40 Minggu

Sakit Perut Sampai Merangkak, Muntah. Rupanya Tiub Pecah Akibat Kandungan Luar Rahim

1.7K
SHARES

Tahukah ibu, kehamilan luar rahim atau kehamilan ektopik (ectopic pregnancy) adalah proses yang melibatkan pembentukan janin di luar kawasan rahim.

Ia sangat berisiko dan boleh membahayakan nyawa jika lewat dikesan.

Kebanyakan kes kehamilan ektopik berlaku dalam tiub fallopian. Ia juga boleh berlaku di rongga abdomen, ovari, cornu rahim dan serviks.

Pengalaman kehamilan luar rahim

Dalam perkongsian kali ini, kami kongsikan pengalaman Puan Nurhayati Yaacob yang pernah mengalami saat-saat cemas akibat kehamilan ektopik hingga pecah tiub fallopian.

Pengalaman Kehamilan Luar Rahim

Saya terdetik nak kongsikan pengalaman saya sebagai peringatan dan pengajaran kepada bakal ibu yang baru disahkan mengandung.

Kalau dah tahu mengandung cepat-cepatlah pergi check dan buka buku pink di klinik. Doktor kata kes begini kalau lambat akan mengancam nyawa.

Mula Rasa Sakit Perut, Ingatkan Angin Biasa

Semuanya berlaku pada 4 Julai 2019 baru-baru ni.

Kronologi kejadiannya begini…

  • 4.30 am

Mula-mula perut rasa macam ada angin bahagian kiri. Saya ingatkan sakit biasa je.

Lepas tu saya cuba bangun tapi tak boleh. Tiba-tiba memulas sakit sangat-sangat sampai saya menangis.

Saya turun katil sambil merangkak sebab sakit. Saya paksa diri bangun nak ke hospital. Rasa sakitnya memang kuat.

Bagi saya sakitnya lebih sakit daripada bersalin. Saya paksa diri bangun sampai muntah.

  • 5.30 am

Sampai je hospital terus ke emergency. Nurse check dan dia bagi ubat tahan sakit je.

Sampailah saya cakap yang saya pregnant.

Macam-macam yang diorang check dan akhirnya terus tolak saya masuk ke red zone.

Saya rasa tak sedap hati dan dah agak macam ada yang tak kena.

Doktor pertama check memang urine saya positif. Tapi doktor pertama kata rahin saya kosong. Doktor kata kes saya on hold dulu.

  • 6.30 am

Sampai lagi doktor lain kali ni, 3 orang lagi doktor check saya. Diorang pun still tak nampak kandungan dalam rahim.

Bila datang doktor yang kelima check baru nampak yang kandungan saya ada dalam tiub di luar rahim.

Dan apa yang buat saya sakit perut sangat-sangat akhirnya terjawab. Doktor kata tiub dah pecah dan dah ada pendarahan dalam perut.

  • 7.00 am

Doktor panggil suami masuk ke bilik rawatan. Dia cakap kandungan saya tak dapat diselamatkan.

Diorang akan tebuk 3 tempat dekat perut atau operate untuk potong tiub yang ada janin tu dan cuci pendarahan dalam perut saya.

Doktor cakap saya bernasib baik sedar awal. Kalau lambat, risiko saya 50/50 je.

  • 10.00 am

Doktor tolak masuk ke dalam bilik bedah.

Saya yang tak pernah ada pengalaman sebelum ni memang rasa takut sangat.

Domtor cakap dia akan bagi bius penuh dan saya tak akan sedar langsung. Doktor suruh mengucap banyak-banyak.

  • 3.30 pm

Pukul 3.30 petang doktor kejutkan dan beritahu saya operation dah selesai.

Alhamdulillah… Syukur.

Redha Walaupun 5 Tahun Menunggu

Apapun, doktor pesan seeloknya kalau dah tahu mengandung tu seawal 3 minggu kena check untuk elakkan kejadian begini.

5 tahun penantian awak anak syurga. Ibu sayang Nur Hanis Humairah, tapi Tuhan lebih sayangkan awak. Ibu redha walaupun perit.

Mungkin ada hikmah Tuhan dan tentukan. Mohon ibu-ibu doakan saya kuat melalui dugaan ini dan mudah-mudahan ada lagi rezeki lain untuk saya nanti.

*Perkongsian asal oleh Puan Nurhayati Yaacob ini dikongsikan menerusi posting beliau di Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran.

Mengandung Luar Rahim

Foto Kredit: wikihow.com

Punca & Tanda Kehamilan Luar Rahim

Begitulah kisah pengalaman Puan Nurhayati.

Mungkin ramai tertanya-tanya apa sebenarnya yang menjadi punca kehamilan ektopik atau kehamilan luar rahim ini.

Menurut portal MyHealth, punca kehamilan luar rahim tidak diketahui.

Namun anda mungkin lebih berisiko sekiranya tergolong dengan ciri ini:

  • Pernah mengalami kehamilan ektopik
  • Penyakit Radang Pelvis (PID) atau Salpingitis (Radang tiub fallopian)
  • Mengalami kesukaran mengandung (subfertility)
  • Pernah menjalani pembedahan abdomen atau pelvis
  • Pernah menjalani pensterilan tiub atau tiub fallopian diikat
  • Endometriosis
  • Menggunakan Peranti Kontraseptif Intrauterine (IUCD)
  • Menjalani rawatan kesuburan

Foto Kredit: onfertility.com

Tanda Kehamilan Luar Rahim Biasanya Berlaku Pada Minggu 5-8 Kehamilan

Kebanyakan kehamilan ektopik menunjukkan tanda atau gejalanya pada minggu kelima hingga kelapan kehamilan. Oleh itu, penting bagi ibu mendaftarkan kehamilan seawal mungkin bagi menjalani rutin pemeriksaan yang menyeluruh.

Berikut adalah antara tanda awal kehamilan luar rahim yang perlu diberi perhatian

  • Sakit bahagian bawah perut, pada salah satu bahagian (sama ada kiri atau kanan)
  • Pendarahan faraj yang tidak normal dan darah berwarna lebih gelap
  • Sakit hujung bahu (yang disebabkan oleh pendarahan intra-abdomen)
  • Kadang-kala cirit-birit atau sakit ketika membuang air besar

Jika kehamilan luar rahim gagal dikesan pada peringkat awal kehamilan, tiub fallopian boleh pecah lalu menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada peringkat ini, ibu hamil mungkin mempunyai gejala berikut:

  • Sakit perut yang teruk secara tiba-tiba
  • Pening, pengsan, berpeluh dan letih-lesu
  • Pengsan akibat pendarahan yang berlebihan
  • Perut membengkak
  • Pucat

Jika berlaku tanda dan gejala di atas, jangan teragak-agak untuk segera ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan ya.

Semoga perkongsian ini dapat memberi lebih info berkenaan kehamilan luar rahim atau kehamilan ektopik.

Yang penting, ibu-ibu jangan lengah buat pemeriksaan dan daftarkan kehamilan di klinik kesihatan terdekat ok!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×