku tak dapat nak ingat. Contohnya, kos beli simcard dan sebagainya.

Ada org tanya, sama ada aku pakai cash waktu nak bayar hotel dan tempah flight ticket? Jawapannya tak. Semua bayar pakai kad kredit. Aku sendiri tak pakai kad kredit. Tapi waktu pergi tempoh hari, kad kredit adik aku jadi mangsa. Semuanya dia uruskan. Kalau diizinkan Allah untuk aku pergi bawa kawan-kawan, nampak gaya kena apply juga satu.

pengalaman umrah

Kesimpulannya, Berbaloi Atau Tidak Umrah DIY?

Buat umrah tanpa travel agent ini ada risiko tersendiri. Kena bersedia kalau ada ahli dalam group kita yang sakit kronik. Ubat kat sana tak murah. Jadi, sebelum buat keputusan nak pergi sendiri, kena pertimbangkan juga risiko lain seperti pasport hilang, sesat. Nauzubillah min zalik, tapi kemungkinannya tetap ada. Kalau Allah nak duga kita kat situ, dan kita pula pergi tanpa ada guarantee dari mana-mana travel agent, apa kita nak buat? Cuak, kan? Jadi, doa banyak-banyak minta dimudahkan SEGALA urusan kita sepanjang perjalanan pergi dan balik.

Aku tak encourage untuk buat Umrah sendiri, lagi-lagi untuk yang kali pertama pergi. Kalau insist juga, pastikan dalam group itu ada at least seorang yang dah biasa ke sana. Bak kata mutawwif aku, bumi Madinah dan Mekah ini bukan bumi untuk memandai-mandai jadi bodoh sombong. Kena banyak bertanya dan belajar. Aku ada sedikit keyakinan untuk buat sendiri sebab aku pernah ke sana.

Rasanya kos keseluruhan aku ini lebih kurang sama dengan kos travel agent. Tapi perlu ingat, ada beberapa kos yang aku boleh tolak dan jadikan murah; hotel, transport, khidmat mutawwif, dan airline yang agak mahal. Semua boleh diubahsuai ikut bajet masing-masing-masing.

hajar-aswad

Semoga Lebih Ramai Ibu Bapa ‘Buka Mata’ Untuk Bawa Anak Ke Sana

Diharapkan perkongsian ini membuka mata lebih ramai ibu bapa untuk bawa anak ke sana. Jangan jadikan anak-anak yang masih kecil sebagai alasan untuk menangguhkan. Anak aku, Dadan memang ada problem susah nak berak, dia punya jerit memang boleh retak gegendang telinga.  Lagi-lagi bila asyik mentekedarah coklat yang dibagi makcik, nenek, atuk dekat sini. Tapi, dengan kuasa Allah, sepanjang ada di Tanah Suci, tak pernah sekali pun datang sembelit dia. Itu satu nikmat yang Allah bagi dan Allah mudahkan semua urusan anak-anak aku untuk sama-sama selesaikan umrah.

Percayalah cakap aku, anak-anak kita itulah yang jadi sebab untuk dibukakan lagi pintu rezeki kita. Bila kita dedahkan mereka dengan masjid Rasulullah SAW, Kaabah, dan laksanakan solat di masjid-masjid utama yang disebut dalam hadis malahan Quran, kesannya memang luar biasa. Waktu depan Kaabah dan kalau ada peluang masuk ke Raudhah nanti, doalah banyak-banyak supaya anak-anak kita jadi anak yang soleh. Tak ada apa yang lebih membahagiakan ibu bapa bila kita dianugerahkan anak-anak soleh yang sentiasa doakan kita bila kita dah masuk alam kubur nanti.

Akhir kata, aku harap tulisan ini bermanfaat untuk panduan sesiapa yang nak kerjakan umrah sama ada melalui travel agent mahupun secara DIY, samada nak bawa anak kecil, solo, berkumpulan atau sebagainya. Aku doakan sesiapa yang baca post ini akan dijemput Allah untuk membawa keluarga sekali ke Tanah Suci, melaksanakan ibadat umrah dengan tenang, dan dimudahkan segala urusan terutamanya melibatkan anak-anak kecil. Semoga kita sama-sama berjaya melahirkan anak-anak generasi muda yang mampu berjalan diatas jalan yg diredhai Allah.

Hasil tulisan,

Seorang Daddy bertuah,
29 Januari 2017

*Perkongsian asal oleh Kamel Azwad Abdullah melalui Facebook ini diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Jika ada sebarang pertanyaan mengenai pengalam umrah atau tips-tips lain boleh follow Facebook beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×