Famili

Pendapat Segelintir Ibu Bapa Tentang DidikTV, Ternyata Beri Impak Positif Pada Anak

205
SHARES

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM melalui saluran ntv7 sebagai platform siaran. Hal ini bagi memperkasakan Sistem Pengajaran & Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedia ada.

DidikTV KPM telah mula bersiaran sejak semalam iaitu 17 Februari 2021. Apa yang paling mengagumkan, siaran TV pendidikan ini mendapat respon positif daripada orang ramai terutamanya golongan ibu bapa.

“Anak seronok melihat guru mengajar di kaca televisyen” – Noreen

Bagi anda yang menjadi suri rumah, semestinya anda meluangkan lebih banyak masa bersama anak di rumah seperti Noreen. Mempunyai dua orang anak yang berada di tahap 1, beliau cuma mahu berikan persekitaran pembelajaran yang seronok dan sihat untuk anak-anaknya.

Teruja dengan adanya DidikTV KPM, Noreen begitu bersyukur kerana suasana PdPR di rumahnya berubah lebih baik secara drastik.

“Siaran DidikTV di rumah saya masih belum bertukar dari awal pagi. Anak-anak seronok melihat guru mengajar walaupun guru hanya di kaca tv. Mereka berasa seperti berada di sekolah.”

-Noreen-

Ditampilkan pengajaran menarik oleh guru-guru cemerlang di DidikTV KPM, anak-anaknya menganggap belajar suatu perkara yang menyeronokkan. Noreen memuji pihak yang bekerjasama dalam mengusahakan saluran TV pendidikan ini.

“Dapat mengelak pendedahan gadget kepada anak” -Farhana

Farhana merupakan salah seorang ibu bapa yang terkesan dengan PdPR. Kekangan seperti masa pembelajaran pendek dan talian internet tidak memuaskan terpaksa dihadapinya setiap hari. Anaknya juga kurang faham apa yang diajar oleh guru.

Apabila mengetahui DidikTV KPM mula dilancarkan tahun ini, Farhana begitu gembira. Lebih-lebih lagi anaknya baru saja memasuki Tahun 1. Saluran TV pendidikan ini dapat mengelakkan pendedahan gadget kepada anaknya untuk belajar di rumah.

“Anak ni tak pernah lekang dengan gadget setiap hari. DidikTV ni pendekatan yang bagus kerana menggunakan siaran tv. Boleh elak anak terdedah pada gadget.”

-Farhana-

Sebelum ini anaknya belajar menggunakan gadget sepenuhnya. Kini anaknya cuba menyesuaikan diri untuk belajar melalui televisyen. Farhana berpuas hati dengan DidikTV KPM dan menjangka adanya penambah baik pada masa akan datang.

“Banyak slot menarik untuk ditonton” – Dr Rozailin

Sebagai seorang ibu bekerjaya, anda juga perlu memastikan anak anda tidak ketinggalan dalam pelajaran. Seperti Dr.Rozailin, pensyarah UIAM ini risau anak-anaknya yang masih bersekolah rendah dan menengah hilang fokus dalam sesi PdPR tanpa kehadiran guru di hadapan mereka.

“Proses PdPR jadi terbantut. Susah disiplinkan anak. Setiap hari kena jadi singa kat rumah. Lepas ada DidikTV ni senang suruh mereka belajar depan tv je. Slot pun banyak menarik perhatian.”

-Dr. Rozailin-

Dr. Rozailin mula menonton DidikTV KPM sejak hari pertama bersiaran bersama anaknya di rumah. Beliau mendapati siaran TV pendidikan ini mengambil pendekatan menarik dari segi perisian dan interaksi.

Selain itu, Dr. Rozailin kagum dengan pelbagai slot menarik di DidikTV KPM. Antaranya slot pendidikan dan slot selingan membuatkan anak-anaknya tidak bosan belajar di rumah.

“Pengajaran & pembelajaran dengan teknik berkesan” – Izzeti

Jika anda masih bekerja dari rumah sehingga sekarang, situasi anda persis Izzeti yang bekerja dari rumah di Terengganu. Beliau hanya mampu memberi tumpuan kepada anak-anaknya setelah habis kerja sekitar jam 8 malam atas kesibukan kerja.

Paling membimbangkan apabila anaknya akan menghadapi peperiksaan penting iaitu UPSR pada tahun ini. Apabila mengetahui tentang DidikTV KPM daripada guru kelas anaknya, beliau terus membuka siaran TV pendidikan ini di rumah.

Kagum dengan teknik pengajaran dan pembelajaran yang begitu efektif di DidikTV KPM, anaknya lebih mudah fokus semasa sesi PdPR.

“Sebelum ni anak belajar sepenuhnya dalam talian. Tapi teknik pengajaran dan pembelajaran daripada DidikTV ni luar biasa. Anak jadi lebih mudah fokus dalam pembelajaran.”

-Izzeti-

Izzeti berpendapat saluran TV pendidikan ini merupakan usaha terbaik supaya anak-anaknya terus fokus belajar di rumah. Beliau berharap DidikTV KPM dapat dilaksanakan untuk jangka masa panjang.

Begitulah antara komen-komen positif daripada beberapa ibu bapa yang ditemu ramah tentang DidikTV KPM. Ternyata ramai ibu bapa yang berpuas hati dengan DidikTV KPM.

Mari sertai pertandingan Tonton, Rakam & Kongsi

Sambil menonton DidikTV KPM bersama anak-anak, anda juga boleh menyertai pertandingan Tonton, Rakam & Kongsi anjuran DidikTV KPM. Kongsikan pengalaman menonton DidikTV KPM dan anda berpeluang memenangi peranti.

KPM telah memberi insitiaf terbaik dalam melancarkan DidikTV KPM. Ibu bapa tidak perlu menghadapi kekangan sesi PdPR bersama anak-anak selepas ini.

Untuk makluman, anda boleh tonton DidikTV KPM yang bersiaran di ntv7 bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari. Saksikan episod terkini DidikTV KPM di Youtube Channel ntv7MALAYSIA Official.

Manfaat daripada usaha murni KPM ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh semua ibu bapa di Malaysia. Anak-anak anda pasti gembira belajar dengan DidikTV KPM. Selamat menonton!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×