Suatu ketika dahulu, pantai cantik bernama Pantai Esen yang terletak di Permatang Damar Laut, Batu Maung terkenal dengan pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik, bukan sahaja dalam kalangan pelancong tempatan malah pelancong luar negara.
Maka, tidak putus-putus pengunjung ke pantai tersebut. Sayangnya kini, ia seperti ‘pantai hantu’ kerana tiada kehadiran pengunjung berikutan airnya tercemar dengan selut tebal, selain berbau busuk.
Baca juga: Kaki ‘Travel’ Kongsi 9 Tips Melancong DIY Ke Negara-Negara Eropah, Serius Lebih Jimat!
PANTAI CANTIK ESEN SEPERTI ‘PANTAI HANTU’
Tinjauan dari berita media tempatan mendapati, selut tebal telah memenuhi pesisiran pantai menyebabkan air laut menjadi kotor dan berbau busuk.
Pengusaha sukan lasak bermotor ATV, Mohd Zuhair Hizami Mohd Zainol Abidin berkata, perniagaannya terjejas sehingga 70 peratus apabila tiada pengunjung yang datang setelah mengetahui keadaan terkini pantai tersebut.
Menurutnya, pengunjung tidak lagi datang ke pantai berkenaan pada hujung minggu kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan di situ seperti membawa ATV ke persisiran pantai, mengambil gambar, melihat matahari terbenam dan berkelah.
“Dengan keadaan pantai dan air laut begitu, siapa yang nak datang ke sini? Pelanggan saya juga banyak yang membatalkan tempahan mereka apabila tahu keadaan pantai ketika ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Baca juga: Bukit Bintang Tersenarai Top 10 Destinasi Pelancongan ‘Overrated’ Di Asia! Biar Betul?
Bau busuk ganggu kehidupan penduduk kampung
Sementara itu, penduduk kampung, Samad Ismail, 58, berkata, bau busuk selut tebal sangat mengganggu kehidupan kira-kira 7,000 penduduk di Kampung Permatang Damar Laut tersebut.
“Keadaan memang busuk, tetapi kami penduduk kampung tiada pilihan kerana rumah kami memang di sini. Memang laut ada selut, itu semua orang tahu tetapi tidaklah setebal yang ada sekarang ini.
“Selut yang ada di Pantai Esen ini, jika dilihat betul-betul, ia seperti bercampur dengan minyak. Mungkin sebab itu ia menyebabkan ia berbau busuk,” katanya.
Tambahnya, sebelum ini penduduk kampung selalu mencari siput remis di pesisiran pantai dengan mengorek pasir. Tetapi kini, siput-siput itu dengan sendirinya naik ke atas sebagai tanda keadaan pasir yang tidak lagi bersih.
Hal ini kerana, siput-siput yang dikutip penduduk juga dikhuatiri tercemar dan akan menyebabkan keracunan makanan.
Selut tebal dipercayai berpunca daripada kerja tambakan
Seorang lagi penduduk, Jaffar Osman, 67 berkata, keadaan selut tebal berwarna hitam itu dipercayai berpunca daripada kerja tambakan untuk Projek Pulau Silikon yang dijalankan di kawasan tersebut.
“Kami percaya, semua masalah ini berpunca daripada kerja tambakan yang dijalankan ini.
“Pihak kontraktor dipercayai menyedut pasir dari dalam laut dan membuang semula selut menyebabkan selut makin menebal di pesisiran pantai.
“Mereka hanya ambil pasir sahaja, selut mereka buang. Saya difahamkan, bukan di Pantai Esen sahaja menghadapi masalah ini malah di Sungai Batu dan Jelutong juga,” katanya lagi.
Tambahnya, sebelum projek tambakan itu dijalankan, air laut akan naik sehingga ke daratan sekiranya musim air pasang besar namun kini, ia seperti tersekat.
“Pantai ini amat popular, pengunjung luar datang buat penggambaran filem, muzik video, ambil gambar buat poskad dan banyak lagi. Tetapi kini, siapa pun tak mahu datang ke sini,” tambahnya.
Baca juga: [VIDEO] ‘Amukan’ Ribuan IKAN BILIS Di Pantai Terengganu, Cetus Bimbang Orang Ramai!
Maklum balas oleh pihak berkuasa
Dalam pada itu, M Annathurai, 55 berkata, dia telah menulis surat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya mengenai masalah tersebut dan memohon tindakan segera diambil.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, beliau telah mengarahkan beberapa pegawai untuk terus membantu Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memantau keadaan pantai di kawasan tersebut.
Beliau berkata pemantauan terperinci dilakukan setiap tiga bulan, termasuk pada Mac, Jun dan Oktober tahun ini.
Pengarah JAS Pulau Pinang Norazizi Adinan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan sampel diambil di beberapa lokasi di kawasan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI), pinggir pantai berdekatan dan laut.
Baca juga: Trip Sehari Menarik Di Sekinchan, Bila Tengok Gambar Rasa Nak Pergi Sekarang Je!
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Google / Sinar Harian