Sihat

Pengalaman Anak Masuk PICU Akibat Pneumonia, Ini Yang Ibu Ayah Kena ‘Alert’

7.6K
SHARES

“Risaunya tengok sekarang dah macam-macam penyakit menyerang anak-anak. Ada yang nampak macam demam, batuk dan selsema biasa, tapi rupanya penyakit merbahaya. Kenalah lebih berjaga-jaga dan ‘alert’ nampaknya.”

Tidak dinafikan anak kecil memang mudah terkena penyakit. Bak kata orang, “Biasalah, nak membesar”. Namun, dengan penularan wabak yang merisaukan seperti Influenza A, Rotavirus, Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD), ibu bapa harus lebih peka dan tahu bila mereka perlu bertindak segera.

Di kesempatan ini, kami berbesar hati untuk berkongsikan sebuah pengalaman oleh Puan Farha Darmawan tentang anaknya yang diserang bronchopneumonia, iaitu salah satu jenis daripada penyakit pneumonia. Diharapkan melalui perkongsian ini para ibu bapa dapat meningkatkan kesedaran tentang gejalanya agar dapat mengambil tindakan sepatutnya pada anak seawal mungkin.

Bermula Dengan Batuk Selesema Biasa

Bismillahirahmanirahim. Pertama sekali, saya nak minta maaf kalau ada ayat yang salah dari segi perubatan. Saya hanya berkongsi daripada apa yang doktor ringkaskan buat saya.

Yusuf dah batuk selesema 2 minggu dan nampak sihat selama seminggu. Tapi batuk selesema datang balik selama seminggu lagi. Awalnya Yusuf batuk, selesema, dan kurang makan. Tapi dia tetap aktif. Saya ingatkan Yusuf tak lalu makan sebab tekaknya tak selesa. Saya pun anggap ianya biasa saja. Bila pergi klinik, doktor bagi ubat cairkan kahak dan nampak perkembangan yang baik pada Yusuf.

Pada malam 17/02/18, Yusuf mula batuk jenis gatal tekak. Tapi ianya tak kerap. Maka, saya pun masih tenang dan cuma sapukan Vicks. Saya perlahankan kipas, sapu minyak baby seluruh badan. Selepas itu nampak ok sikit. Tapi Yusuf tetap tak mahu makan. Cuma 2-3 suap saja sedangkan Yusuf memang kuat makan. Tidur pula asyik terganggu dengan batuk. Bila batuk, terjaga. Saya tepuk-tepuk sikit dan Yusuf tidur semula. Bila perhatikan lekuk pada otot dada Yusuf, masih ok. Jadi, saya masih positif.

Batuk Tak Berhenti Dan Terus Ke Emergency

Pada pagi 18/02/18 jam 3.30 am, Yusuf bangun tiba-tiba dan menangis. Batuknya tak berhenti. Dia tak dapat tidur sebab asyik batuk. Saya periksa dada Yusuf dan tengok lekuknya semakin dalam. Ayah Yusuf buat keputusan untuk bawa Yusuf terus ke kecemasan.

4.00 am kami tiba di kecemasan. Lepas check dada dan suhu, pegawai perubatan bawa Yusuf ke bilik 13 – di Zon Separa Kritikal. Di sini Yusuf ambil nebulizer sebanyak 2 kali. Doktor periksa paru-paru dah clear tapi pernafasan masih laju. Lekuk masih dalam. Doktor pun tak tahu punca dan keadaannya masih merisaukan. Doktor benarkan balik, tapi kalau perkara yang sama berulang, kami mesti buat pemeriksaan lanjut.

Dihantar Ke Red Zone Dan Ditempatkan Di Wad PICU

Pukul 11 am, Yusuf batuk lagi macam tadi. Pergi emergency dan Yusuf terus dibawa ke war pemerhatian.

Ya Allah, ramai sangat budak yang macam Yusuf. Doktor bagi nebulizer pada Yusuf. Masih teruk. Tak tahu dah berapa kali dia sedut. Menangis meronta menjerit sampai merah mukanya. Nafas berombak, paru-paru kuncup.

Akhirnya doktor buat keputusan bagi oksigen dos rendah dan terus ke Red Zone. Merasalah dukung Yusuf di atas katil sambil ditolak masuk Red Zone. Selalu tengok dalam drama je. Doktor ambil darah, buat x-ray, masuk drip, masuk air, sebab Yusuf tak makan dan tak minum 1 hari. Bukan tak bagi, tapi dia tolak. Dapat result, baru tahu ada jangkitan kuman di paru-paru tapi masih tak tahu jenis mana. Akhirnya Yusuf ditempatkan dalam wad PICU.

Disahkan Mengalami Bronchopneumonia

8.15 pm. Masuk wad. Pakai oksigen. Ambil darah. Mereka sahkan Yusuf diserang bronchopneumonia.

Bronchopneumonia :

Bronchopheumonia salah satu jenis daripada penyakit pneumonia. Ciri-ciri pada bayi biasanya batuk, kadar degup jantung yang cepat, oksigen darah yang rendah, otot dada kembang kuncup, kurang selera makan & minum, demam, kesesakan dan kesukaran tidur.

Yusuf diberi antibiotik. Benda yang paling saya taknak Yusuf hadapi, terjadi juga – sedut kahak, masuk tiub ke mulut dan hidung. Saya minta nak keluar sebab tak boleh tengok.

Kali pertama sedut, saya lari ke bilik paling hujung sekali. Di situ masih terdengar suara Yusuf menjerit. Tapi hati masih kental. Kali kedua sedut, ibu kebetulan pergi toilet depan bilik. Memang dengarlah suara Yusuf menangis. Waktu ni memang dah tak boleh tahan air mata dari menitik. Kali ketiga, saya rasa hati ni dah kuat sikit. Saya pun tolong nurse pegang Yusuf yang meronta-ronta. Tapi yang bagusnya, selepas sedut kahak & hingus, Yusuf dah boleh tidur dengan lena.

Selama 2 hari di PICU, memang saya dah macam zombie, dah macam hulk. Kesabaran senipis kulit bawang. Sorry kalau ibu ada terkasar pada Yusuf sebab Yusuf tak nak pakai oksigen, Yusuf takut pada nurse, kena paksa makan ubat, tambah pula dengan cirit-birit yang kerap sampai merah-merah punggung. Yusuf suka garu muka guna tangan yang ada drip tu lagi. Jadi nak tak nak, ibu kena pegang Yusuf kuat-kuat.

Dalam wad tu ada 2 orang budak sebaya Yusuf sama sakit dengan Yusuf. Mereka lagi lama ditahan berbanding Yusuf. Seminggu lebih. Tiap-tiap hari tengok mereka pun kena sedut kahak. Selagi dipakaikan oksigen, selagi itulah mereka tak boleh discaj.

Semakin Sihat

20/02/18 pagi, Yusuf dah semakin baik daripada sebelumnya. Doktor pun puas hati. Jadi hari ini doktor cuba tak pakai oksigen pada Yusuf. Kalau dia boleh bernafas elok tanpa bantuan oksigen sepanjang hari ini, bolehlah Yusuf discaj.

Masuk tengah hari, Yusuf dah ditukarkan ke wad biasa. Walaupun masih lembik, tapi Yusuf tak menangis. Dia banyak berdiam dan termenung. Mungkin letih agaknya. Nafas ok, oksigen ok, nadi pun ok. Dia dah mula makan sikit. Cuma makan ubat saja yang menangis. Alhamdulillah tidur malam pun lena.

21/02/18. Pagi-pagi lagi dah mandi. Saya pakaikan Yusuf baju jalan. Tak minta baju hospital pun dari nurse sebab dah tak lalu tengok baju hospital. Rasa seronok dapat dandankan Yusuf. Kalau ikut gerak hati macam boleh keluar wad hari ini. Ternyata, memang dapat discaj hari ni. Alhamdulillah, mood Yusuf pun nampak lebih baik. Dah mahu senyum, mahu gelak, mahu main dengan budak lain. Tapi dia masih trauma bila nampak nurse atau doktor datang dekat dia. Confirmed menangis!

Sepanjang 4 hari di hospital, saya berjayalah tahan air mata dari menitis selain dari yang kena sedut kahak kali kedua tu. Saya cuba positif & bersabar sehabis mungkin. Kalau saya negatif & fikir bukan-bukan, kasihan anak ibu minum susu yang tak berkualiti hasil dari minda yang tak baik.

Sedikit Saranan Untuk Para Ibu Bapa

Sebelum balik, ini antara nasihat doktor yang boleh dikongsikan untuk mengelak daripada Bronchopneumonia:

  • Teruskan menyusu anak.
  • Jauhi orang yang tak sihat.
  • Kalau boleh, jangan selalu bawa anak ke tempat yang sesak macam pasar, pasar malam walaupun anak tu sihat. Udara sekarang pun tak sihat.
  • Sentiasa basuh tangan.
  • Jauhi asap rokok. Kalau nak pegang, pastikan mandi dulu baru pegang. Sekadar cuci tangan pun tak boleh ya kawan kawan.
  • Jaga pemakanan anak. Bagi yang bernutrisi. Air masak kene banyak. Buah. Sayur.

Dalam hospital, saya tengok ramai budak yang sama kes dengan Yusuf. Sangat ramai. Sebab tu saya selalu cakap, selagi tak kena kat diri sendiri. Selagi itulah kita mungkin takkan sedar.

Semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit pendedahan dan membuka mata ibu bapa tentang penyakit ini yang cenderung menyerang anak kecil. Sama-samalah kita saling mengingatkan ya.

 

*Coretan asal Puan Farha Darmawan ini disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk pertanyaan lanjut, sila rujuk post asal beliau di SINI.

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×