Ramai yang mengalirkan air mata apabila menonton program dokumentari Majalah 3 pada Isnin lepas bertajuk ‘Kasih Tanpa Batas’. Dokumentari tersebut mengisarkan realiti kehidupan pasangan suami isteri bernama Norazlina Zakaria dan Mohd Nazri Mohd Zain yang menderita kecederaan saraf tunjang yang teruk.
Rupa-rupanya pasangan ini juga sering ditonton ramai menerusi laman Tiktok dan kisah mereka mendapat jutaan tontonan! Malah, pada awalnya ramai yang menyangka pasangan suami isteri ini adalah dua beranak.
Baca juga: Wanita Kongsi Kisah Ibu Jadi OKU Sekelip Mata, Hilang Ingatan Selepas Komplikasi Bersalin Anak Ke-18
KISAH ISTERI CEDERA SARAF TUNJANG TERUK, SUAMI LUMPUH SEPARA BADAN UNDANG AIR MATA
Menyingkap kisah pasangan suami isteri ini, pada tahun 2007, Norazlina telah terlibat dengan sebuah nahas jalan raya dan mengalami kecederaan saraf tunjang yang teruk. Mohd Nazri pula mengalami lumpuh separa badan selepas tercampak dari bangunan berketinggian 5 meter ketika melakukan kerja-kerja pemasangan penghawa dingin.
Menempuh titik gelap hidup selepas mengalami kecederaan saraf tunjang, Norazlina bangkit dan dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Sokongan Rehabilitasi Hospital Sungai Buloh bagi memberikan khidmat fisioterapi dan motivasi kepada orang lain yang senasib dengan dirinya.
Atas aturan Yang Maha Esa, di pusat rehabilitasi inilah Norazlina bertemu dengan Nazri yang saat itu hanya terlantar lesu. Bermula dengan bantuan menjalankan fisioterapi, akhirnya Norazlina meluahkan hasrat hati untuk berkahwin dengan Nazri supaya dapat menjaganya secara halal. Sudah tentu pada awalnya, Nazri terkejut apabila dilamar oleh wanita sedangkan dirinya dalam keadaan tidak berupaya dan hanya berharap kepada duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja.
Ikatan perkahwinan mereka terjalin dengan penuh erti kesabaran dan juga pengorbanan. Berkat kekuatan dan kesabaran itu, Norazlina memberikan sokongan tanpa henti kepada suami sehingga dia mampu untuk melakukan banyak benda dengan sendiri.
ISTERI MULA HILANG KEUPAYAAN UNTUK MAKAN
@azlinaaafiyah Tak kita mula kan semula ye suami ku.. Allah ada pinjamkn kekuatan Nya.. In Shaa Allah Sabar dn redha ☺️☺️☺️☺️ #disabledcouple #lotsoflove #anugerahterindah #masyaallahtabarakkallah #love #familyaafiyah #cinta #spinalcordinjuryrecovery #bangkitbersama ♬ original sound – Farzanarais
Namun, alam perkahwinan mereka diduga sekali lagi apabila Norazlina perlu menjalani pembedahan pembuangan rahim akibat tumor dan masalah saraf tunjang yang menyerang secara serentak. Bermula dari saat ini, wanita hebat ini hilang keupayaan untuk makan serta minum secara normal dan hanya perlu bergantung kepada susu yang dimasukkan melalui tiub sahaja.
Walaupun mengalami lumpuh separa badan, Nazri menjadi insan yang setia mengurus dan menemani isterinya yang terpaksa berdepan dengan titik gelap kedua hidupnya.
“Nazri akan tidur di atas kerusi roda dan dia juga membersihkan muntah saya. Kesihatan Nazri pun menurun..” kata Norazlina.
Ketika itu, Norazlina turut berperang dengan masalah kemurungan dan keresahan yang cukup teruk. Setelah surut sakit yang dialami Norazlina, siapa sangka dugaan sekali lagi menghempas kehidupan pasangan ini apabila Nazri pula disahkan mempunyai tumor dalam saraf tunjang serta masalah autoimun kronik (SLE).
*Ternyata kisah yang dipaparkan dalam Majalah 3 baru-baru ini membuka mata ramai untuk terus menghulurkan bantuan kepada pasangan suami isteri ini. Walaupun perkongsian video di laman Tiktok wanita ini ada nada gurauannya namun, sudah semestinya terselit rasa pilu di hati tentang dugaan yang dialami. Didoakan semoga pasangan suami isteri ini terus kuat, saling sayang menyayangi dan terus dipermudahkan urusan dalam kehidupan seharian.
Baca juga: Kronologi Insiden Menyayat Hati Pakcik OKU Dipukul & Diheret Di Pasar Tani, Tergamaknya Manusia..
Sumber: Tiktok @azlinaaafiyah, Youtube Majalah 3