Insiden melibatkan seorang pakcik kurang upaya (OKU) mental yang dipukul di Pasar Tani Kemaman baru-baru ini telah membuka mata orang ramai. Malah, kisah mangsa penganiayaan yang tular ini turut mendapat perhatian syarikat pengurusan haji dan umrah, Andalusia Travel Tours.
Syarikat pengendali umrah ini mengumumkan hasrat untuk menaja pakcik OKU, isterinya, dan anak lelaki mereka menunaikan ibadah umrah.
Baca juga: Kronologi Insiden Menyayat Hati Pakcik OKU Dipukul & Diheret Di Pasar Tani, Tergamaknya Manusia..
ANDALUSIA TRAVEL TOURS NAK BAWA PAKCIK OKU ‘UBAT HATI’ DI TANAH SUCI

Foto: Tiktok @andalusiakualaselangor
Menurut laporan Sinar Plus, Pengurus Wilayah Travel and Tours Sdn Bhd, Syahirah dan juga pegawai agama Ustaz Luqman sudah selesai menziarahi Faridah Abdul Karim yang merupakan isteri kepada Ahmad Nor Al Faizan Jusoh di Kampung Mak Chili, Chukai, Terengganu.
“Untuk makluman, beliau (Ahmad Nor Al Faizan) kini di rawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu dan dalam pemantauan doktor. Pelawat tidak dibenarkan untuk melawat buat masa ini.
“Alhamdulillah, hasrat Tuan Haji Ibrahim untuk menaja pakej umrah untuk keluarga ini sudah disampaikan. Masya-ALLAH, mereka sangat gembira dan bersyukur atas rezeki ini. Terima kasih Tuan Haji dan Pengurusan Andalusia, barakallahufikum!,” ujar sumber berkenaan.
Sempat berkomunikasi dengan Faridah menerusi panggilan video, Ibrahim berkata, semoga pakej yang ditawarkan akan merawat kesedihan keluarga itu.
“Saya Haji Ibrahim dari Andalusia amat simpati dengan kejadian. Saya berhasrat untuk menghantar isteri dan seorang anak lelakinya ke Makkah untuk menunaikan umrah. Semoga di sana akan terubat hati,” kongsinya pada ruangan komen.
Warga maya dalam pada itu mendoakan agar perjalanan keluarga itu ke Tanah Suci berjalan lancar.
PAKCIK OKU PELAJAR TERBAIK SPM TERENGGANU 1995
Sementara itu, pada seorang pengguna laman sosial TikTok dikenali sebagai Akbar Azmi tampil mengaku sebagai kawan baik Faizan atau Paijang dan berkongsikan kisah. Menerusi hantaran yang dimuat naik, Akbar mendedahkan lelaki itu merupakan pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1995 Negeri Terengganu.
“Masa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1995, Paijang bukan setakat pelajar cemerlang SMKA Sheikh Abdul Malek sahaja tetapi dinobatkan sebagai pelajar cemerlang negeri Terengganu,” katanya.
Manakala menerusi laporan portal berita, lelaki OKU tular itu aktif sukan hoki sejak bangku sekolah rendah dan mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (SUKMA). Menurut adiknya, Ahmad Syahmi Jusoh, berkata abangnya beraksi di posisi sayap kiri dan pasukan hoki SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu di peringkat daerah dan negeri.
“Dia ada cita-cita untuk main kebangsaan tapi tidak kesampaian. Lagi pun dia dah berhenti main hoki semasa di matrikulasi dan ketika melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM), abang sudah tidak aktif bermain hoki,” katanya.
Bagaimanapun, nasib Ahmad Nor Al Faizan berubah ketika menuntut di UPM apabila dia terpaksa berhenti lebih awal susulan didiagnosis masalah mental akibat tekanan belajar.
*Hebat orangnya. Semoga urusan keluarga ini ke Tanah Suci dipermudahkan dan terubat hati di sana. Aamin…
Sumber: Tiktok @andalusiakualaselangor, Tiktok @broakbarazmi, Sinar Plus