Euforia Bola 2026
Inspirasi

Anak Usia 10 Tahun Setiap Pagi Bancuh Kopi, Teman & Jaga Ibu Hidap Masalah Saraf…Tak Pernah Rasa Beban

masalah saraf

Ketika kanak-kanak seusianya masih bebas menikmati waktu bermain, Muhammad Shameer Farriez Amir Nizam, 10, sudah biasa memikul tanggungjawab di rumah selepas ibunya berdepan masalah saraf yang mengehadkan pergerakannya.

Murid Tahun Empat dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai itu bukan sahaja membantu urusan harian ibunya, Juraimie Ramli, 42, malah turut melakukan kerja rumah dan menjual aiskrim untuk mendapatkan wang saku.

Baca juga: 3 Beradik Pernah Dihalau & Dihina Mak Saudara Selepas Ibu Meninggal, Kini Abang Sulung Bergelar Leftenan Muda!

ANAK USIA 10 TAHUN GALAS TANGGUNJAWAB JAGA IBU HIDAP MASALAH SARAF

masalah saraf

Tangkap layar video disediakan Noor Sara Mohamad Hanif: Muhammad Shameer Farriez Amir Nizam, 10, sentiasa berdoa agar ibunya sihat dan dimurahkan rezeki selalu.

Setiap pagi bancuh kopi untuk ibu

Juraimie berkata, penyakit saraf yang dialaminya sejak kecil menyebabkan tangan kirinya kurang berfungsi dan dia perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Keadaan itu membuatkan Muhammad Shameer lebih peka terhadap perkara yang diperlukan ibunya.

“Tangan kiri saya kurang berfungsi, jadi kebanyakan urusan di bahagian kiri saya diserahkan kepadanya. Saya menghidap penyakit saraf ini sejak kecil, bermaksud saya memang merangkak dari kecil, namun saya perlu kuat dan tidak boleh hanya duduk diam.

“Rutin harian adik bermula dengan membancuh kopi untuk saya sebelum dia ke sekolah. Apabila pulang, saya berikan dia masa kira-kira sejam setengah untuk bermain sebelum dia masuk membaca buku, bermain permainan video dan tidur.

“Pada Sabtu dan Ahad pula, dia akan membantu menguruskan kerja rumah seperti membasuh dan menjemur pakaian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Wai Permai, pada Rabu.

Menurut Juraimie, Muhammad Shameer tidak pernah dipaksa untuk memikul tanggungjawab tersebut. Sebaliknya, dia sudah terbiasa membantu berdasarkan keadaan ibunya di rumah.

Baca juga: [VIDEO] Permata Seni Koir Cipta Kejutan Di Jerman, Raih Juara Keseluruhan Dengan 29/30 Mata!

Jual aiskrim untuk tambah wang saku

Dalam masa sama, Muhammad Shameer turut mengambil inisiatif menjual aiskrim kepada penduduk sekitar taman mereka.

Juraimie berkata, pendapatan keluarga turut dibantu menerusi kerja membungkus barangan jualan dalam talian milik seorang rakan, selain mengambil upah mengurut.

“Bagi menampung perbelanjaan, saya juga mengambil upah membungkus barangan jualan dalam talian (Shopee) milik rakan seperti minyak angin dan minyak wangi.

“Kuantitinya tidak banyak, purata pendapatan sekitar RM200 hingga RM300 sebulan. Saya juga ada mengambil upah mengurut, tetapi pelanggan perlu memaklumkan lebih awal kerana saya hanya boleh mengurut di bawah (lantai). Walaupun pendapatan tidak seberapa, alhamdulillah ia mencukupi,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu turut mempunyai seorang anak sulung, Puteri Dalili Amir Nizam, 15, yang kini menetap di asrama Maahad Tahfiz Nurus Saadah, Behor Mali dan berada di bawah jagaan bekas suaminya.

Biarpun banyak membantu di rumah, Juraimie tetap mahu anak bongsunya menikmati zaman kanak-kanak seperti biasa.

“Dalam mendidiknya, saya faham dia masih kanak-kanak.

“Jadi, sebulan sekali saya akan berikan ganjaran mengikut permintaannya seperti bola, alat mainan, gitar atau kereta kawalan jauh,” katanya.

Tak pernah anggap menjaga ibu sebagai beban

masalah saraf

Tangkap layar video disediakan Noor Sara Mohamad Hanif.

Bagi Muhammad Shameer pula, rutin membantu ibunya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan sehariannya.

Kanak-kanak yang bercita-cita menjadi penyanyi itu biasanya memulakan hari seawal jam 6.20 pagi sebelum bersiap ke sekolah.

“Saya bangun pagi buat kopi dan kemas beg sebelum ke sekolah.

“Bila balik, saya akan letak beg, mandi dan kemas rumah semula sebelum berehat,” katanya.

Dia juga memilih untuk menjual aiskrim bagi mengumpul wang saku sendiri.

Dalam kesibukan sebagai murid dan membantu ibunya, satu perkara yang sentiasa dilakukan Muhammad Shameer adalah mendoakan agar ibunya diberikan kesihatan yang baik serta keluarga mereka terus dimurahkan rezeki.

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×