Terbaharu menerusi laporan BERNAMA, murid Tahun Satu akan diperkenal dengan elemen pendidikan TVET. Program ini akan bermula dari Tahun Satu di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027.
Sejurus berita ini dipaparkan, ia mendapat pelbagai reaksi dari kalangan netizen yang terdiri dari ibu bapa. Ada yang bersetuju pendidikan ini boleh melatih anak-anak berdikari malah ramai juga tidak bersetuju kerana dianggap sebagai beban kepada anak-anak.
Baca juga: Rupanya Lebih 120,000 Murid Tahun 1 Dikesan TAK BOLEH Membaca, Menulis & Mengira
ELEMEN PENDIDIKAN TVET AKAN DIPERKENALKAN KEPADA MURID TAHUN 1
Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata elemen itu diperkenalkan menerusi Kurikulum Persekolahan 2027 di mana KPM akan memberikan penekanan kepada asas pendidikan TVET bagi memupuk minat murid dalam bidang berkenaan.
Mengulas lanjut, katanya, pengenalan elemen TVET bermula dari tahun satu itu akan dibuat melalui pembelajaran bersepadu yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dalam bidang Sains, Teknologi, Digital, Seni Visual, Muzik dan Pendidikan Kesihatan.
Seterusnya bagi, murid di tahun lima dan tahun enam akan mempelajari pembelajaran asas disiplin ilmu TVET seperti Teknologi, Sains Rumah Tangga, Kejuruteraan, Pengaturcaraan dan Pertanian.
“Pembelajaran dilaksanakan berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi dan digital dalam pelbagai bidang.”
“Kandungan, kemahiran dan nilai daripada pelbagai bidang teknologi dan digital akan dikembangkan lagi kepada murid di peringkat menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua dan tiga bagi mereka mengenali potensi diri seterusnya mendorong minat mereka dalam bidang TVET,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sama ada KPM berhasrat mempertimbang cadangan memperkenalkan laluan TVET seawal tingkatan satu bagi memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran yang mereka minati.
KPM YAKIN INI PENDEDAHAN AWAL
Pada masa sama, Kah Woh berkata KPM yakin inisiatif dilaksanakan ini mampu memberi pendedahan awal dan memberi peluang kepada murid memilih bidang TVET selepas tamat pendidikan menengah rendah iaitu tamat tingkatan tiga.
Beliau berkata, KPM komited menyediakan akses pendidikan TVET bermula dengan pendedahan kepada murid peringkat sekolah rendah bagi membolehkan mereka membuat pilihan aliran bidang itu yang bersesuaian apabila memasuki peringkat menengah iaitu selepas tingkatan tiga.
“Pendedahan awal asas pendidikan TVET diperkenalkan kepada semua murid seawal tahun empat di peringkat sekolah rendah melalui mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) bermula tahun 2014.
“Murid diperkenalkan dengan kemahiran berasaskan TVET yang menawarkan bidang utama dalam Teknologi, Sains Rumah Tangga, Kejuruteraan, Pengaturcaraan dan Pertanian.
“Bagi memastikan kesinambungan pendidikan TVET, mulai tahun 2017, mata pelajaran RBT diteruskan kepada murid peringkat menengah rendah tingkatan satu,” katanya.
*Dikatakan bahawa usaha ini bagi memastikan murid diberi pendedahan awal kepada bidang utama TVET sebelum memasuki aliran itu selepas tingkatan tiga. Moga mak ayah tak pening untuk bantu anak siapkan kerja sekolah ya!
Baca juga: Ada Anak Darjah 1 Tahun Depan? Ini 10 Persediaan Ibu Bapa Perlu Lakukan
Sumber: BERNAMA