Dalam sidang media sebentar tadi, Perdana Menteri mengumumkan tentang pakej bantuan PEMULIH yang akan memberi manfaat buat rakyat di saat pandemik.
Pelaksanaan i-Citra dan Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Bank
Jika sebelum ini kita ada program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran semasa pandemik COVID-19. Kini, KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra. Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga 5 ribu ringgit dengan kadar bayaran tetap 1 ribu ringgit sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.
Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan 30 bilion ringgit kepada rakyat untuk menampung keperluan harian. Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangkaakan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.
Bagi membantu para peminjam pendidikan, sukacita diumumkan bahawa beberapa agensi Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran antaranya:
Pertama: memberikan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam-peminjam PTPTN;
Kedua: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan;
Ketiga: menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah 100 ringgit selama 12 bulan; dan
Keempat: menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan.
MORATORIUM AUTOMATIK UNTUK SEMUA GOLONGAN
Oleh itu, sukacita diumumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro. Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.
Sumber: Buletin TV3